
Masalah kebimbangan atau anxiety adalah salah satu penyakit yang semakin hari semakin ramai penghidapnya. Dan saya, salah seorang daripada mereka yang ada masalah ini 15 tahun lalu. Masa itu, saya tak tahu namanya penyakit kebimbangan cuma yang saya tahu saya rasa risau, tak happy, banyak fikir bukan-bukan, risau tentang perkara lepas dan akan datang, cuba menyalahkan orang lain, nak segalanya kalau boleh perfect dan anggota badan menggeletar bila waktu-waktu tertentu. Tak mudah nak kawal diri masa tu. Macam-macam teknik saya cuba untuk redakan hati, kawal diri dan kuatkan semangat. Ada ahli keluarga yang tahu masalah saya tu, ada yang cuba membantu cuma mereka juga ada kekangan ilmu dan pengalaman menangani masalah kebimbangan atau anxiety ni. Saya faham.
Alhamdulillah, perlahan-lahan saya semakin pulih. Mungkin doa dari mama, suami dan adik mengubah kembali perasaan dan fikiran saya. Saya mula dapat fokus pada kerja, ibadah dan aktiviti harian yang sebelum ini susah untuk dilaksanakan. Saya mula mempraktikkan amalan sedekah, menulis perkara yang baik, membaca buku yang bagus dan motivasi serta kawal diri untuk belajar melepaskan perkara lama yang membebankan emosi.
Rasanya, titik perubahan saya paling ketara adalah sekitar tahun 2017-2018. Masa ni, saya kenal seorang mentor yang bagus cara tulisan dan kontennya. Saya masuk kelas kontennya sekali, saya follow dia di FB dan telegram dan ada bab-bab tertentu yang dia ceritakan, buat saya banyak tersedar dan berfikir. Saya sedar, apa yang dia sampaikan ada betulnya. Ada kekurangan pada diri yang saya kena baiki. Maka, saya bertekad, saya mesti amalkan 1 perkara baik yang Allah suka ini setiap hari (bab ni saya kena rahsia) sebab dulu saya sangat jarang melakukannya. Alhamdulillah, perlahan-lahan Allah bantu. Allah lorongkan juga kepada perkara-perkara lain yang dapat membantu mengatasi masalah kebimbangan yang dihadapi.
Sewaktu Covid melanda dunia, ditakdirkan Allah saya membaca 3 buku yang bagus dan berikan kesedaran. Saya tersedar bahawa masalah kebimbangan ini bukan masalah saya seorang. Masalah ini sudah lama wujud sejak zaman Perang Dunia Pertama lagi atau sebelumnya. Masalah kebimbangan ini sebenarnya ada banyak penyelesaian atau cara boleh dipraktikkan oleh penghidapnya untuk kembali sihat. Ianya bergantung kepada situasi individu dan masalah dihadapinya. Dan ini, saya kongsikan salah satu tip yang paling bagus perlu diamalkan oleh mereka yang ada masalah kebimbangan. Tip ini saya dapat dari buku bestseller yang bagus karya Dale Carnegie bertajuk How to Stop Worrying and Start Living. Dalam buku ini, sebenarnya ada banyak study case dan kisah yang membantu orang yang hadapi masalah kebimbangan dan kerisauan berjaya bangkit semula dan kembali berjaya. Cuma untuk perkongsian kali ni, saya kongsikan satu sahaja cara. Dan yang satu ini sebenarnya kita sudah miliki cuma kita jarang guna dan tak berapa yakin. Berdoa dan yakin pada Allah. Anda boleh baca 1 kisah dari banyak kisah yang dikongsikan dalam buku ini bab berdoa yang saya akan kongsikan (tak boleh kongsi banyak-banyak, kang kena saman bab plagiat).

Dalam tempoh enam tahun menulis buku ini, sudah beratus contoh dan kes-kes konkrit berjaya saya kumpul bagaimana manusia boleh menguasai perasaan takut dan bimbang dengan cara berdoa. Kesemua kes ini disimpan rapi dalam fail kabinet pemfailan saya. Mari kita lihat contoh paling tipikal. Kisah ini berkenaan seorang jurujual buku yang sudah tidak bersemangat dan tawar hati. Namanya John R. Anthony. Kini beliau seorang peguam di Houstan, Texas dan pejabatnya terletak di Bangunan Humble. Ini kisahnya pada saya.
“22 tahun lalu, saya menutup firma guaman saya kerana ingin menjadi wakil jualan kepada sebuah syarikat penerbitan buku undang-undang Amerika. Kepakaran saya ialah menjual set buku undang-undang kepada para peguam. Mereka memang memerlukan set buku yang saya jualkan kerana ia penting.”
“Saya sudah dilatih supaya cekap menjalan tugas itu. Saya mahir menyampaikan ceramah jualan langsung dan mampu memberikan jawapan yang meyakinkan bagi menangkis sebarang bantahan yang mungkin timbul. Sebelum mendekati prospek, saya perlu terlebih dahulu mengkaji gaya hidup mereka sebagai peguam, sifat amalannya, pandangan politiknya dan hobi. Semasa sesi temujanji, saya gunakan segala maklumat serta kemahiran yang dimiliki. Namun, ada sesuatu yang tak kena. Saya masih gagal mendapatkan pesanan. Semangat saya mula luntur.”
“Hari berganti hari dan minggu berganti minggu, saya terus menggandakan usaha. Hasilnya tetap tidak memuaskan. Jualan masih belum cukup untuk membayar perbelanjaan saya. Perasaan takut mula menyelubungi diri. Saya menjadi takut berhadapan dengan pelanggan. Perasaan berdebar-debar begitu kuat membuatkan saya naik turun tangga berulang kali atau jalan mundar-mandir di sekeliling blok bangunan terlebih dahulu sebelum berjumpa. Dalam keadaan lemah dan menggeletar, saya memutar tombol pintu. Ketika itu, saya sangat berharap supaya prospek yang ingin saya jumpa tidak berada di dalam.”
“Pengurus jualan mula mengugut saya. Isteri saya di rumah pula merayu meminta wang bagi menjelaskan bil perbelanjaan runcit dan tiga orang anak kami. Kebimbangan mula menguasai diri. Semakin hari saya semakin terdesak. Saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Saya sungguh kecewa, tertekan dan tidak tahu kepada siapa harus saya mengadu. Saya sudah tidak peduli sama ada diri saya hidup atau mati. Pada malam itu, di bilik hotel, saya faham mengapap mereka yang terdesak sanggup terjun dari tingkap hotel. Malah, saya sendiri jika punya keberanian, mungkin melakukannya. Saya mula tertanya-tanya apakah tujuan hidup saya. Saya tidak dapat memikirkannya.”
“Memandangkan tidak ada sesiapa untuk saya mengadu, lalu saya mengadu kepada Tuhan. Saya mula berdoa. Saya merayu kepada Tuhan yang Maha Kuasa supaya memberikan saya cahaya, pemahaman dan bimbingan supaya dapat keluar dari kegelapan dan kekecewaan yang menyelubungi diri. Saya memohon kepada Tuhan supaya dimurahkan rezeki. Mudah-mudahan saya mendapat banyak pesanan buku dan dapat memberi wang belanja kepada isteri dan anak-anak. Sebaik sahaja membuka mata selesai berdoa, saya lihat ada kitab Injil terletak di atas meja solek bilik hotel (Ingat ya, ini kisah orang inggeris jadi kepercayaan mereka berlainan berbanding Islam tapi konsep tetap sama iaitu ada pegangan agama). Lalu saya membuka dan membacanya. Saya dapat rasakan seperti ada keajaiban berlaku semasa saya berdoa dan membacanya. Segala tekanan perasaan yang menguasai diri sebelum ini mulai hilang. Kerisauan, ketakutan dan kebimbangan akhirnya bertukar menjadi keberanian, harapan dan keyakinan saya boleh berjaya. saya berasa cukup gembira. Sesuatu yang sudah bertahun tidak saya alami.”

“Keesokan paginya, saya tidak sabar menunggu pejabat prospek dibuka. Saya terus meluru masuk ke dalam pejabat prospek pertama dengan langkah berani dan positif. Tombol pintu saya buka penuh yakin dan menuju ke arah prospek. Dengan penuh semangat, saya senyum lalu menyapa, ‘Selamat pagi Tuan Smith. Saya John R. Anthony dari syarikat All American Law Book Company!’ ‘Oh Ya,’ jawabnya sambil membalas senyuman. Lantas beliau bangun dari kerusi dan menghulurkan tangan. ‘Saya gembira bertemu anda. Sila duduk’.”
“Jumlah jualan saya perolehi pada hari itu jauh lebih banyak berbanding dengan apa yang saya dapat dalam tempoh beberapa minggu. Pada petang itu, saya kembali ke hotel penuh rasa bangga seperti seorang wira penakluk. Saya rasa seperti orang baru dan sememangnya saya adalah seorang lelaki yang baru kerana sekarang saya sudah mempunyai mentaliti baru yang sentiasa ingin menang. Saya sedar wujudnya hubungan saya dengan Tuhan. Seorang lelaki yang bersendirian dengan mudah boleh dikalahkan tetapi seorang lelaki yang hidup dengan kekuatan Tuhan di dalam dirinya adalah kebal. Saya tahu kerana saya sendiri mengalaminya.”
“Berdoalah, nescaya ia akan diperkenankan. Carilah, nescaya kamu akan menemuinya. Ketuklah, nescaya pintunya akan dibuka untuk kamu.”
Bila membaca ayat akhir kisah John R. Anthony ini, saya terus teringat kepada satu hadis Nabi s.a.w tentang hubungan kita dengan Allah. Daripada Anas bin Malik r.a, Nabi s.a.w meriwayatkan daripada Rabbnya, Allah berfirman, “Jika seorang hamba mendekatkan diri kepada-Ku sejengkal, maka Aku akan mendekat kepadanya sehasta, jika ia mendekatkan diri kepada-Ku sehasta, maka Aku akan mendekatkan kepadanya sedepa, dan jika dia mendekatkan diri kepada-Ku dengan berjalan, maka Aku akan mendatanginya dengan berlari.” (HR al-Bukhari)
Membaca beberapa kisah lagi tentang hubungan doa dengan mereka yang ada penyakit kebimbangan dan kerisauan dalam buku ini membuatkan saya sentiasa berusaha untuk berdoa bila ujian hidup datang atau ingin melakukan sesuatu. Pada saya, at least saya sudah berdoa dan meminta, sekarang tugas saya pula untuk melakukan apa yang terbaik dan termampu untuk cuba merealisasikan pada yang diminta. Selebihnya, saya belajar untuk bertawakal dan bersangka baik dengan pemberian Allah.
Masalah kebimbangan atau kerisauan ini insyaAllah boleh dikurangkan. Yang penting, jangan terlalu lama memendam rasa, bersedih dan menyalahkan Allah. Belajarlah untuk bangkit, sangka baik pada Allah, sabar, kuatkan semangat dan bersyukur. Dan sekarang, selepas bangkit dari masalah kebimbangan dan kerisauan melampau, Allah lorongkan saya dengan menerbitkan jurnal kesyukuran (atau orang kita suka panggil diari). Jurnal kesyukuran yang saya ketahui mengenainya semasa Covid memandu saya untuk sentiasa bersyukur dengan apa dimiliki, belajar bersangka baik dan menghargai pemberian Allah dan berusaha sehabis baik untuk cuba kekal positif dan buang suara-suara negatif yang jahat. Untuk anda yang cuba untuk bangkit dari kebimbangan dan kerisauan, tapi tak tahu bagaimana untuk bermula, boleh dapatkan Jurnal Kesyukuran Pelengkap Kegembiraan. Jurnal ini bukan setakat mengajak anda menulis perkara baik dalam hidup setiap hari tetapi juga disertakan dengan doa, kata-kata semangat dan aktiviti bagi meralitkan diri agar jauh dari kerisauan dan kesedihan melampau.
Doa adalah langkah pertama yang dapat memberikan kita kuasa untuk bertindak. Saya tidak fikir ada orang yang berdoa setiap hari tetapi tidak mengambil sebarang tindakan susulan. Apabila kita berdoa, sebenarnya kita sedang berkongsi masalah. Kita memohon agar Allah membantu kita mengurangkan sedikit beban rasa atau masalah yang ditanggung.

