Ada terbukti seorang yang gembira bila memiliki antara 35 tanda-tanda kegembiraan ini

Gembira adalah antara salah satu cabang kebahagiaan yang diimpikan oleh setiap orang. Realitinya, tiada orang yang mahu berasa sedih, stres, tertekan, cemburu, dengki ataupun berfikiran negatif sepanjang masa. Jika boleh dielak masalah, sudah pasti ramai mahu mengelakkan. Namun, suka atau tidak, Allah telah tetapkan yang masalah, ujian hidup, kepayahan adalah antara cabang-cabang yang membantu mematangkan diri, menguatkan semangat dan menambah ilmu dalam diri. Saya ada buat sedikit kajian tentang kegembiraan ini (exactly tengah buat kerja lain terjumpa pula pasal info gembira ni). Rupanya ada banyak cara untuk kenal pasti diri kita seorang yang gembira atau sebaliknya. Penemuan ini saya dapat daripada beberapa kajian kes, pengamatan (observation), pengalaman diri dan juga kajian dari universiti dalam dan luar Malaysia.

Berikut adalah 35 penemuan tanda-tanda anda seorang yang gembira dan pastinya bahagia (walaupun bahagia ini subjektif tapi jika anda gembira, sudah pastilah bahagia).

  1. Kerap menunjukkan ekspresi positif seperti senyum (smile intensity) – Kajian menunjukkan kerap tersenyum secara semula jadi berkorelasi dengan tahap kebahagiaan yang lebih tinggi. Mana ada orang sedih atau stres, senyum dengan ikhlas kan. Plus, bila kita senyum, ia mampu meningkatkan horman bahagia dan kita kelihatan lebih muda.
  2. Perasaan positif yang kerap muncul – Seseorang yang gembira mengalami lebih banyak emosi positif dan jarang emosi negatif. Walaupun berhadapan dengan masalah yang muncul tiba-tiba, mereka tak lekas melatah. Fikiran positif akan bergerak ke depan melawan fikiran negatif (bersangka baik).
  3. Kepuasan hidup secara global (life satisfaction) tinggi – Orang yang gembira memberi penilaian positif terhadap kehidupannya secara keseluruhan. Pada banyak waktu, dia boleh menerima apa yang berlaku pada diri dan hidup seharian. Cuma, bila ingin berubah atau melakukan perubahan. dia akan berusaha mencari jalan terbaik untuk diri dan orang sekeliling.
  4. Keseimbangan positif-negatif emosi – Kegembiraan dan kesedihan selalunya dapat dikawal dengan baik. Meskipun ada waktu tertentu, perasaan sedih atau stres datang dulu tapi selalu dalam waktu singkat, fikiran dan emosi positif Allah berikan segera untuk ketenangan dan penyelesaian.
  5. Kesihatan fizikal yang baik – Banyak hasil kajian menunjukkan bahawa status kesihatan yang lebih baik berkorelasi dengan tahap kebahagiaan adalah lebih tinggi. Jarang kita dengar atau lihat orang yang sakit, bahagia atau gembira dengan sakit dideritainya (pengecualian diberikan kepada para tabi’ dan tabi’in zaman dahulu kerana tahap iman mereka tak sama dengan kita sekarang).
  6. Sering melakukan riadah atau aktiviti fizikal secara konsisten – Orang yang gembira selalunya dia happy melakukan senaman tanpa perlu dipaksa. Saya ada seorang rakan yang suka berzumba. Dan sukanya dia pada latihan gerakan badan itu, sudah 12 tahun dia konsisten melakukannya bersama rakan-rakannya.
  7. Hubungan sosial yang kuat dan sokongan sosial – Hubungan baik antara diri dan ahli keluarga mahupun rakan-rakan serta jiran adalah baik. Jika berlaku perselisihan sekalipun, ianya tidak panjang dan segera diselesaikan. Jika orang lain ada masalah, dengan pantas perasaan ingin membantu datang dengan segera.

8. Rasa bersyukur dan sikap positif terhadap kehidupan – Ada satu kajian dari UKM pada penduduk yang bekerja di Johor Bahru menunjukkan bahawa, wujudnya pengertian hidup dan rasa bersyukur dalam diri mampu menyumbang kepada kegembiraan individu. Maksudnya, bila sering bersyukur, dia menjadi orang yang sentiasa gembira dan bahagia,

9. Mempunyai tujuan hidup / makna hidup – Kita lihat sahaja contoh seperti Kevin Zahri, Khairul Aming, Irfan Khairi, Chenom dan beberapa orang lain yang kita kenali. Meskipun kelihatan mereka sibuk, konsisten dengan kerja, ada sahaja aktiviti tertentu yang kadang-kadang kita lihat seperti penat tapi oleh kerana mereka punya clear tujuan hidup maka mereka lakukannya dengan gembira. Pada masa yang sama, mereka bukan sahaja memaknakan hidup sendiri tetapi juga menarik orang lain untuk turut gembira dalam apa yang dilakukan.

10. Prestasi kerja atau pencapaian yang diterima – Lihat sahaja orang yang gembira dengan kerja yang dilakukannya. Kita akan lihat kualiti pada kerja tersebut bukan cincai-cincai. Oleh kerana dia suka dengan apa yang dilakukan, dia berusaha beri yang terbaik agar beri kepuasan pada diri dan juga pada orang lain.

11. Kualiti persekitaran hidup baik – Anda dapat lihat seorang yang gembira dengan hidupnya. dia berusaha untuk menjadikan kualiti sekelilingnya adalah baik. Dia tidaklah kaya atau berjaya seperti jutawan tetapi tetaplah dia berusaha untuk jadikan circlenya yang kecil bahagia, tenang dan baik sangka. Dia cuba menyebarkan aura baik kepada orang lain.

12. Rasa tujuan / harapan masa depan – Orang yang gembira akan cuba berharap pada masa hadapan dia dapat memberikan yang terbaik kepada diri dan orang lain. Dia cuba untuk membina harapan positif dalam diri dan menjauhkan diri dari prasangka buruk ataupun negatif.

13. Lebih aktif secara sosial – Orang yang gembira juga dapat dilihat tidak kekok apabila berinteraksi dan aktif secara sosial. Mereka senang diajak berbual pelbagai perkara dan mudah apabila orang lain meminta tolong (lebih dirujuk kepada orang yang ekstrovet). Sejenis orang yang ringan tulang.

14. Kurang emosi negatif seperti kebimbangan / kemurungan – Seseorang yang gembira terbukti gembira bila dia dapat mengawal atau mengelakkan penyakit kebimbangan atau kemurungan. Ini kerana mereka yang gembira, bijak untuk menyibukkan diri dengan melakukan perkara yang meralitkan, yang mendatangkan rasa gembira dan sentiasa berdoa kepada Tuhan agar dijauhi penyakit yang tidak baik ini (rujuk buku Dale Carnegie).

15. Mempunyai keseimbangan kerja–hidup – Setiap manusia akan hadapi ujian hidup dan kerja. Bagaimana untuk seimbangkannya, bergantung kepada individu bagaimana dia mahu keluar dari kepompongan yang tak seronok dan menyakitkan. Jika rasa tak happy, cuba cari jalan untuk happy. Bukan apa, ditakuti perasaan tidak gembira itu akan memberi kesan bukan sahaja kepada diri tetapi juga ahli keluarga.

16. Pengurusan emosi yang matang –  Yang ini, tak ramai orang ada. Selalunya mereka yang berusia lebih 40 tahun, pernah uruskan pekerja yang ramai, sentiasa berjumpa dan dengar komen orang dan selalu berhadapan dengan pesakit yang mempunyai kesihatan yang kritikal, mampu mengurus emosi dengan lebih matang. Mereka melihat, mengkaji, berfikir dan kemudian barulah bersuara atau bertindak.

17. Kesyukuran atas pengalaman positif hidup – Tak semua pengalaman kita anggap positif. Tapi pasti ada waktu-waktu tertentu kita bersyukur Allah kurniakan situasi tersebut agar kita lebih menghargai dan gembira.

18. Anda sering berzikir dan berdoa pada Allah – Tanda ini penting kerana jika seseorang itu gembira atau sedih, tetaplah dia berusaha untuk mendekatkan diri kepada Allah. Bukan itu sahaja, dia akan berdoa kerana dia tahu dia ada Tuhan yang Maha Mendengar dan melapangkan hatinya bila sedih.

19. Ketahanan terhadap tekanan kehidupan (resilience) – Anda lihat sahaja mereka yang tertindas di bumi G. Walaupun ujian hidup mereka bukan kaleng-kaleng, tetaplah mereka ada fasa bersedih dan fasa bangkit kembali. Mereka sentiasa bersangka baik pada Allah kerana pegangan hidup yang kuat itu.

20. Lebih masa diberi untuk hobi atau rekreasi – Anda lihat kanak-kanak. Ia contoh termudah. Mereka walaupun kena pergi sekolah, siapkan kerja, ada aktiviti lain, tetaplah mereka mencari masa untuk gembirakan hati melakukan hobi yang diminati ataupun bersenam.

21. Menghargai orang lain ketika susah dan senang – Anda gembira kerana diberi peluang untuk meraikan dan membantu orang lain yang sering membantu anda.

22. Persepsi kendiri positif dan optimistik – Orang yang melihat diri sendiri positif cenderung lebih bahagia dari masa ke masa. Meski ada orang memandang rendah atau memperlecehkan, mereka tidak lama melayan perasaan. Orang gembira ini akan lekas bangkit.

23. Tidak terlalu obses membandingkan diri dengan orang lain – Individu yang gembira, mereka jarang membuat perbandingan diri yang boleh menyakitkan hati atau melemahkan semangat. Mereka fokus untuk maju dan berjaya dan mendoakan kebaikan pada orang lain.

24. Lebih mudah menerima kekurangan diri – Anda seorang yang gembira bilamana tidak membenci kelemahan yang ada pada diri tapi menerima ketidaksempurnaan itu sebagai sebahagian daripada hidup yang diberi Allah. Kurangnya self-critism pada diri.

25. Nada suara lebih tenang & stabil – Ada kajian menyatakan bahawa emosi orang yang gembira dan bahagia, intonasi suara mereka lebih tenang dan stabil. Mereka tidak terburu-buru bercakap dan memberikan pendapat.

26. Lebih kerap ketawa kecil (micro-laughter) – Anda seorang gembira dan bahagia apabila sering ketawa atau senyum kecil tanpa sebab yang besar. Selalunya ketawa kecil ini berlaku ketika kita berbual biasa ataupun teringat perkara yang melucukan/membahagiakan diri meskipun seorang diri.

27. Tidak mudah tersinggung – Anda boleh lihat kawan atau ahli keluarga yang tenang dan gembira ini sejenis yang tidak mudah tersinggung. Mereka bukan tidak ada perasaan cuma mereka tidak mahu memanjangkan pertelingkahan atau rasa sakit hati. Hati yang sakit jika dibiarkan akan membuatkan diri sengsara perlahan-lahan kerana tidak mahu belajar memaafkan atau melepaskan.

28. Lebih cenderung membantu tanpa mengharap balasan – Satu petanda orang itu gembira dan bahagia adalah dia menolong orang lain tanpa mengharapkan balasan. Dia lakukannya dengan ikhlas. Padanya, dia suka melihat orang lain gembira dan senang hati.

29. Taman yang terjaga tanda gembira dan bahagia – Ada satu bab dalam buku ‘The Semiotic Field of the Garden’ menyatakan bahawa, kebun atau taman yang terjaga, bersih dan pokok-pokoknya subur adalah lambang kesihatan pemilik dan orang yang menjaganya. Bukan itu sahaja, taman yang terjaga menjadi memberi manfaat terapeutik dari segi melegakan simptom fizikal, pengurangan stres dan meningkatkan kesejahteraan secara keseluruhan.

30. Bersyukur secara spontan (tanpa dipaksa) – Individu ini kita lihat gembira bila mulutnya sentiasa menzahirkan rasa hati yang bersyukur, berterima kasih, bercakap perkara yang baik dan menghargai apa sahaja walaupun ianya kecil.

31. Tidak terlalu takut masa depan – Orang yang gembira selalunya mereka merancang. Tapi, jika ia tidak menjadi seperti yang diharapkan, dia tidak panik. Dia usaha lagi dan jika tidak berjaya, dia belajar untuk memperbaiki kelemahan dan reda dengan apa yang telah berlaku. Mereka ini sejenis yang percaya kepada usaha dan juga takdir.

32. Lebih hadir pada saat ini (present-minded) – Anda seorang yang gembira bilamana anda hidup pada masa sekarang dan bukannya sibuk memikirkan masa lalu yang menyakitkan dan merisaukan masa hadapan yang tidak pasti. Nikmati dan hargai apa yang dimiliki waktu sekarang ini. Jauhi perkataan ‘kalau’, ‘jika’, ‘mungkin’ yang membuatkan kita was-was.

33. Nilai hubungan dengan Tuhan lebih stabil – Orang yang gembira dan bahagia selalunya bukan tidak ada ujian buat mereka cuma mereka lekas alih fikiran negatif kepada bersangka baik pada Allah. Orang seperti ini kurang memberontak, lebih amanah dan reda dengan ketentuan Allah.

34. Rasa “cukup” walaupun tidak memiliki segalanya – Orang yang gembira bukanlah orang yang memiliki hidup yang sempurna. Orang yang gembira adalah berasa cukup dengan apa yang dimiliki. Padanya, setiap hari ada sahaja nikmat yang Allah berikan. Dia berusaha untuk tidak cemburu dan belajar bahagia.

35. Emosi negatif datang, tetapi tidak berlama-lamaan – Orang yang gembira bila berasa sedih sebagai contoh kematian, mereka berusaha untuk tidak sedih dalam jangkamasa yang lama. Mereka perlahan-lahan akan mula sedar dan kembali bangkit meneruskan hidup kerana mereka tahu, emosi negatif yang datang jika tidak dikawal mampu merosakkan mental dan fizikal.

Gembira ini subjektif. Bergantung kepada individu. Namun untuk menjadi seorang yang gembira, anda tidak perlukan wang sejuta, tidak perlukan mahligai besar tapi jika anda memiliki paling kurang 3-5 ciri yang dinyatakan di atas, anda sudah menjadi seorang yang gembira dan bahagia. Mungkin, ada boleh jadikan check-list 35 tanda-tanda gembira ini untuk anda tambahi lagi nilai kegembiraan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *