Semua orang ingin sihat. Tiada siapa ingin sakit. Begitu juga saya. Saya pernah mengalami masalah kemurungan dan depresi. Syukurnya, saya tetap utamakan Allah. Tekad saya, sesukar apapun masalah, solat tetap utama. Dari situ, perlahan-lahan saya berusaha mahu sihat emosi, berfikiran positif, bersangka baik dan belajar untuk tidak menyalahkan sesiapa. Mahu lebih banyak bersyukur, menghargai dan berterima kasih.
Ia tak mudah. Tetap ada cabaran. Pada awalnya, saya tak tahu nak mulakan bagaimana. Tercari-cari kaedah, formula atau tips yang sesuai untuk menangani masalah negatif yang ada dalam diri. Alhamdulillah, Allah lorongkan saya dengan penulisan dan perniagaan buku. Pada awalnya, saya menulis buku kanak-kanak adalah untuk menggalakkan kanak-kanak membaca. Selepas itu, muncul peluang untuk berniaga buku pula. Rupanya, dari perniagaan ini saya dapat membeli buku-buku motivasi yang bagus untuk bacaan manakala suami pula membeli buku-buku agama. Saya diperkenalkan dengan buku 300 hadis bimbingan, Riyadhus Salihin juga al-quran terjemahan yang bagus. Dari situ, minda saya mula terbuka. Saya jadikan al-quran, hadis, kisah agama dan kisah travelog sebagai landasan untuk perbaiki diri. Buku seperti A simple act of gratitude, How to stop worrying and start living dan The magic of thinking big antara buku Inggeris yang membantu saya belajar tentang syukur, menghargai orang sekeliling dan berhenti dari risau yang bukan-bukan.
Meski saya berusaha mengamalkan apa dibaca, ujian tetap datang seperti situasi tak dijangka, berjumpa dengan orang yang menjengkelkan, ujian fizikal dan lain-lain. Dari situ, suka atau tidak, saya belajar bersabar dan berhenti untuk risau. Tak lama selepas itu, saya berjumpa dengan dua buku bagus iaitu The gratitude journal, The beneficial means to a happy life dan podcast Oprah Winfrey. Buku dan podcast ini memperkenalkan saya tentang jurnal kesyukuran. Saya mencari sebuah buku kosong dan membuat seperti yang disarankan. Saya membuat jurnal kesyukuran sendiri. Setiap malam (jika tak sempat, pagi esoknya), saya akan mengambil masa 5-7 minit untuk menulis 3-5 perkara yang disyukuri pada hari itu, menulis pelajaran apa yang diperolehi juga harapan saya pada masa hadapan ketika itu. Setelah mempraktikkannya lebih dari setahun, saya rasa emosi saya lebih terkawal, semakin kurang berfikiran negatif, bersangka baik pada Allah, cuba menggembirakan orang lain dan juga berusaha melakukan apa yang Allah suka.
Ryna.
Pengasas Ekspresi Syukur.