Bersyukur sumber kekuatan meneruskan hidup setiap hari

Bersyukur bukan sekadar ucapan di bibir. Bersyukur sumber kekuatan yang sebenarnya kita selalu terlepas pandang dalam meneruskan hidup dan ketika menghadapi ujian. Kita mungkin bersyukur jika mendapat habuan yang besar tapi bagaimana pula dengan perkara kecil yang memudahkan urusan seharian dan menceriakan hari kita? Adakah kita bersyukur untuk perkara kecil yang diterima? Nabi s.aw ada bersabda, “Sesiapa yang berada dalam keadaan sihat, aman dalam kehidupannya dan memiliki makanan seharian yang cukup, maka seolah-olah dunia ini adalah miliknya.” (Hadis riwayat al-Tirmizi dari  Ubaidillah bin Muhsin al-Ansari).

Di sini saya berikan 10 sebab mengapa saya katakan rasa syukur mampu memberi kita sumber kekuatan yang tak disangka-sangka dan kita sering terlepas pandang.

  1. Syukur mengubah fokus dan cara pandang daripada kekurangan kepada kecukupan – Apabila kita bersyukur, kita berhenti melihat apa yang kurang dan mula melihat apa yang dimiliki. Fokus ini menjadikan hati lebih stabil dan tidak mudah goyah bila melihat orang lain ‘lebih’ daripada kita. Sebagai contoh, kita teringin untuk melancong ke luar negara tapi kita tidak cukup wang tetapi kita tetap bersyukur kerana suami mampu membawa kita pulang ke kampung atau berjalan di tempat yang dekat tanpa ada masalah.

2. Syukur mampu menenangkan sistem emosi – Kajian oleh para penyelidik di University of California, Berkeley mendapati amalan kesyukuran membantu meningkatkan kesejahteraan emosi dan mengurangkan tekanan pada jiwa. Hati menjadi lebih tenang dan emosi lebih terkawal bila meletakkan syukur di tangga teratas bila masalah sedang dihadapi.

3. Syukur membuatkan kita kuat daya tahan diri (resilience) – Orang yang bersyukur lebih mudah bangkit selepas kegagalan kerana mereka masih nampak makna dalam ujian yang berlaku. Contoh paling dekat yang kita boleh lihat sekarang ini adalah rakyat di Gaza. Lihatlah bagaimana mereka bangkit dan bergantung harapan pada Allah meskipun perang masih lagi berlaku hingga sekarang (katanya ada gencatan senjata tapi hanya pada nama sahaja). Para penduduk tetap berusaha meneruskan hidup, bergabung tenaga menjaga komuniti dan sentiasa memandang apa yang Allah beri ada kebaikannya di masa hadapan.

4. Syukur mampu mengurangkan perbandingan sosial – Bila hati dididik dengan rasa syukur dan menghargai, kita menjadi kurang membandingkan hidup dengan orang lain. Kita ada rasa cemburu bila melihat orang lain dapat memiliki apa yang kita impikan tapi ia dapat ditepis atau dikurangkan rasa cemburu itu dengan menghargai apa yang kita miliki yang tidak ada pada orang yang kita cemburu itu. Ingatkan diri barangkali apa yang kita ada dan miliki, diingini oleh orang lain. Sebagai contoh kebebasan yang dimiliki kita dicemburui oleh mereka yang ada di dalam penjara.

5. Syukur mampu menguatkan hubungan – Menghargai pasangan, anak, rakan, jiran dan keluarga menjadikan hubungan yang dimiliki lebih erat. Sokongan sosial tidak kira di rumah ataupun di pejabat merupakan antara sumber kekuatan yang sangat besar dalam hidup. Bayangkan kita sering aje bergaduh di rumah atau pejabat, pastinya untuk menjemput rasa syukur itu agak sukar. Maka, bersyukurlah jika punya pasangan, keluarga atau rakan yang memahami.

6. Syukur menanam harapan dalam diri – Walau dalam kesusahan atau kesulitan, syukur membuat kita percaya bahawa masih ada kebaikan yang sedang Tuhan aturkan. Harapan inilah yang memberi tenaga untuk terus berjalan. Bersyukur mengajar kita untuk bersangka baik pada Allah dalam banyak perkara. Sebagai contoh, pasangan yang tidak memiliki zuriat, Sudah pastinya mereka bersyukur kerana bersangka baik bahawa Allah belum beri lagi kerana Dia tahu mereka belum bersedia atau mungkin Dia menyediakan sesuatu yang lebih di masa hadapan.

7. Syukur meningkatkan kesihatan mental – Saat hidup sedang diuji dengan masalah, bersyukur mampu membantu kita untuk cuba bertenang, tidak mudah putus asa, cuba yang termampu, bertawakal dan bersangka baik. Mental kita akan cuba berfikiran positif berbanding membiarkan rasa negatif bertapak lama.

8. Syukur mengajar penerimaan (Acceptance) – Kita belajar menerima apa yang tidak boleh diubah. Penerimaan bukanlah tanda kalah, tetapi tanda kematangan jiwa. Kita sudah tidak lagi memberontak seperti waktu kanak-kanak dan remaja. Sebagai contoh kita menerima kematian ahli keluarga kita dengan lebih tenang kerana kita tahu itu yang terbaik aturan Allah.

9. Bersyukur sumber kekuatan membina keyakinan diri – Apabila kita menyedari nikmat dan pencapaian kecil dalam hidup memberi impak positif pada hidup, keyakinan dalam diri meningkat. Kita sedar kita sudah melalui banyak fasa jatuh dan bangun yang banyak dan masih lagi Allah izinkan kita berdiri. Setiap ujian itu sebenarnya ada fasa ilmu yang Allah berikan secara tidak langsung. Sebagai contoh, jika bukan kerana ujian kebimbangan dan ketakutan yang saya hadapi sebelum dan semasa Covid, saya tidak akan berani mencuba mencetak jurnal kesyukuran pertama di Malaysia untuk dikongsikan kebaikannya kepada orang lain. Jurnal kesyukuran ini perlahan-lahan menghindarkan diri saya dari berfikiran negatif, risau, cemburu kepada banyak bersyukur pada Allah, menghargai hidup, menerima apa yang dimiliki dengan lapang dada.

10. Bersyukur sudah semestinya mendekatkan diri kita kepada Allah – Dalam Islam, Allah berjanji dalam Surah Ibrahim: 7; “Jika kamu bersyukur, pasti Aku akan tambahkan lagi (nikmat) kepada kamu.” Bukan ayat ini sahaja, banyak lagi firman Allah yang lain yang menyatakan tentang pentingnya syukur ini. Keyakinan bahawa Allah akan menambah nikmat dan kekuatan buat diri hamba-Nya membuat hati kita belajar untuk tidak mudah goyah. Apa sahaja yang Allah beri, kita bersangka baik pada-Nya.

Banyak tokoh-tokoh besar dalam dan luar negara, Muslim dan belum Muslim menyatakan peri pentingnya bersyukur. Kebanyakan mereka juga bersetuju bahawa syukur merupakan sumber kekuatan bila diperlukan waktu menghadapi ujian atau prasangka negatif dalam diri. Menurut Helen Keller, kebahagiaan tidak datang dari keadaan yang sempurna tetapi dari kemampuan menghargai apa yang dimiliki. Ibnu Qayyim al-Jauziyah juga menyatakan bahawa kebahagiaan itu dicapai dengan tiga perkara; (1) bersabar ketika mendapat ujian, (2) bersyukur bila mendapat kenikmatan dan (3) bertaubat ketika melakukan kesalahan. Manakala Abu Hurairah r.a pernah berkata Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda, “Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan sebenarnya ialah kekayaan jiwa.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *