33 sebab mengapa menulis itu penting selagimana masih hidup

Menulis itu penting kerana ia bukan sahaja sebagai alat komunikasi kepada pembaca tetapi juga sebagai cara untuk menyampaikan ilmu, berkongsi maklumat dan penyimpan data yang terbaik. Menulis mampu menerbitkan idea-idea baru, menyatakan pendapat, merakam detik-detik penting dan pelbagai lagi kelebihan yang sudah semestinya penting dalam kehidupan manusia.

Tulislah apa sahaja yang anda suka. Catatlah ilmu-ilmu baru yang diperolehi. Kongsikan pengalaman yang dimiliki. Luahkanlah isi hati melalui penulisan sama ada untuk yang tersayang, masyarakat mahupun sesiapa sahaja. Beberapa cendikiawan ada menyatakan pentingnya menulis dalam kehidupan.

  1. “Ilmu tanpa tulisan bagaikan unta tanpa tali kekang. Ia akan hilang dibawa angin.”
    — Imam Syafi‘i.
  2. “Catatlah ilmu, kerana dengan mencatat, engkau mengikatnya agar tidak hilang.”
    — Imam al-Khatib al-Baghdadi.
  3. “Menulis adalah melawan lupa.”
    — Pramoedya Ananta Toer (sasterawan Indonesia).
  4. “Apabila engkau menulis, engkau sedang membina sebuah dunia yang akan terus hidup selepas ketiadaanmu.”
    — Jalaluddin Rumi.
  5. “Tulis sesuatu yang berharga untuk dibaca, atau lakukan sesuatu yang berharga untuk ditulis.”
    — Benjamin Franklin.

Terlalu banyak kebaikan dan kelebihan kita dan orang lain boleh dapati dengan menulis. Di sini, dikongsikan 33 sebab kenapa menulis itu penting selagimana masih bernyawa.

  1. Meninggalkan jejak diri – tulisan menjadi warisan yang kekal walaupun penulis sudah tiada. Menulis menjadikan seseorang itu ‘abadi’ berpuluh malahan beratus tahun. Lihatlah karya-karya dari Imam al-Ghazali, Ibnu Sina, Shakespears, Dale Carnagie, Imam al-Syafi’i, HAMKA dan lain-lain.

  2. Mengabadikan pengalaman hidup – setiap catatan adalah sejarah peribadi yang tidak akan berulang. Penulisan travelog hidup memperlihatkan betapa kuatnya kita (penulis) merekodkan apa yang berlaku sehari-hari dalam hidup. Ia bukan setakat untuk dikenang tetapi apa yang ditulis itu diharap dapat membantu orang lain membacanya (contohnya seperti buku travelog pengembaraan atau haji)

  3. Membantu mengingat – menulis mengekalkan memori yang mudah hilang jika hanya bergantung pada ingatan. Kita sebagai manusia yang sentiasa lupa dan lemah ingatan perlulah mencatat segala yang dipelajari agar tidak hilang dari ingatan. Imam Syafii pernah mengungkapkan mutiara kata ini: “Ilmu itu adalah hasil buruan dalam karung dan menulis adalah tali ikatannya”.

  4. Menjernihkan fikiran – menulis membantu menyusun kekusutan yang berserabut dalam minda. Sebagai contoh, dengan menulis apa yang mahu dilakukan pada hari ini atau minggu ini, membantu penulis menguruskan diri, kerja dan masanya dengan lebih teratur. Maka, secara tidak langsung, masa dirancang dengan lebih berkualiti.

  5. Meningkatkan kreativiti – tulisan mengasah imaginasi dan daya cipta. Dengan menulis, kita dapat mengatur pecahan-pecahan idea menuju ke satu arah yang mahu dijayakan. Contohnya seperti menulis tentang perancangan mengendalikan majlis perkahwinan agar ianya berjaya.

  6. Meluahkan emosi – ia menjadi ruang selamat untuk menyalurkan rasa marah, sedih, kecewa, atau gembira. Sekarang ini, kita dapat lihat di media sosial, ramai berkongsi emosi semasa mereka kepada umum. Meskipun banyak berbentuk video tetapi tetap juga ada tulisan ringkas di bawah. Untuk lebih mengekspresikan diri, ada orang memilik blog, website, facebook ataupun threads untuk menulis sedikit panjang.

  7. Menguatkan kesyukuran – menulis perkara yang baik mengingatkan kita kepada nikmat hidup. Selagi mana kita bernyawa, selagi itu sebenarnya ada nikmat Allah yang kita masih lagi nikmati yang perlu dihargai. Dan sebaiknya, untuk menghargai, digalakkan anda menulis jurnal kesyukuran atau jurnal peribadi yang menjurus ke arah perkongsian ilmu mahupun idea.

  8. Merekod ilmu dan hikmah – Menulis sangat penting terutama dalam bidang ilmiah dan agama. Ada satu hadis menyatakan pentingnya menulis itu. Abu Hurairah r.a menyatakan, ““Tidak ada daripada sahabat-sahabat Nabi s.a.w yang lebih banyak meriwayatkan hadith daripadaku kecuali Abdullah bin Amr. Sesungguhnya dia lebih banyak daripadaku disebabkan dia menulis dan aku pula tidak menulis”. (HR al-Bukhari & al-Tirmizi)

  9. Membantu membuat keputusan – menulis pro dan kontra sesuatu perkara menjadikan pilihan lebih jelas. Apabila kita telah senaraikan perkara yang pro dan kontra, ia menjadi lebih mudah keputusan perlu dibuat dalam satu-satu masalah atau jalan penyelesaian dapat dibuat.

  10. Menjadi terapi jiwa – menulis terbukti membantu mengurangkan stres dan kegelisahan. Menulis sesuatu yang positif secara tidak langsung menggalakkan diri sendiri untuk berusaha menjadi positif seperti apa yang ditulis. Dan barangkali juga, terapi jiwa menulis ini membantu orang lain yang membacanya untuk sama-sama positif (kita sebarkan kebaikan).

11. Meningkatkan kefahaman – dengan menulis semula apa yang dipelajari, ilmu lebih melekat. “Nuun. Demi pena dan apa yang ditulis.” (surah al Qalam: 1-2). Ayat al-Quran ini menunjukkan bahawa dengan menulis atau mencatat ia merupakan satu proses dalam mendapatkan ilmu. Mencatat adalah suatu proses penting dalam penyebaran ilmu dan secara tidak langsung menunjukkan sikap menghargai ilmu.

12. Mengukuhkan hubungan dengan Tuhan – menulis doa, refleksi iman, dan catatan rohani menunjukkan secara tidak langsung kita percaya kepada Allah, percaya pada rukun Islam dan iman dan percaya bahawa dengan berkongsi tulisan dan perkara baik, ia menjadi saham akhirat yang diharap diterima Allah. “Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya.” (HR Muslim, al-Nasa’i, al-Tirmizi, Abu Daud)

13. Meningkatkan kemahiran bahasa – menulis melatih gaya bahasa, kosa kata, dan keindahan ungkapan. Kita belajar untuk menulis atau mengarang ayat-ayat yang sesuai dengan sasaran pembaca kita. Jika kita belajar bahasa Jepun dan kita belajar mengarang ayat dalam bahasa Jepun, ini secara tidak langsung melatih diri untuk mahir, fasih dan faham tentang apa yang ditulis.

14. Meningkatkan keyakinan diri – dengan sentiasa menulis, secara tidak langsung ia membantu penulis meningkatkan keyakinan diri pada apa yang ditulisnya. Contoh, jika seseorang itu minat menulis puisi atau gurindam, sudah semestinya dengan pantas mindanya akan berfikir bait-baik ayat yang hendak ditulis yang berbentuk puitis. Apabila menulis, akal, hati, emosi dan fizikal seolah bergabung untuk menterjemahkan apa yang tersirat di hati. Perlahan-lahan dia menjadi seorang pakar dalam apa yang ditulisnya.

15. Membina identiti diri – gaya penulisan mencerminkan siapa diri penulis. Penulis seolah telah mencipta ‘jenama’ tersendiri dengan gaya penulisannya tanpa meniru orang lain. Hasil karya penulis yang punya identiti tersendiri membuatkan pembaca tegarnya sentiasa ternanti karya atau hasil catatannya barunya.

16. Memberi inspirasi kepada orang lain – tulisan boleh menguatkan semangat pembacanya. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dapat dilihat ramai penulis dan penerbit mula berkongsikan kata-kata positif, pengalaman negatif kepada positif, kisah-kisah baik dan kata-kata perangsang yang diharap mampu membangkitkan semangat yang lemah atau mencari semangat baru demi meneruskan kesinambungan hidup. Dan dapat dilihat, ramai pembaca mula menyukai mutiara kata dan kisah inspirasi ini yang ditulis. Secara tidak langsung, penulis mengajak pembaca untuk melakukan kebaikan dan menghindari melakukan perkara tidak baik.

17. Mencegah hilangnya ilmu – jika hanya dihafal, ilmu mudah hilang, tetapi tulisan mengekalkannya. Tahap ingatan manusia adalah lemah jadi menulis membantu untuk kita sentiasa ingat apa yang dibaca atau diajar sebelum ini. Begitu juga dengan catatan-catatan ulama dan cendikiawan terdahulu. Mereka mencatat sebarang ilmu baru dan penemuan untuk memastikan bahawa generasi akan datang dapat mengamalkannya atau menambahbaikannya untuk kemaslahatan umat pada waktu itu dan akan datang.

18. Membina legasi pemikiran – tulisan kita mungkin menjadi rujukan generasi akan datang terutama mereka yang suka berfikiran, yang menuntut ilmu dan berusaha mencipta inovasi dalam kerja masing-masing. Dengan menulis, kita merekodkan segala jenis penemuan yang ditemui agar memudahkan diri dan juga orang lain yang membacanya. Ini secara tidak langsung menggalakkan kita untuk berfikiran lebih kritis dan mengamalkan apa yang ditulis.

19. Meningkatkan disiplin – menulis secara konsisten melatih diri untuk kekal tekun dan fokus. Penulis akan mendisiplinkan diri untuk konsisten menulis pada waktu tertentu yang sesuai dengannya dan juga mendisiplinkan diri untuk menulis perkara-perkara baik dan positif agar tidak terpesong menulis perkara yang negatif, lalai dan menyakitkan hati.

20. Membantu komunikasi – tulisan adalah jambatan antara hati penulis dan fikiran pembaca. Jika seorang penulis ingin menyampaikan maklumat penting sebagai contoh berita tentang Global Sumud Flotilla, sudah semestinya dia akan berusaha menyampaikan berita yang terkini, benar, sahih dan disertakan sekali dengan bukti-bukti baru setiap masa.

21. Meningkatkan empati – menulis dari perspektif orang lain membuka ruang memahami manusia. Bila kita menulis tentang, kematian, kemusnahan, peperangan, kekurangan, kebuluran, secara tidak langsung kita menggalakkan manusia mewujudkan rasa empati dalam diri dan berusaha membantu dengan pelbagai cara.

22. Menjadi rekod sejarah – catatan harian seseorang adalah khazanah sosial pada masa depan. Anda boleh menulis diari atau jurnal untuk merekodkan apa yang berlaku setiap hari. Ada waktu mungkin panjang catatan anda, anda waktu ringkas sahaja. Apapun, catatan ini menggambarkan betapa anda berusaha mengingati apa yang berlaku, mengenal kembali watak manusia yang ada di sekeliling dan secara tidak langsung ,menjadikan ia sejarah indah bila dibaca kembali.

23. Membantu dalam penyembuhan luka batin – menulis tentang pengalaman pahit boleh melepaskan beban emosi. Kita tidak melepaskan sebarangan pada orang yang salah kerana kita sedar tidak semua manusia mampu mengawal mulut untuk merahsiakan masalah kita apabila diluahkan.

24. Mengajar kesedaran diri (self-awareness) – menulis refleksi harian membuat kita lebih mengenali diri. Kita menulis bukan sahaja perkara yang berlaku di sekeliling kita tapi juga menulis perkara-perkara umum yang membantu memberi perangsang dan ilmu baru kepada orang lain. Sebagai contoh, kita boleh menulis tentang penjagaan orang tua yang terlantar, bercerita tentang aktiviti kemanusiaan yang berlaku sekarang, tips penjagaan diri dan lain-lain.

25. Mendorong perubahan positif – kita menulis atau menyenaraikan azam dan matlamat hidup agar membantu dalam pengurusan diri dan masa ke arah mencapai matlamat. Matlamat kepada perubahan yang positif ini penting agar diri kita terdorong untuk melakukan kebaikan bukan sahaja untuk kebaikan diri sendiri tapi kepada orang lain yang memerlukan di luar sana. Sebagai contoh, orang yang ingin mengurangkan rasa kebimbangan, boleh membaca buku-buku atau tip-tip dari karya Dale Carnegie.

26. Meningkatkan daya fokus – menulis mengajar kita menumpukan pada satu perkara. Menulis mengerah segala tumpuan yang ada agar apa yang disampaikan adalah betul, tepat dan tidak tersasar.

27. Mewujudkan ruang dialog dalaman – tulisan menjadi cara berbual dengan diri sendiri. Kita bermonolog sendirian demi mendapatkan point yang betul dalam penyampaian agar pembaca mudah memahami, tidak terpesong dan berfakta.

28. Memupuk kesabaran – proses menulis menuntut masa, kerajinan, dan ketelitian. Bukan itu sahaja, idea-idea yang bernas perlu digarap melalui pemerhatian, pembacaan dari buku lain, temubual ataupun kajian lapangan yang mudah.

29. Meninggikan nilai spiritual – tulisan yang baik menjadi amal jariah berpanjangan. Menulis perkara-perkara yang bermanfaat seperti kisah Nabi, hadis Nabi s.a.w, ayat-ayat al-Quran, kehebatan cendikiawan Islam dalam bidang ilmu yang pelbagai dan pelbagai lagi kisah tauladan yang baik secara konsisten, secara tidak langsung membantu mengingatkan kita bahawa hidup beragama itu perlu dalam mendidik diri menjadi manusia yang berguna.

30. Membuktikan bahawa kita pernah hidup – setiap catatan adalah tanda wujud kita di muka bumi ini. Setiap hari selama mana kita menulis, kita membuktikan bahawa hidup perlu diisi dengan rasa syukur, rasa gembira, rasa menghargai, rasa berterima kasih dan ini membuktikan bahawa hidup ini sentiasa dilimpahi dengan kurniaan indah dari Allah.

31. Menulis itu ruang memberi dan peluang menemui – bila menulis, terutamanya di media sosial, laman web mahupun artikel di mana-mana, secara langsungnya, kita sedang belajar memberi dan menemui orang yang ‘sekepala’ dengan kita. Kita seronok berkongsi ilmu baru dan bercerita minat yang sama tanpa prejudis.

32. Menjadi terkenal – ramai penulis sekarang ini dikenali dengan hasil karya mereka yang bagus, berkaliber dan berjaya menarik golongan tertentu untuk terus membaca karya mereka. Sebagai contoh, karya J.K Rowling yang terkenal iaitu Harry Potter, telah menarik jutaan peminat buku di luar sana untuk mendapat edisi terkini kisah yang diminati. Mereka sanggup beratur panjang demi mengetahui kesinambungan kisah Harry Potter. Selain J.K Rowling, penulis lain yang turut terkenal dalam bidang masing-masing seperti Usman Awang, Dr. Zulkifli Noor Suraya, Pramodya Anata Toer, Hilal Asyraf, menjadi terkenal hanya melalui bidang penulisan.

33. Sumber pendapatan – Ada orang ditakdirkan hidupnya memperolehi rezeki melalui bidang penulisan. Sebagai contoh para wartawan, novelis, pencipta konten, kartunis dan penulis buku. Mereka menggunakan kelebihan yang dimiliki dengan mencari rezeki melaluinya.

Menulis bukan sekadar perkataan di atas kertas tetapi ia adalah nafas kehidupan yang dirakam dalam bentuk kata dan penulisan. Bagi penulis, selagi mana badan masih bergerak, minda masih waras, tubuh masih bernyawa, menulis itu tanggungjawab penting bagi memandaikan manusia dan mengajak manusia ke arah kebaikan. Nabi s.a.w bersabda, “Sesungguhnya para ulama adalah pewaris para nabi. Nabi-nabi pula tidak mewariskan dinar dan dirham. Mereka mewariskan ilmu. Siapa yang mengambilnya ia telah mendapat bahagian yang banyak dan sempurna.” (HR Abu Daud, al-Tirmizi, Ibnu Majah dan Ibn Hibban daripada Abu Darda’ r.a)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *