
Mengekalkan kesihatan jiwa tidak mudah. Ia sama konsepnya dengan mengekalkan tahap iman kita di tahap yang tinggi atau stabil. Ada ketika, iman kita ada pasang surutnya. Begitu juga dengan keadaan emosi dan jiwa kita. Ada sesetengah situasi, mampu buat jiwa kita yang ok jadi ko. Kita yang mood pada waktu itu pada tahap gembira, boleh terus jatuh merundum perlahan-lahan. Jadi, bagaimana hendak mengekalkan momentum atau menaikkan kembali rasa bahagia dan meningkatkan kembali kesihatan jiwa?
Di sini, saya kongsikan 20 kaedah asas dalam mengekalkan kesihatan jiwa yang diambil rujukannya dari buku Jangan Bersedih, Kebahagiaan Pasti Bersamamu!

Asas-asas kekal kesihatan jiwa
- Nikmatilah hari-harimu dan detik-detik dalam hidupmu. Masa lalu jangan sampai membuatmu selalu bersedih, masa depan jangan sampai membuatmu risau dan serahkan segala urusanmu dengan Allah.
- Janganlah kamu membiarkan kemusykilan sebesar apapun membinasakan emosimu dan fikirkanlah dengan tenang dalam mencari penyelesaian.
- Ingatlah harga mahal yang akan kamu bayar untuk kesihatan kamu ketika kamu menjadi tawanan kegelisahan, ketegangan dan stres.
- Jangan sekali-kali meragui bahawa kamu adalah seorang yang bahagia. Janganlah kamu menanyakan dirimu, apakah dirimu bahagia atau tidak. Kamu pasti bahagia selagi kamu mentaati Allah, menyembah Dia dan menuntut ilmu kerana-Nya.
- Kamu harus bersungguh-sungguh dan tekun dalam menuntut ilmu dan beramal, menikmatinya dan menjadikannya mampu mengisi kekosongan diri waktu dilanda masalah.
- Lupakanlah masalah remeh-temeh. Janganlah kamu menghiraukan permasalahan yang tidak bermanfaat. Janganlah kamu marah lantaran masalah remeh-temeh atau membiarkannya menakluki diri kamu dan menyukarkan diri membuat keputusan.
- Janganlah dikhuatirkan dengan masa depan. Percayalah dengan takdir Allah dan ketentuan-Nya. Yakinlah dengan kebijaksanaan Allah. Relakan segala apa yang ditakdirkan Allah kepada dirimu. Bersikaplah dengan baik, bersyukur dan reda.
- Hendaklah berfikir dengan matang dan bai sebelum bertindak. Pertimbangkanlah hakikat yang bakal terjadi sebelum membuat keputusan.
- Hiduplah dengan tenang dan sederhana, Jalanilah dengan tenang.
- Berusahalah menyesuaikan diri dengan kehidupan realiti tanpa mengurangi sedikitpun sifat qanaah yang disertai keimanan. Dan janganlah membebani diri di luar kemampuan.
- Janganlah kamu banyak mengkritik orang lain dan berdebat dengan mereka tanpa faedah. Janganlah membesar-besarkan kesalahan mereka.
- Jadilah kamu tenang dalam bersikap, berbicara dan bergerak. Bergaullah dengan orang lain dengan ceria, senyum dan bertolak ansur.
- Melakukan balas dendam terhadap musuh atau orang yang tidak disukai akan membuatkan diri harus membayar dengan kesihatan, emosi dan perasaan tidak tenang. Ia kos yang amat mahal.
- Janganlah biarkan lawan kamu menguasai hidup, fikiran dan perasaan kamu. Tinggalkan mereka dan jangan terlalu memikirkan mereka.
- Lupakanlah dirimu dan ketepikanlah ego kamu. Perlakukanlah orang lain dengan baik suppaya terukir senyuman di wajah mereka dan kita.
- Ketika kamu berbuat baik terhadap orang lain, jadikanlah ia sebagai amalan ikhlas kerana Allah. Janganlah kamu mengharapkan ucapan terima kasih daripada mereka.
- Jadilah teladan kepada orang lain dengan mengakui kebaikan orang lain, berterima kasih kepada mereka dan memuji orang yang berbuat baik.
- Janganlah banyak mengeluh dan merintih. Pandanglah hidup ini dengan ceria, optimis dan positif. Bertumpulah kepada perkara-perkara positif dan baik dalam hidup.
- Ingatlah nikmat-nikmat Allah yang telah dianugerahkan kepadamu supaya kamu mensyukurinya dan menikmatinya.
- Kenalilah diri, sifat, bakat dan kemampuanmu untuk menikmati hidupmu.

Hidup ini singkat. Entah bila kita akan pergi meningalkan dunia, kita tidak tahu. Jadi, sebaik-baiknya selagi masih bernyawa, buatlah sesuatu yang menggembirakan hati, mencuba apa yang mahu dicuba, berkata benda-benda yang positif dan berusaha memperbaiki diri. Ada satu hadis dari Baginda Nabi Muhammad s.a.w tentang kiamat. Saya ambil hadis ini kerana pada waktu itu, kematian sangat hampir dengan manusia dan hadis ini mengajar kita untuk tidak berputus asa serta terus berusaha.
Rasulullah s.a.w bersabda, ““Jika terjadi hari kiamat sementara di tangan salah seorang dari kamu ada sebiji benih tanaman, maka jika dia mampu sebelum terjadi hari kiamat untuk menanamnya maka tanamlah.”
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Ahmad)
Dalam memastikan kesihatan jiwa terpelihara, anda boleh praktikkan mana-mana 20 kaedah ini yang bersesuaian dengan anda dan juga situasi. Berusahalah untuk mendapat ketenangan jiwa yang bukan sahaja dapat meningkatkan kekuatan diri, menggembirakan hati dan emosi tetapi juga diredai Allah.

