Catatan Syukur: Ruang Tenang Dalam Hari Sibukmu

Catatan syukur agak sukar untuk dilakukan bila berhadapan dengan kesibukan harian — tugas di tempat kerja, tanggungjawab sebagai isteri, ibu, anak, menantu, dan wanita yang sentiasa memberi — ramai antara kita mula merasa penat, hilang arah, bahkan kekosongan yang sukar dijelaskan. Apabila masa berlalu tanpa sempat kita berhenti dan menghargai apa yang sedang berlaku, kita akan terdorong untuk merasa hidup ini sekadar “menjalani”, bukan “menghayati”. Kita akan rasa hari yang memenatkan, membosankan, tak ceria, sukar untuk tersenyum dan rasa hendak marah sahaja bila sudah penat.

Namun, ada satu amalan yang mudah tetapi mampu memberi perubahan besar dalam hati dan cara kita melihat kehidupan: catatan syukur. Catatan syukur ini adalah merujuk kepada amalan menulis perkara-perkara yang kita syukuri setiap hari. Ia boleh jadi sesuatu yang kecil dan sederhana seperti secawan kopi panas di pagi hari ataupun sesuatu yang besar seperti kejayaan anak dalam peperiksaan. Tujuan utama catatan ini bukan sekadar untuk menulis dan mencatat tetapi lebih untuk melatih diri melihat kebaikan, walaupun dalam keadaan yang sibuk, rumit, marah, tertekan atau menyakitkan.

Syukur bukan hanya pada lisan, tetapi ia menjadi lebih bermakna apabila dilatih melalui tulisan. Tindakan ini akan mengaktifkan kesedaran minda dan hati untuk lebih peka terhadap nikmat harian yang sering kita anggap biasa. Bukan itu sahaja, mencatat perkara yang baik berlaku dalam hidup ini juga adalah sebagai cara untuk mengenang kembali kebaikan dan nikmat yang dinikmati sepanjang hidup. Ia seperti diarii harian tetapi catatan syukur lebih kepada catatan positif yang secara tidak langsung mendekatkan diri kepada Allah dan bersangka baik pada takdir yang diberi.

Kenapa Wanita Dewasa Perlu Mencatat Perkara yang Disyukuri?
Sebagai wanita yang menjalani pelbagai peranan dan tanggungjawab, kita sering meletakkan diri di tempat terakhir. Kita cuba menjaga kebajiakan semua orang, tapi kita terlupa untuk menjaga hati, mental dan emosi sendiri. Kita cuba bahagiakan orang lain, tapi kita lupa bertanya pada diri sendiri adakah kita bahagia? Dalam kesibukan ini, catatan syukur berfungsi seperti ruang peribadi untuk berhenti seketika dan mendengar semula degupan hati sendiri. Belajar menghargai banyak nikmat yang diberikan Allah tanpa kita perasaan bila diri terlalu sibuk.

Antara sebab mengapa wanita dewasa wajar memulakan catatan syukur sendiri ialah:

  1. Menenangkan jiwa yang letih
    Menulis apa yang kita syukuri membantu melenturkan tekanan dalam hati. Kita mula melihat apa yang masih baik dan cukup, walau hidup tak sempurna. Kita cuba untuk belajar menghargai dan bertenang.

  2. Mengukuhkan hubungan dengan Allah
    Syukur ialah salah satu bentuk ibadah hati. Apabila kita mencatat nikmat pemberian-Nya, secara tidak langsung, kita ketahui bahawa banyak benda Allah beri untuk memudahkan kehidupan yang memenat itu.

  3. Mengubah cara melihat cabaran
    Daripada melihat sesuatu peristiwa sebagai “masalah”, kita mula nampak ia sebagai “proses pembelajaran” atau “hikmah tertunda”. Kita belajar untuk berfikir kali kedua bila berusaha mencatat perkara positif yang berlaku dalam hidup.

  4. Mengurangkan rasa cemburu atau membandingkan diri
    Apabila kita fokus kepada nikmat sendiri, kita kurang rasa iri terhadap hidup orang lain. Secara tidak langsung, sifat cemburu dapat dikurangkan. Kita belajar untuk menyibukkan diri sendiri melakukan perkara baik yang boleh mendatangkan manfaat dan kegembiraan pada diri.

  5. Membina kesedaran dan kehadiran (mindfulness)
    Catatan syukur memaksa kita berhenti sejenak daripada kerisauan dan kebimbangan dan fokus pada hari tersebut yang sepatutnya dinikmati seadanya. Perkara yang lepas biarkan berlalu dan perkara akan datang, kita nantikan dengan sangka baik dan sabar.

Catatan Syukur Dalam Hari Yang Sibuk
“Saya terlalu sibuk untuk menulis kalau ada masa pun nak rehat aje.”
Ini adalah antara alasan paling biasa didengari dan diberikan.

Namun sebenarnya, semakin sibuk hari kita, semakin kita memerlukan ruang untuk bersyukur. Dalam kesibukan itulah, hati kita mudah resah, cepat marah, mudah membandingkan nasib sendiri dengan orang lain dan tertekan. Jika tidak diberi ruang rehat secara dalaman, lambat-laun kita akan ‘terbakar’ secara emosi dan juga tenaga.

Amalan mencatat perkara yang disyukuri hanya mengambil 3-5 minit, tetapi hasilnya boleh bertahan sepanjang hari. Walaupun mungkin kita tidak sempat mencatat perkara disyukuri pada hari yang sama, cubalah untuk mencatat hari esoknya. Pada waktu ini, ingatan kita masih lagi  segar untuk mengingati perkara semalam.

Bayangkan anda sedang menunggu anak balik dari sekolah. Daripada membelek telefon dan tenggelam dalam media sosial, kita boleh buka jurnal dan cuba mencatat 3 nikmat yang dialami hari itu. Tak perlu menunggu malam untuk menulis. Asal ada ruang masa, gunakan aje. Hati akan berasa lebih tenang. Anda akan tersenyum sendiri dan berterima kasih pada Allah waktu ini. Anda akan mula sedar bahawa dalam hidup yang penuh kesibukan dan masa yang singkat ini, sebenarnya anda sudah memiliki banyak perkara indah yang layak disyukuri.

Apa Yang Boleh Dicatat?
Apa sahaja yang buat anda rasa bersyukur:

  • Nikmat kesihatan walaupun sedikit letih

  • Senyuman anak walau rumah bagai kapal pecah

  • Suami yang pulang lewat tapi bawa kuih kegemaran

  • Hari hujan yang sejuk dan menyenangkan

  • Anak kucing yang tidur polos di atas kerusi
  • Doa yang anda ucap dan belum dimakbul, tapi tetap beri harapan

  • Ibu bapa yang sihat dan gembira menikmati masakan air tangan kita

Kadang ketika, anda juga boleh mencatat syukur terhadap kesusahan. Ya, cabaran yang buat anda lebih kuat, bersemangat, tak mudah putus asa dan sabar. Contohnya:

  • “Saya bersyukur diuji dengan anak tantrum, kerana saya belajar erti sabar.”

  • “Saya bersyukur kerja banyak, kerana itu rezeki dan amanah.”

  • “Saya bersyukur bekerja sendiri kerana saya boleh fokus masa dengan belajar memasak dan belajar ilmu baru.”
  • “Saya bersyukur bila terkena penyakit plantar faciitis enam bulan lepas kerana sekarang saya lebih menghargai kaki yang boleh bergerak dan mudah melakukan amal ibadat.”

Kesimpulan: Kembali Kepada Diri
Catatan kesyukuran bukan sekadar aktiviti menulis, tetapi sebuah perjalanan pulang ke dalam diri — untuk menyedarkan diri bahawa hidup ini tidak pernah kosong daripada kebaikan. Kita hanya perlu berhenti sejenak untuk melihat dan menghargainya.

Di tengah hari-hari yang sibuk, berikan ruang tenang buat hatimu.
Ambil pen, buka jurnal, dan mula mencatat perkara yang disyukuri dan dinikmati.
Biar sedikit, asalkan ia dari hati dan melekat di jiwa dan ingatan.

Wanita yang bersyukur, walau sesibuk manapun dunianya, tetap akan menemukan damai di hujung harinya.

Untuk anda, wanita yang sibuk diluar sana, untuk mula mencatat perkara yang disyukuri, anda boleh dapatkan Jurnal Kesyukuran Pelengkap Kegembiraan di web Ekspresisyukur. Jurnal ini memudahkan anda untuk menulis terus perkara yang disyukuri dan dinikmati dalam ruang yang disediakan. Bukan itu sahaja, terdapat kata-kata motivasi untuk menaikkan kembali semangat anda bila diri dirasakan agak tertekan dan perasaan merundum. Catatan syukur merupakan antara ruang yang tersedia untuk kita menghargai hidup walau sekecil apapun yang berlaku dalam hidup ini,

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *