20 mutiara kata dari Ibnu Khaldun buat umat manusia berani berubah

Ibnu Khaldun, seorang sejarawan Islam yang namanya bukan sahaja dikenali di dunia Islam tetapi juga dunia barat. Hasil karya beliau dalam bidang ilmu sosiologi tidak dinafikan sehingga sekarang. Ibnu Khaldun atau nama sebenar beliau Abd al-Rahman Abu Zayd ibn Muhammad ibn Khaldun al-Hadrami, yang dilahirkan pada tahun 1332M di Tunis, Afrika Utara. Beliau hidup dalam zaman yang penuh pergolakan politik dan perubahan sosial. Kehidupan Ibnu Khaldun merentasi dunia akademik, politik, diplomasi, dan penulisan, menjadikannya tokoh serba boleh yang dikenang sehingga kini. Banyak ilmu beliau sehingga kini masih dipraktikkan terutama dalam bidang falsafah, matematik, logik, dan sejarah.

Sejak usia muda, Ibnu Khaldun terlibat dalam dunia politik. Beliau memegang pelbagai jawatan penting di istana, termasuk sebagai penulis rasmi, penasihat, dan duta. Namun, pergolakan politik dan fitnah sering membuatnya berpindah dari satu negeri ke negeri lain seperti Fez, Granada, dan Biskra. Pengalaman ini memberinya pandangan mendalam tentang sifat manusia, pemerintahan, dan perubahan sosial, yang kelak menjadi asas teorinya.

Warisan terbesar Ibnu Khaldun ialah Al-Muqaddimah, sebuah pengenalan kepada kitab sejarahnya yang berjudul Kitab al-‘Ibar. Al-Muqaddimah dianggap karya yang mendahului zamannya kerana membincangkan teori sosiologi, ekonomi, sejarah, dan politik secara saintifik. Dalam kitab ini, beliau mengemukakan konsep ‘asabiyyah (solidariti sosial) yang menjadi faktor kebangkitan dan kejatuhan sesuatu peradaban.

Ibnu Khaldun juga menjelaskan bahawa peradaban melalui kitaran: bermula dari kesatuan yang kuat, berkembang menjadi makmur, kemudian jatuh akibat kemewahan dan kelemahan moral. Teori ini sangat relevan hingga kini, digunakan oleh ahli sejarah, ahli sosiologi, dan ilmuwan politik di seluruh dunia. Banyak contoh dapat dilihat kebenarannya sekarang ini berdasarkan teori yang diberikan. Manusia semakin lama semakin rakus, lemah pada bahagian tertentu dan tidak kuat dalam mempertahana kebaikan seadilnya.

Di sini, disenaraikan 20 mutiara kata popular dari Ibnu Khaldun untuk peringatan kita bersama di akhir zaman ini dan bagi memperkuatkan diri dalam bidang ilmu dan praktikalnya serta berani untuk berubah.

  1. Manusia pada dasarnya tidak mengetahui apa-apa, dan menjadi berilmu melalui proses memperolehi pengetahuan.”

  2. “Masa lalu lebih menyerupai masa depan berbanding persamaan antara setitis air dengan setitis air yang lain.”

  3. “Sepanjang sejarah, banyak bangsa mengalami kekalahan fizikal, namun itu tidak pernah menandakan berakhirnya sebuah bangsa. Tetapi apabila sesebuah bangsa mengalami kekalahan dari segi psikologi, itulah yang menandakan kehancurannya.”

  4. “Pemerintahan ialah sebuah institusi yang mencegah ketidakadilan, kecuali ketidakadilan yang dilakukannya sendiri.”

  5. “Sesiapa yang menemui jalan baru adalah seorang pelopor, walaupun jejaknya perlu ditemukan kembali oleh orang lain; dan sesiapa yang berjalan jauh mendahului zamannya adalah seorang pemimpin, walaupun berabad-abad lamanya sebelum diiktiraf.”

  6. “Apabila jiwa bersikap adil dalam menerima maklumat, kebenaran akan terserlah; sebaliknya, sikap berat sebelah dan fanatik akan mengaburkan penilaian sehingga kebohongan diterima dan disebarkan.”

  7. “Budaya menetap adalah matlamat akhir peradaban. Ia menandakan tamatnya jangka hayat peradaban tersebut dan membawa kepada kerosakan.”

  8. “Perniagaan yang dimiliki oleh pedagang yang bertanggungjawab dan teratur akhirnya akan mengatasi perniagaan milik penguasa yang kaya.”

  9. “Tempoh hayat sesebuah dinasti biasanya tidak melebihi tiga generasi; kekuatan awal mereka berpunca daripada kehidupan yang keras, keberanian, dan perpaduan (‘asabiyyah’).”

  10. “Kebiasaan adalah sifat semula jadi jiwa.”

  11. “Manusia adalah anak kepada adat kebiasaan, bukan semata-mata anak kepada leluhur mereka.”

  12. “Semua cabang ilmu pernah berkembang dalam bahasa Arab, dan karya-karya sistematik tentangnya ditulis dalam tulisan Arab.”

  13. “Ilmu geometri mencerahkan akal dan meluruskan pemikiran.”

  14. “Manusia pada umumnya tidak menyedari kepentingan sebenar umat manusia.”

  15. “Ilmu yang tidak sampai kepada kita jauh lebih banyak daripada ilmu yang kita warisi.”

  16. “Pengetahuan adalah senjata yang dapat meruntuhkan struktur dunia.”
  17. “Peradaban adalah hasil kerjasama dan pertukaran ilmu.”
  18. “Manusia secara semula jadi adalah makhluk sosial, dan masyarakat adalah penting untuk kewujudannya.”
  19. “Kekuatan sesebuah peradaban bukan terletak pada kekuatan ketenteraannya, tetapi pada kualiti rakyatnya.”
  20. “Tiada siapa yang dapat berdiri melawan kuasa kebenaran; kejahatan, bagaimanapun, perlu dilawan dengan pemikiran yang mencerahkan.”

Ibnu Khaldun bukan sekadar sejarawan, tetapi seorang pemikir yang hebat yang tidak disangkal kecergasannya. Pandangan beliau tentang masyarakat, ekonomi, dan politik masih relevan dalam dunia moden kini. Kisah hidupnya mengajar kita bahawa ilmu yang mendalam, pengalaman luas, dan keberanian berfikir di luar kebiasaan adalah kunci untuk meninggalkan warisan berharga kepada generasi seterusnya. Berani berubah dan tidak hanya menunggu dan selesa sahaja.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *