Bila ibu atau ayah tiba-tiba sakit: apa yang perlu dibuat dahulu?

Bila ibu atau ayah tiba-tiba sakit, kita sebagai anak pantas berfikir apa yang perlu dilakukan dahulu. Ini yang terjadi pada saya dan suami seminggu lalu. Hampir jam 3.30 pagi hari Jumaat, tiba-tiba pintu bilik diketuk dari luar. “Di, Di bangun. Abah jatuh,” suara mak mertua kedengaran memanggil. Pantas kami tersedar dan bangun. Suami meluru ke pintu. Buka dan nampak maknya depan pintu. Mereka bergegas ke bilik sebelah.

Saya juga pantas cari cermin mata dan pakai. Keluar dan lihat suami sedang usaha naikkan ayahnya ke atas katil. “Abah kau nak pergi toilet tadi. Tiba-tiba entah macam mana dia jatuh. Lepas tu terkencing dalam kain,” mak mertua bercerita tanpa dipaksa. Saya yang terpandang mereka dalam bilik bertembung pandang dengan ayah mertua. Wajahnya kelihatan macam blur dan tak pasti. Pantas suami menyuruh saya hubungi abangnya manakala dia uruskan abah. Saya hubungi kakak ipar dan memaklumkan mereka apa yang berlaku. Selesai hubungi, saya kembali pada suami. Tapi tak berani nak masuk sebab ada batas aurat abah nak kena jaga sewaktu suami sedang uruskan kain dan kawasan yang terkena kencing.

Saya ke dapur. Tetiba saya nampak ada beberapa tompokan najis. Saya pelik. ‘Apasal lain macam rupa taik anak-anak kucing ni?’ bisik saya dalam hati. Saya jerit pada suami, ”Yang, saya nak bersihkan dapur dulu. Ada masara’ah kucing kat sini. Takut ada orang terpijak.” Sementara tunggu abang ipar datang dengan anak lelakinya, suami uruskan abah dan saya uruskan kebersihan lantai dapur. Usai selesai, saya ke depan. Buka pintu rumah dan standby apa yang perlu. Suami buka pintu bilik mak abah dan kelihatan dia memapah abah dan berusaha membawa ke bilik air yang bersebelahan dengan bilik mereka. Rupanya abah berkeras nak ke bilik air. Nak bersihkan dirinya sendiri. Ya. Dia mahu rasa bersih dan selesa.

“Abah, jangan kunci pintu bilik air. Rudy bersihkan bilik abah kejap.” Suami bergegas masuk ke bilik mak abah. Kemudian dia keluar dengan cadar dan alas kain yang bernajis. Segera saya buka pintu depan dan dia bawa kain tersebut untuk cuci di paip luar. Saya kawal sebentar pintu sebab takut anak kucing keluar. Kemudian, suami masuk semula dan ke bilik tadi dan kali ni keluar dengan membaw bawa tilam lapik nipis. Seperti tadi saya buka pintu dan biarkan dia uruskan di luar. Saya standby tunggu abah kot dia keluar dari tandas. Mak mertua pula duduk di kerusi depan.  Cuba tenangkan diri dan sesekali berbual dan bercerita. Mungkin untuk hilangkan nervous.

Tak lama kemudian, muncul abah dari pintu bilik air sekali dengan suami yang baru angkat kerusi meja makan ke dapan untuk abah duduk. Pantas dia ke sisi abah dan bawa dia duduk. Kami berdua uruskan apa yang perlu dan kemudian duduk di ruang tamu menunggu keluarga abang datang. Dan entah macam mana, tiba-tiba mak mertua bersuara, “Tadi aku sakit perut. Dekat jam 2 tadi pergi tandas.” Suami terus tanya, “Mak berak cair ke?” “Tak lah, aku berak cam biasa aje tadi,” pantas dijawab. Saya pandang suami dan suami pandang saya. Kami seperti ada telipati menyatakan apa yang ada di dapur tadi, bukan najis kucing. Tapi kami diam. Biarkan aje dan tak mahu panjangkan cerita. Bila kami lihat abah tersengguk-sengguk tahan kantuk menunggu, suami sarankan abah mak tunggu di bilik. Biar dia tunggu famili abang datang.

Bila saya sudah tiga kali dalam situasi ini, sewaktu abah saya kena sakit dada tahun lepas, mama kena hernia dan kali ini ayah mertua pula sakit, beberapa tips yang ingin saya kongsikan sebagai panduan anda bila berhadapan situasi tak terjangka bila ibu atau ayah tiba-tiba sakit.

  1. Kekal tenang dan fokus pada tindakan pertama yang perlu dilakukan. Apabila berhadapan situasi begini, cuba untuk kurangkan panik, takut dan bimbang. Uruskan mana yang perlu dulu dengan hati-hati tapi segera.
  2. Ingat apa yang berlaku. Ini penting kerana apabila kita tiba di hospital atau klinik, mudah kita menyampaikan maklumat yang tepat tentang situasi yang berlaku pada ibubapa sebelum ini kepada jururawat dan doktor. Maklumat kita memudahkan mereka untuk putuskan apa yang perlu dilakukan seterusnya.
  3. Sediakan dokumen penting mereka sebelum ke hospital/klinik. Jangan lupa bawa kad pengenalan mereka, buku rawatan jika ada dan jenis ubat yang mereka sedang makan. Ini membantu untuk urusan pendaftaran di klinik/hospital juga memudahkan doktor untuk mengenalpasti simptom yang berlaku pada pesakit.
  4. Pastikan orang yang menemani mak atau ayah kita tahu akan sejarah perubatan mereka. Tidaklah tahu semua tapi sekurang-kurangnya orang yang menemani tahu rekod kesihatan yang dihidapi oleh ibubapa. Kita memudahkan kerja doktor dan diri kita juga.

5. Sediakan air mineral dan bekalan roti sedikit. Penting untuk ibubapa yang sedang sakit tiba-tiba lapar atau haus dan juga untuk kita yang mungkin kepenatan dan perlukan tambahan tenaga untuk menguruskan mereka. Bila di hospital, kita tak pasti berapa lama proses atau urusan menunggunya, jadi sediakan aje sebagai langkah keperluan.

6. Hubungi orang yang sedikit mahir dari kita untuk menguruskan orang tua. Ini yang saya hadapi bila uruskan mama yang sakit teruk awal tahun dulu. Saya terpaksa hubungi adik bongsu dan minta dia datang segera untuk bantu saya urus mama yang berbau najis (masa tu lampin yang dipakai mama dah penuh). Jururawat minta saya uruskan mama seperti uruskan kebersihan baby. Saya yang belum ada zuriat tercengang-cengang. Terus aje saya dail phone adik bongsu yang memang ada anak kecil untuk datang bantu dan uruskan mama. Anggap aje waktu ini Allah sedang ajar kita untuk belajar sesuatu dan tambahi ilmu. 

7. Perbanyakkan zikir dan doa. Ini penting sangat. Bukan sahaja untuk ibubapa kita tetapi kita juga. Mereka perlukan doa untuk kembali sembuh dan kuat manakala kita pula perlukan doa dan zikir untuk menguatkan emosi dan fizikal agar kuat menghadapi ujian baru ini. 

Apabila ibu atau ayah jatuh sakit secara tiba-tiba, ia bukan sekadar ujian buat mereka, tetapi juga ujian untuk kita sebagai anak. Di sinilah Allah sedang menguji bukan setakat mereka yang hilang nikmat sihatnya tapi kita yang perlu banyak bersabar dan belajar untuk mengikhlaskan diri menjaga mereka. Bak kata seorang jururawat di Hospital Ampang, “Pakcik, jangan abaikan makan ubat. Jaga kesihatan. Bila kita kena strok nanti, anak-anak akan jaga ibubapa dengan baik dalam sebulan dua aje. Lepas tu, bila masing-masing ada urusan, kita selalunya diabaikan atau lambat dapat perhatian.” Saya yang mendengar ucapan ini segera faham bahawa para jururawat dah lihat macam-macam kisah dalam hospital. Mereka hanya mampu menasihatkan dan bantu pesakit dan selebihnya terpulang pada pesakit dan keluarga.

Bila ibu atau ayah tiba-tiba sakit, saya bersyukur dikurniakan dengan adik-beradik dan ipar yang memahami dan sedia membantu. Mereka pantas menguruskan keperluan awal dan tahu rekod kesihatan ibu ayah itu sakitnya apa. Jadinya, masing-masing berperanan memudahkan urusan orang lain juga ibu ayah yang sedang sakit. Moga anda yang sedang menghadapi ujian kesihatan ibubapa Allah berikan kesabaran, kekuatan, keikhlasan dan semangat tidak putus asa. Ingat! Ia bukan ujian mereka sahaja tetapi juga ujian buat kita.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *