Bila orang tua sakit secara tiba-tiba, kita sebagai anak akan mula kalut. Ialah, selalunya bila mereka tak sihat, mereka akan uruskan diri mereka sendiri dengan mudah (masih boleh berjalan ke bilik air, mandi, solat, makan dengan mudah). Tapi bila mereka jenis sakit yang terlantar, sakit tua, sakit yang mengganggu pergerakan, sudah semestinya anak-anak mahupun cucu akan ambil sedikit masa untuk adapt ilmu baru dalam penjagaan mereka.
Ini berlaku juga kepada keluarga belah suami saya. Ibu bapa mertua tinggal dengan saya dan suami dan bila abah tiba-tiba jatuh sakit teruk akibat pendarahan dalam otak (exactly, out of the blue, dia jatuh terlentang di dapur tiba-tiba 3 minggu sebelumnya), kami anak, menantu, cucu jadi kalut dan nervous juga. Tak pasti bagaimana untuk rawat dia, bantu dia dan kurangkan kesakitan juga keresahan dia. Namun, setelah hampir 2 minggu, perlahan-lahan, kami dapat pengalaman dan ilmu baru dalam penjagaan orang tua (Allah tambah ilmu kita tak kira masa dan keadaan).

Di sini, saya kongsikan 8 panduan penjagaan orang tua sakit secara mengejut yang anda boleh lakukan bermula dari hospital hinggalah ke rumah.
Panduan 1: Semasa Di Hospital: Kumpulkan Maklumat dan Belajar Secara Aktif
Ketika orang tua kita dirawat di hospital, kita cenderung fokus kepada emosi: sedih, cemas, dan panik. Namun, ini juga sebenarnya waktu terbaik untuk mula mengumpul maklumat dan belajar ilmu baru tentang keadaan mereka. Beberapa perkara penting yang perlu dilakukan:
-
Berjumpa doktor atau jururawat yang merawat untuk memahami diagnosis sebenar, punca penyakit dan rawatan yang sedang diberi. Pada waktu ini juga, jururawat akan bertanya tentang ‘sejarah’ pesakit bagaimana terjadi dan situasi keadaan waktu ini. Maklumat ini penting untuk disampaikan pada doktor dan rawatan segera boleh dijalankan.
-
Catat semua ubat-ubatan yang dimakan pesakit sebelum mereka jatuh sakit (mungkin sebelum ini ibu ayah kita ada ambil ubat darah tinggi, ubat cair darah, ubat kolestrol atau apa aje). Senarai ubat ini membantu pihak hospital untuk memberikannya kepada pesakit sepanjang tempoh rawatan di hospital. Bukan itu sahaja, catat senarai ubatan baru yang diberikan hospital selepas discaj dan tanya bagaimana cara pengambilannya selepas itu.
-
Tanya tentang risiko berulang, pemulihan dan pantang-larang (makanan, pergerakan, emosi). Ini penting kerana kita mahu mengelakkan ibu bapa kita lambat dalam proses penyembuhan.
-
Lihat dan perhatikan cara jururawat menjaga — dari cara memberi ubat, menyuap makanan, menjaga luka, menukar lampin dan sebagainya. Ilmu ini penting kerana kita sendiri akan mempraktikkannya sepanjang mereka di bawah jagaan kita di rumah. Plus, jika ada orang lain sakit, kita sudah tahu tindakan yang perlu diambil untuk membantu.
Ambil gambar atau rakam video (dengan izin) jika perlu — ini akan sangat membantu apabila kita sendiri atau ahli keluarga lain yang akan membantu menjaga nanti di waktu kita ada hal atau tak sihat.
Panduan 2: Sediakan Rumah Sebelum Mereka Balik
Sebelum ibu bapa discaj dari hospital, pastikan rumah sudah sedia untuk menerima mereka. Penjagaan di rumah memerlukan sedikit perubahan ruang dan kemudahan asas agar selesa dan selamat. Ia bukan sahaja membantu pesakit tetapi juga orang yang menguruskan mereka.
Keperluan asas yang perlu disediakan:
-
Katil yang boleh dinaikkan sedikit kepala (boleh guna bantal tambahan jika tiada katil hospital). Jika boleh, gunakan katil single. Ini bagi memudahkan pesakit turun dari katil dan juga memudahkan kita membantu menguruskan mereka.
-
Tilam tahan air atau pelapik kalis basah
-
Lampin dewasa, tisu basah, pelapik pakai buang, sarung tangan
-
Kerusi roda atau tongkat (jika perlu)
-
Meja kecil di sisi katil untuk ubat dan air minuman
-
Peralatan asas seperti thermometer, mesin tekanan darah, alat ukur gula (jika berkaitan)
- Loceng SOS yang diletakkan penekannya di sisi katil pesakit dan juga dalam tandas. Selalunya kejadian tak diingini berlaku di dua ruang ini.
Jika tinggal di rumah dua tingkat, usahakan agar bilik penjagaan berada di tingkat bawah untuk memudahkan pergerakan dan lawatan ahli keluarga. Jika boleh, pastikan pintu bilik tidak terlalu ditutup rapat. Mungkin boleh sediakan penyendal pintu. Ini kerana ada ketika pesakit perlukan sedikit privacy dan juga jika mereka menjerit meminta tolong, kita di luar bilik pantas mendengar dan bergegas.

Panduan 3: Belajar Rutin Penjagaan Harian: Jadualkan Dengan Jelas
Penjagaan orang tua sakit secara mengejut memerlukan disiplin dan konsistensi. Susun satu jadual harian yang merangkumi:
-
Waktu makan dan menu yang sesuai (lembut, kurang garam/gula, kurang minyak, bergantung kepada penyakit)
-
Waktu pemberian ubat – tulis atau tampal jadual pada dinding
-
Waktu tukar lampin atau bersihkan diri
-
Waktu rehat dan tidur yang mencukupi
-
Senaman ringan (jika mampu) atau regangan pasif untuk elakkan kekakuan otot
Pastikan penjaga memahami semua tugas ini. Jika menjaga secara bergilir dengan adik-beradik atau anak, maklumkan tugasan dengan jelas agar memudahkan urusan masing-masing.

Panduan 4: Jaga Emosi dan Maruah Orang Tua
Apabila ibu atau ayah tidak lagi mampu berdikari, mereka mudah berasa rendah diri, kecewa atau rasa diri menyusahkan anak cucu. Dalam masa yang sama, mereka mungkin lebih mudah marah, murung, atau enggan bercakap. Itu yang berlaku pada mama dan ayah mertua saya. Mama, mungkin cepat sikit bangkitnya dari stres dan kesedihan. Sebaik keluar dari hospital. mama dah sedikit ok. Untuk ayah mertua ini pula, dia kelihatan malu dan tidak banyak bercakap. Kami masih tidak pasti sama ada diamnya kerana malu dan rasa diri menyusahkan atau ingatannya ada masalah memori selepas pembedahan di otak.
Apa yang boleh kita lakukan?
-
Bercakap dengan lembut, penuh kasih dan jangan terlalu mengarah. Tanya dan ajak berbual perkara asas yang tidak terlalu membebankan
-
Tanya pandangan mereka walaupun kita tahu mereka sakit – ini bagi menjaga maruah mereka dan mencari jalan untuk memudahkan urusan kedua belah pihak
-
Ucapkan pujian kecil atas kemajuan harian – contohnya “Alhamdulillah, hari ni ibu dah boleh minum air sendiri”, “syukur abah dah boleh berjalan tanpa tongkat 10 langkah.”
-
Bawa cerita gembira – tentang cucu, jiran, atau kenangan indah untuk menaikkan semangat. Boleh juga cuba ajak mereka bermain permainan yang tidak banyak bergerak. Contohnya seperti permainan dam, catur, carum atau melukis.

Ingat, emosi yang stabil akan membantu tubuh lebih cepat pulih. Hati yang tenang lebih mudah menerima rawatan dan rutin harian yang sedikit agak membosankan.
Panduan 5: Jangan Abaikan Diri Sendiri dan Ahli Keluarga Lain
Ramai penjaga jatuh sakit atau mengalami kemurungan kerana terlalu fokus menjaga ibu atau ayah yang sakit. Itu selalu terjadi. Anda tidak bersalah jika merasa penat. Itu fitrah manusia. Jika ini berlaku, apa yang perlu dilakukan?
-
Minta bantuan adik-beradik atau upah jururawat separuh masa untuk ringankan beban
-
Ambil masa untuk keluar seketika – ke kedai, taman, berjalan atau surau
-
Jangan putuskan silaturrahim dengan pasangan dan anak-anak yang lain. Banyakkan bersabar dan zikir
-
Luahkan perasaan kepada sahabat atau melalui jurnal. Luahan seperti ini akan lebih membuatkan diri sedikit ringan beban di bahu. Ia tidaklah hilang tetapi selepas meluahkan, beban emosi sedikit ringan
Penjaga yang sihat secara fizikal dan emosi akan lebih mudah sabar dan cekap dalam menjaga. Mereka juga dalam banyak masa, berusaha untuk bersangka baik pada ujian yang diberikan Allah ini.
Panduan 6: Kenali Tanda-Tanda Amaran & Bila Perlu Ke Hospital Semula
Walaupun kita sudah menjaga dengan baik, tetap ada kemungkinan keadaan orang tua bertambah teruk. Anda perlu tahu bila masa yang sesuai untuk bawa ke hospital semula bagi mendapatkan rawatan, contohnya:
-
Demam melebihi 38°C lebih dari 2 hari
-
Tidak sedar atau sangat mengantuk
-
Nafas laju atau sukar bernafas
-
Tiba-tiba tidak boleh bergerak seperti biasa
-
Luka yang makin teruk atau berdarah
- Sakit perut yang agak lama dan kerap membuang air besar atau kecil
Simpan nombor klinik atau hospital berhampiran dan pastikan kenderaan sentiasa tersedia. Jika ahli keluarga lain yang berkenderaan di luar kawasan, simpan nombor telefon ambulans atau jiran terdekat.

Panduan 7: Sumber Bantuan dan Komuniti Sokongan
Jangan hadapi semua ini seorang diri. Anda boleh mendapatkan bantuan sokongan dari:
-
Klinik Kesihatan Kerajaan – ada perkhidmatan lawatan jururawat ke rumah
-
NGO kebajikan warga emas – boleh bantu dari segi bekalan atau sokongan moral
-
Khidmat nasihat sosial hospital – untuk bantuan kewangan atau alatan perubatan
-
Komuniti online penjaga – tempat berkongsi pengalaman dan tip
Panduan 8: Serahkan Usaha Kepada Allah, Jangan Lupa Doa dan Syukur
Akhir sekali, ingatkan diri bahawa kita hanya mampu berusaha semampu yang boleh. Selebihnya adalah ketentuan Allah SWT. Jika orang tua kita sembuh, itu satu rahmat yang besar. Jika keadaannya tidak berubah, teruskan dengan kasih dan sabar ketika menjaga mereka.
Doa anak yang menjaga dengan ikhlas sangat tinggi nilainya di sisi Allah. Bahkan, setiap suapan, setiap sentuhan dan peluh penjagaan itu adalah pahala yang berpanjangan – ia ladang amal yang tidak semua orang dipilih untuk menjaganya.
Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah s.a.w bersabda:
رَغِمَ أَنْفُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ. قِيلَ مَنْ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ: مَنْ أَدْرَكَ أَبَوَيْهِ عِنْدَ الْكِبَرِ أَحَدَهُمَا أَوْ كِلَيْهِمَا فَلَمْ يَدْخُلِ الْجَنَّةَ
Maksudnya: “Kehinaan, kehinaan, kehinaan.” Baginda ditanya: “Siapa (yang engkau maksudkan) wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Siapa sahaja yang mempunyai orang tuanya ketika sudah lanjut usia, salah satu atau keduanya namun tidak (menjadikannya sebab) masuk syurga.” [Riwayat Muslim (2551)]

Penjagaan orang tua sakit ini janganlah dianggap satu beban. Anggaplah ia salah satu amanah yang Allah minta kita menjaganya selagi mereka atau kita masih bernyawa. Merawat ibu atau ayah yang jatuh sakit secara mengejut memang mencabar dan ditambah lagi dengan faktir ilmu yang tiada dan juga mungkin kewangan, tetapi ia juga salah satu peluang keemasan buat anak yang soleh/solehah untuk menunjukkan kasih sayang buat ibu bapa yang menjaga kita sejak dari kecil lagi. Ia bukan sekadar pengorbanan, tetapi bukti cinta yang tidak bertepi disulami juga dengan perasaan tanggungjawab.
Gunakan panduan ini sebagai langkah awal. Insya-Allah, dengan perancangan, kesabaran, dan pertolongan Allah, tugas ini akan menjadi lebih ringan dan bermakna setiap hari. Hargai setiap detik bersama mereka dalam bentuk ingatan yang baik-baik. Tidak dinafikan, pasti ada situasi tidak menyenangkan berlaku sekali-sekala namun, kita hanya perlu catatkan segala kenikmatan, kemudahan, kebaikan yang berlaku pada hari tersebut dalam jurnal hidup kita. Kita hanya perlu ingat yang baik-baik. Yang kekurangannya pula, anggaplah ia adalah pelajaran baru yang Allah mahu kita ambil perhatian.

