5 tip menulis mampu mengurus dan mengatasi rasa cemburu

Menulis mampu mengurus rasa cemburu yang ada dalam diri. Cemburu itu sebenarnya normal. Ada sahaja hadis menyatakan kita boleh cemburu pada 3 perkara. Tetapi cemburu yang  melampau dan merosakkan diri, itu sangat tidak baik. Dahulu, saya ada rekod yang baik dalam pelajaran dan hidup, tapi bila ujian Allah datang untuk membetulkan diri sendiri, ada beberapa ‘benda’ yang saya hilang. Namun kehilangan untuk beberapa tahun itu sebenarnya mengajar saya banyak benda. Dan salah satunya saya kembali menulis jurnal atau sebelumnya saya tulis diari harian.

Bagaimana saya tangani perasaan cemburu bila lihat orang lain memiliki apa yang kita tidak ada, tidak mampu dapat dan sebagainya? Pertama, sudah tentunyany saya beristighfar dan banyak taawuz banyak-banyak. Minta Allah lindungi rasa tak baik ini. Kemudian, setelah 4 tahun menulis jurnal, 5 faktor menulis ini membantu saya menguruskan rasa cemburu agar tidak melampau sangat dan cuba diatasi:

  1. Menulis mengenali punca rasa cemburu – Menulis membantu wanita memahami apa yang mencetuskan rasa cemburu—adakah ia datang daripada rasa tidak cukup baik, ketakutan kehilangan seseorang atau tekanan sosial? Contohnya, jika cemburu terhadap kejayaan orang lain, menulis boleh membantu mengenal pasti sama ada ia berpunca daripada rasa kurang yakin dengan diri sendiri atau apa. Jika kita rasa sebab kurang keyakinan diri, kita cuba ikhtiar bagaimana mahu ugrade diri, kita doa pada Allah agar dilorongkan jalan untuk rasa diri bermanfaat. Itu yang saya lakukan agar Allah dapat bantu di masa sukar begitu.
  2. Mengurus emosi dengan sihat – Daripada membiarkan cemburu bertukar menjadi pemikiran negatif atau tindakan impulsif, menulis memberi ruang untuk meluahkan emosi tanpa menyakiti orang lain. Teknik “unsent letter” (menulis surat tanpa niat untuk menghantarnya) boleh membantu melepaskan perasaan cemburu tanpa konfrontasi. Tapi seeloknya kita tulis perkara yang baik-baik bukan yang membuarkan lagi rasa cemburu, dengki atau marah. Elakkan. Saya pun tak nak dah tulis bukan-bukan masa mula-mula belajar menulis diari dulu.
  3. Melatih perspektif bersyukur – Jurnal kesyukuran memang banyak membantu mengubah fokus daripada ‘apa yang orang lain ada’ kepada ‘apa yang aku ada’. Contohnya, jika cemburu melihat rakan mencapai sesuatu, menulis tentang kejayaan dan nikmat sendiri boleh mengurangkan perasaan tidak cukup baik. Sebagai contoh lagi, saya belum dikurniakan Allah zuriat, jadi bila lihat orang lain ada zuriat, sudah semestinya hati sedikit terusik. Tapi, dari sudut saya mensyukuri nikmat Allah, saya bersyukur saya ada masa untuk diri sendiri, ada masa membaca buku disukai, boleh bangun tidur lambat (kadang-kadang) atau apa sahaja.
  4. Memahami nilai diri dan meningkatkan keyakinan – Cemburu sering berpunca daripada perbandingan sosial yang tidak sihat. Dengan menulis tentang kekuatan, pencapaian, nikmat dan impian peribadi, kita sebagai wanita boleh belajar untuk menghargai perjalanan hidup sendiri. Bukan itu sahaja, perkongsian ilmu yang baik dari Allah, Rasul, para ilmuwan Islam dan orang lain yang baik, mampu membantu saya memahami nilai diri sendiri (saya boleh menulis, sudah semestinya saya gunakan ilmu tersebut untuk sebarkan perkara baik).
  5. Mengubah cemburu menjadi motivasi positif – Menulis tentang seseorang yang dicemburui dan menukar sudut pandang kepada inspirasi boleh membantu mengurangkan rasa iri hati. Sebagai contoh, saya memang iri hati tengok arwah Akiko isteri Ridzwan menghidangkan makanan pelbagai jenis kepada suami dan anak dengan plating yang seperti hotel 5 bintang. Tapi saya ubah sudut pandang saya agar berusaha menjadikan dia sumber inspirasi untuk berikan yang terbaik pada keluarga tanda kasih sayang. Soalan dalam jurnal kesyukuran saya yang memang khas saya tulis, ‘Perkara yang dipelajari hari ini’ boleh mengubah cemburu menjadi dorongan untuk berkembang dan menambah ilmu baru. Jangan sekat kebolehan kita hanya kerana kita cemburu membabi buta.

Hasil kajian beberapa universiti luar negara sejak tahun 2003 sehingga sekarang menunjukkan bahawa menulis mampu menguruskan diri juga rasa cemburu yang ada. Menulis perkara yang perlu dilakukan setiap awal pagi untuk hari ini sebagai contoh, membantu kita untuk bukan sahaja menyibukkan diri dengan perkara yang penting serta bermanfaat tetapi juga membantu menghalau rasa cemburu yang tak berkesudahan bila melihat kelebihan dimiliki orang lain. Menulis di dalam jurnal pula menjadikan kita seorang yang lebih menghargai hidup, bersyukur dan berterima kasih bukan sahaja kepada Allah tetapi juga sesiapa yang membantu memudahkan urusan kita seharian.

Nabi s.a.w bersabda: Perasaan hasad dan dengki itu dilarang kecuali pada dua perkara: dengki terhadap seseorang yang dikurniakan ilmu tentang al-Qur’an dan dia membacanya sepanjang malam dan siang, serta dengki terhadap seseorang yang dikurniakan harta dan dia menginfakkannya (ke jalan Allah SWT) sepanjang malam dan siang. (Sahih Bukhari dan Muslim)

Untuk anda cuba mengatasi masalah cemburu, iri hati dan sikap negatif dalam diri, anda boleh cuba dapat Jurnal Pelengkap Kegembiraan. Dalam jurnal ini, anda akan dipandu untuk meluahkan rasa syukur dari sekecil-kecil perkara sehinggalah kepada yang besar. Menukar sudut pandang kita dari fikir negatif yang menyakitkan jiwa kepada fikir positif yang menenangkan hati dan mengingati Allah. Perubahan akan anda rasai dalam masa 90 hari anda cuba menulis.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *