
Al-Quran dan hadis Nabi Muhammad s.a.w adalah dua perkara penting yang perlu dipegang oleh seorang Muslim untuk dijadikan pedoman hidup. Ia dua asas kukuh yang telah diberikan Allah sejak 1400 tahun lalu. Kali ini, saya ingin kongsikan 15 ayat al-Quran atau firman Allah serta hadis Nabi tentang pentingnya menulis dan membaca bagi umat Islam. Membaca itu satu tuntutan dalam Islam kerana kita semua tahu bahawa ayat pertama yang diturunkan kepada Baginda Nabi s.a.w adalah ‘Iqra’ bermaksud bacalah. Dapat dilihat di sini bahawa Islam menitikberatkan membaca dan memahami apa yang ditulis berbanding hal-hal lain. Boleh sahaja Allah menyuruh umat Muhammad fokus kepada berpuasa atau solat tapi Allah tidak mengarahkan ayat seperti itu diturunkan. Allah terus menekankan tentang keperluan baca dan menulis.
Berikut, dikongsikan terus 15 ayat al-Quran dan hadis Nabi s.a.w tentang pentingnya umat Islam menulis dan membaca. Moga ia menjadi galakan terkuat untuk anda meneruskan aktiviti membaca atau mungkin berjinak-jinak untuk membaca dan menulis.

6 Firman Allah tentang pentingnya membaca dan menulis.
- ٱقْرَأْ بِٱسْمِ رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَقَ ١ خَلَقَ ٱلْإِنسَـٰنَ مِنْ عَلَقٍ ٢ ٱقْرَأْ وَرَبُّكَ ٱلْأَكْرَمُ ٣ ٱلَّذِى عَلَّمَ بِٱلْقَلَمِ ٤ عَلَّمَ ٱلْإِنسَـٰنَ مَا لَمْ يَعْلَمْ
Maksudnya: Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmulah Yang Maha Mulia. Yang mengajar (manusia) dengan pena. Dia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya. (Al-Alaq 96: 1-5)
Perkataan pertama yang turun ialah “Iqra”, Bacalah. Ini menunjukkan bahawa pentingnya membaca. Ia turut menunjukkan Islam menitikberatkan ilmu. Membaca bukan sekadar aktiviti akademik, tetapi ia satu cara hidup dan juga jalan untuk mengenal Tuhan, memahami kehidupan dan membina tamadun.
Lebih menarik lagi, dalam ayat yang sama Allah menyebut tentang pena (qalam), alat untuk menulis. Ini membuktikan bahawa budaya ilmu dalam Islam bukan sekadar menerima maklumat, tetapi juga merekod, menulis dan menyebarkan pengetahuan.
2. نٓ ۚ وَٱلْقَلَمِ وَمَا يَسْطُرُونَ
Maksudnya: Nun, demi pena dan apa yang mereka tuliskan. (Al-Qalam 68: 1)
Dalam al-Quran, apabila Allah bersumpah dengan sesuatu, itu menandakan perkara tersebut mempunyai nilai yang besar dan penting. Pena dan tulisan disebut secara khusus. Ia menunjukkan betapa tingginya kedudukan aktiviti menulis dan merekod ini. Maka, tulislah perkara yang menyebarkan ilmu, tulislah perkara baik terutama tentang al-Quran dan hadis, dan tulislah perkara memberi manfaat agar ia menjadi saham akhirat yang berkekalan.
3. فَتَعَـٰلَى ٱللَّهُ ٱلْمَلِكُ ٱلْحَقُّ ۗ وَلَا تَعْجَلْ بِٱلْقُرْءَانِ مِن قَبْلِ أَن يُقْضَىٰٓ إِلَيْكَ وَحْيُهُۥ ۖ وَقُل رَّبِّ زِدْنِى عِلْمًۭا
Maksudnya: Maka Maha Tinggilah Allah, yang menguasai seluruh alam, lagi yang benar, dan janganlah engkau (Muhammad) tergesa-gesa membaca al-Quran (sebelum selesai dibacakan oleh Jibrail kepadamu) dan berdoalah dengan berkata, “Wahai Tuhanku, tambahkanlah ilmuku.” (Taha 20: 114)
Menariknya, ada doa khusus dari Allah untuk kita berdoa agar ditambahkan ilmu. Ini menunjukkan bahawa ilmu, membaca dan menulis adalah aset penting dalam kehidupan seorang Muslim dalam meneruskan kehidupan di dunia juga saham di akhirat.
Ilmu membantu membimbing akal.
Ilmu membantu menenangkan jiwa.
Ilmu membantu menguatkan iman.
Ilmu membantu mencari jalan menyelesaikan masalah.

4. يَرْفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مِنكُمْ وَٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْعِلْمَ دَرَجَـٰتٍۢ ۚ وَٱللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌۭ
Maksudnya: Allah meninggikan darjat orang yang beriman dalam kalangan kamu, dan orang yang diberi ilmu beberapa darjat. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendalam Pengetahuan-nya terhadap apa yang kamu lakukan. (Al-Mujadalah 58: 11)
Jelas bahawa orang berilmu mempunyai kedudukan yang istimewa di sisi Allah. Allah mengangkat mereka lebih tinggi berbanding orang lain. Namun ilmu tidak datang dengan sendiri. Ia menuntut usaha seperti membaca, berfikir, menulis, mengulangkaji, mengkaji, berguru dan bermuhasabah.
5. بِدَيْنٍ إِلَىٰٓ أَجَلٍۢ مُّسَمًّۭى فَٱكْتُبُوهُ ۚ وَلْيَكْتُب بَّيْنَكُمْ كَاتِبٌۢ بِٱلْعَدْلِ ۚ وَلَا يَأْبَ كَاتِبٌ أَن يَكْتُبَ كَمَا عَلَّمَهُ ٱللَّهُ ۚ فَلْيَكْتُبْ وَلْيُمْلِلِ ٱلَّذِى عَلَيْهِ ٱلْحَقُّ وَلْيَتَّقِ ٱللَّهَ رَبَّهُۥ
Maksudnya: Apabila kamu berhutang dan diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis antara kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya. Maka hendaklah dia menulis… (Al-Baqarah 2: 282)
Ayat terpanjang dalam al-Quran ini memerintahkan agar urusan hutang dicatatkan. Ia menunjukkan kepentingan dokumentasi, ketelitian, amanah bila menulis dan budaya mencatat dalam kehidupan bermasyarakat. Bila sudah ada hitam dan putih, ia menjadi bukti dalam apa jua masalah yang berlaku di masa hadapan.
6. قُلْ هَلْ يَسْتَوِى ٱلَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَٱلَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ ۗ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُو۟لُوا۟ ٱلْأَلْبَـٰبِ
Maksudnya: Katakanlah lagi (kepadanya), “Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang yang mengambil peringatan hanyalah orang yang berakal. (Az-Zumar 39: 9)
Di sini menunjukkan bahawa Allah membezakan darjat orang berilmu dan yang tidak berilmu. Dan melihat kepada penyataan Allah ini, ia juga merupakan satu dorongan yang kuat untuk kita terus membaca, belajar dan mencari hikmah dalam proses pembelajaran sama ada pembelajaran secara terus ataupun melalui pengalaman.
7. وَلَوْ أَنَّمَا فِى ٱلْأَرْضِ مِن شَجَرَةٍ أَقْلَـٰمٌۭ وَٱلْبَحْرُ يَمُدُّهُۥ مِنۢ بَعْدِهِۦ سَبْعَةُ أَبْحُرٍۢ مَّا نَفِدَتْ كَلِمَـٰتُ ٱللَّهِ ۗ
Maksudnya: Sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena dan seluruh lautan (menjadi tinta), dengan dibantu pula tujuh lautan lain selepas itu, pasti tidak akan habis kalimah-kalimah Allah itu ditulis. (Luqman 31: 27)
Ayat ini menunjukkan bahawa menulis adalah salah satu cara kita cuba menyenaraikan banyaknya nikmat-nikmat yang Allah berikan kepada makhluk-makhluk ciptaan-Nya. Ini juga menunjukkan betapa luasnya ilmu Allah yang tak tertulis dan tak semua mampu kita pelajari.

8 Hadis tentang penting menulis dan membaca
- “Tidak ada daripada sahabat-sahabat Nabi s.a.w yang lebih banyak meriwayatkan hadis daripadaku kecuali Abdullah bin Amr. Sesungguhnya dia lebih banyak daripadaku disebabkan dia menulis dan aku pula tidak menulis”. [Riwayat al-Bukhari, al-Tirmizi]
- Daripada Abu Hurairah r.a; beliau berkata: Seorang lelaki daripada kalangan Ansar telah datang mengadukan perkara kepada Rasulullah s.a.w. Dia berkata, “Wahai Rasulullah! Aku sesungguhnya mendengar perkataanmu dan aku sangat kagum dan hairan dengan keindahannya, tetapi aku tidak dapat menghafalnya. Maka apa yang perlu aku lakukan?” maka sabda Nabi s.a.w: “Hendaklah engkau menggunakan tangan kananmu.” Sambil Baginda mengisyaratkan supaya dia menulis apa yang dia dengarkan. [Riwayat al-Tirmizi]
- Daripada Abu Hurairah r.a; beliau berkata: Telah berkhutbah Rasulullah s.a.w. Lalu Abu Hurairah berkata bahawa Rasulullah s.a.w menyebut dalam khutbahnya itu satu kisah yang panjang. Pada akhir hadis itu disebutkan bahawa Abu Syah berkata bagi Rasulullah: “Wahai Rasulullah! Tolonglah tuliskan untukku isi khutbahmu tadi.” Maka Rasulullah bersabda, “Tolong tuliskan untuk Abu Syah.” [Riwayat al-Tirmizi]
- Daripada Watsilah bin Asqa’ r.a; beliau berkata, telah bersabda Rasulullah s.a.w, “Sesiapa mencari ilmu lalu dia mendapatkannya maka baginya dua pahala. Siapa mencari ilmu tetapi dia tidak mendapatkannya maka baginya satu pahala. [Riwayat ad-Darimi]
- Daripada Anas bin Malik r.a, Nabi s.a.w bersabda, “Menuntut ilmu adalah wajib ke atas setiap Muslim.” [Riwayat Ibnu Majah dan Abu Ya’la]
- Daripada Abu Darda’ r.a, Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesungguhnya para ulama adalah pewaris para nabi. Nabi-nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Mereka mewariskan ilmu. Siapa yang mengambilnya ia telah mendapat bahagian yang banyak dan sempurna.” [Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban]
- Daripada Abu Umamah al-Bahili, Rasulullah s.a.w bersabda, “Kelebihan seorang yang berilmu dengan seorang abid adalah seperti kelebihanku dengan orang yang paling rendah darjatnya di kalangan kamu.” [Riwayat al-Tirmizi]
- Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda, “Apabila salah seorang manusia meninggal dunia, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat baginya dan anak soleh yang mendoakannya.” [Riwayat Muslim]

Dalam perspektif Islam, membaca dan menulis bukan sekadar aktiviti duniawi. Ia boleh menjadi ibadah dan saham akhirat buat pemiliknya apabila:
- Dilakukan dengan niat kerana Allah
- Digunakan untuk kebaikan
- Menyebarkan manfaat
- Mendekatkan diri kepada kebenaran
Sejarah membuktikan bahawa tamadun Islam berkembang pesat kerana budaya ilmu yang kuat. Lihatlah nama-nama besar seperti Al-Khawarizmi, Ibnu Sinna, Ibnu Batutta, Al-Khindi, Jalaluddin Rumi, HAMKA, Dr. Wahbah al-Zuhaili, Al-Ghazali, Syeikh Yusuf al-Qaradawi dan lain-lain lagi. Ulama dan ilmuwan ini membaca ribuan kitab dan menulis ratusan karya. Karya-karya mereka sehingga hari ini menjadi rujukan dalam menyelesaikan pelbagai masalah dan hukum. Semua ini berakar daripada satu kalimah yang diturunkan pertama kalinya kepada Nabi Muhammd s.a.w iaitu Iqra’.
Seruan peri pentingnya menulis dan membaca di dalam al-Quran dan juga hadis bukan sekadar arahan akademik. Ia adalah asas pembinaan seorang insan. Ingatlah:
Wahyu pertama bermula dengan “Bacalah”.
Allah bersumpah dengan pena.
Allah memerintahkan supaya sesuatu ditulis.
Allah meninggikan darjat orang berilmu.
Semua ini membentuk satu mesej yang jelas:
Umat Islam adalah umat yang berilmu.
Maka membaca bukan pilihan — ia satu tanggungjawab.
Menulis bukan sekadar hobi — ia satu warisan.
Menuntut ilmu bukan beban — ia jalan menuju kemuliaan.

