Setiap kita pasti akan menghadapi ujian hidup dan ada ketika orang memanggilnya musibah. Di sini, kami kongsikan beberapa tip menghadapi musibah yang dikongsikan dalam buku Rasul Mulia, Umat Mulia, Akhlak Mulia. Kisah ini bersandarkan pada kisah orang-orang soleh dari kitab ulama terdahulu seperti Imam al-Ghazali dan Imam al-Qurtubi. Kisah-kisah ini menjadi sandaran yang penting kerana mereka yang diceritakan menghadapi ujian yang lebih hebat dari kita dan seboleh-bolehnya cuba bersangka baik pada Allah. Adakala sudut pandang mereka yang berbeza membuka mata kita untuk bersabar dalam menghadapi ujian.

Tip Menghadapai Musibah Pertama: Setiap kali menghadapi musibah, kita hendaklah sentiasa menjaga fikiran kita sepositif mungkin.
Salah satunya adalah dengan meyakini di dalam hati bahawa musibah ini adalah suatu petanda bahawa Allah tengah mengiktiraf kita sebagai Mukmin. Imam Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda, “Seorang Mukmin umpama pokok tanaman, setiap saat angin selalu meniupnya. Seorang munafik ibarat tumbuhan padi, ia tidak akan dicabut kecuali saat menuai.” (HR Muslim) Ini secara tidak langsung meyakini bahawa musibah akan membersihkan dosa-dosa diri.
Dalam sunan al-Tirmizi, Rasulullah s.a.w bersabda, “Bala sentiasa menimpa atas diri anak-anak dan harta seorang Muslim atau Muslimah sehingga ia berjumpa Allah tanpa membawa dosa sedikit pun.” (HR al-Tirmizi)
Apabila anda mengalami kecurian, cubalah lakukan seperti kisah yang diceritakan al-Ghazali dalam kita ihya’ Ulumuddin. Suatu ketika, seorang lelaki soleh kehilangan wangnya. Setelah mencari, baru ia menyedari bahawa seseorang telah mencuri wang itu daripadanya. Lalu ia segera berkata, “Semoga Allah memberkatinya. Mungkin ia lebih memerlukan wang itu daripada saya.”
Tip Menghadapi Musibah Kedua: Membayangkan betapa besarnya balasan Allah untuk setiap musibah yang dihadapi.
Apabila ditimpa musibah, perkara pertama yang wajar kita lakukan adalah membayangkan betapa besarnya balasan Allah untuk setiap musibah yang dihadapi dengan hati yang tenang dan penuh redha.
Dalam riwayat al-Tirmizi, Rasulullah s.a.w bersabda,” Sesungguhnya besarnya balasan Allah sesuai dengan besarnya bala (dugaan). Sesungguhnya Allah, jika dia mencintai suatu kaum, maka Dia akan menimpakan bala kepadanya. Sesiapa yang redha, maka ia akan dapat keredhaan (daripada Allah). Siapa yang membenci, maka ia akan mendapat kebencian.”
Suatu hari, seorang wanita solehah, isteri Imam Fath al-Musili, tersandung sehingga patah kuku jari kakinya. Beliau hanya tertawa melihat darah yang mengalir. Seseorang bertanya, “Tidakkah engkau berasa sakit?” Lalu dia menjawab, “Kelazatan pahalanya mengalahkan kesakitannya.”
Tip Menghadapi Musibah Ketiga: Kita hendaklah berfikir secara mendalam tatkala melibat musibah dengan memerhatikan dari pelbagai sudut.
Jika itu kita lakukan, kita akan menyedari bahawa musibah ini sebenarnya sangat kecil berbandng dengan kebesaran nikmat yang dimiliki.
Suatu hari, seseorang mengeluh tentang kesulitan hidupnya kepada Muhammad bin Samak, seorang imam yang zuhud. Ia mengeluh akibat lilitan hutang dan kesulitan untuk mendapatkan wang. Lalu Ibnu Samak bertanya kepadanya, “Berapakah wang yang engkau perlukan? Ia menjawab, “Sepuluh ribu.”
Ibnu Samak bertanya lagi, “Mahukah kamu memiliki wang sepuluh ribu tapi lidahmu bisu? Dia menjawab, “Tidak mahu.” Ulama itu bertanya lagi, “Mahukah kamu memiliki wang sepuluh ribu tapi kaki dan tanganmu terputus?” Sekali lagi dia menjawab, “Aku tidak mahu.”
Lalu ulama yang bijak itu berkata, “Nah, kamu memiliki sesuatu yang lebih berharga daripada wang tiga puluh ribu tapi mengapa masih bersedih?”

Latihan.
Sikap sabar menghadapi musibah ini tidak mudah diraih oleh setiap orang. Ia memerlukan latihan yang panjang sebelum seseorang dapat memperolehi sifat yang terpuji ini. Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya meriwayatkan ucapan Sahl bin Abdillah at-Tustari (w. 283h), “Apabila seseorang terbiasa bersabar dalam melaksanakan ketaatan dan terbiasa bersabar dalam meninggalkan kemaksiatan, maka pada saat itu, Allah akan memberinya kekuatan agar mampu bersabar dalam menerima ketentuan-Nya.
Buku rujukan: Umar Muhammad Noor. 2011. Rasul Mulia, Umat Mulia, Akhlak Mulia. Telaga Biru Sdn Bhd. Kuala Lumpur.

