
Setiap kali hujan turun, ada rahmat Allah yang turun sekali bersamanya. Pagi tadi, selepas membaca terjemahan al-Quran dan hadis (slot hadis ada sekali dikongsikan dalam al-Quran), saya terbaca satu hadis ini yang rasanya pertama kali saya baca. Saya pernah dengar orang cerita tapi saya tidak tahu itu hadis. Maksud hadisnya berbunyi:
Daripada Anas bin Malik r.a, dia berkata, “Kami disirami hujan ketika bersama Rasulullah s.a.w, maka Baginda membuka pakaiannya sehingga terkena hujan, lalu kami pun bertanya, “Wahai Rasulullah, kenapa engkau melakukan ini?” Baginda menjawab, “Kerana hujan ini merupakan rahmat yang diberikan oleh Allah.” (HR Muslim)
Dan rupanya air hujan ini jika dilihat dalam kitab Tibbun Nabawi, dikatakan bahawa air hujan dipanggil Gais. Gais ini disebut dalam banyak tempat di dalam al-Quran. Air hujan adalah air yang paling baik, lembut, bermanfaat, dan paling besar berkatnya, apalagi jika berasal dari awan yang disertai guruh, dan airnya terhimpun di rawa pergunungan. Air hujan adalah air yang paling lembab antara pelbagai air yang ada. Di dalam Islam, hujan bukan sekadar fenomena biasa tetapi ia didatangkan sekali dengan rahmat, peringatan dan jemputan untuk mendekatkan diri kepada Allah.
Saya cari pula info dalam Bayan Linnas. Rupanya ada juga dikongsikan tentang hadis berkaitan hujan.
- Imam Al-Nawawi dalam syarahan beliau ke atas hadis ini berkata : ‘’Sesungguhnya hujan ini adalah rahmat, dan ia baru sahaja tempoh penciptaannya oleh Allah Ta’ala lalu dilakukan tabarruk (mengambil berkat) dengannya’’. Rujuk Syarah Al-Nawawi ‘ala Muslim (6/195).
- Syeikh Zakariya bin Muhammad Al-Ansari berhujah menggunakan hadis ini dengan kata beliau : ‘’Dan disunatkan untuk seseorang itu keluar ke arah hujan yang turun dan menyelak pakaiannya (selain auratnya) supaya hujan menimpa badannya’’. Rujuk Asna Al-Mathalib (1/293).
- Kemudian dalam menjelaskan sebab dilakukan perbuatan tersebut, Syeikh Zakariya menukilkan sebuah riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa beliau ditanyakan akan sebab perbuatan tersebut, maka jawab Ibn Abbas: ‘’Apakah kamu tidak membaca firman Allah swt:Maksudnya : Dan Kami telah menurunkan daripada langit air yang berkat. [Surah Qaf:9]Lalu kata Ibn Abbas: Maka aku suka untuk memperoleh sedikit dari keberkatannya’’. Rujuk Asna Al-Mathalib (1/293).
- Imam Al-Baghawi dalam tafsiran beliau terhadap ayat di atas berkata : Iaitu (air yang berkat) dari sudut padanya kebaikan yang begitu banyak serta padanya juga kehidupan setiap sesuatu, dan ia adalah air hujan. Rujuk Ma’alim al-Tanzil, Al-Baghawi (4/271).
- Manakala Al-Thibi menyatakan bahawa ia merujuk kepada badan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Hakim pula, menyebutkan bahawa Rasulullah S.A.W membuka baju dari bahagian belakang badan baginda. Rujuk Mirqat al-Mafatiih, Mulla ‘Ali Al-Qari (3/1108).
Melihat kepada perbahasan tentang hadis air hujan ini, kita tahu bahawa setiap apa yang diberikan Allah kepada tubuh badan kita, diri kita dan rohani kita, pastinya bersebab dan ada kebaikan. Cuma kita selalunya tidak tahu kerana tiada ilmu dan kita ingat ia sekadar hukum alam.

Kenapa ketika hujan, kita digalakkan untuk banyak bersyukur?
Bila saya tulis artikel ini, saya baru perasan yang banyak firman-firman Allah dan hadis tentang hujan, rahmat Allah dan kenapa kita perlu perbanyakkan rasa syukur. Antara contoh ayat yang saya jumpa:
- Dan Dialah yang mengirimkan angin sebagai pembawa berita yang menggembirakan sebelum datang rahmat-Nya (iaitu hujan) hingga apabila angin itu membawa awan mendung. Kami halakan dia ke negeri yang mati lalu Kami turunkan hujan dengan awan itu. Kemudian kami keluarkan dengan air hujan itu pelbagai jenis buah-buahan. Demikian pula Kami mengeluarkan (menghidupkan) orang yang telah mati, semoga kamu mengambil peringatan. [Surah Al-A’raf: 57]
- Dan Dialah Tuhan yang menghantarkan angin sebagai berita gembira sebelum kedatangan rahmat-Nya dan Kami menurunkan dari langit air yang suci bersih. [Surah Furqan: 48]
- Tidakkah engkau memerhatikan bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu dialirkan menjadi mata air di bumi. Kemudian Dia menumbuhkan dengan air itu tanam-tanaman yang pelbagai jenis dan warna, kemudian tanaman-tanaman itu tumbuh subur… [Surah Az-Zumar: 21]
- Rasulullah s.a.w bersabda, “Dua doa yang tidak akan ditolak: doa ketika azan dan doa ketika hujan.” (HR Abu Dawud dan Ibnu Majah dari Sahl Bin Sa’ad]
- Anjuran dan galakan berdoa ketika hujan.
Rasulullah s.a.w akan membaca:
اللَّهُمَّ صَيِّبًا نَافِعًا
“Ya Allah, jadikanlah hujan ini hujan yang membawa manfaat.” [HR al-Bukhari]
Melihat kepada firman Allah dan hadis Nabi s.a.w ini, dapatlah disimpulkan bahawa:
- Ketika hujan, rahmat Allah turun mencurah-curah maka disarankan kita berdoa moga-moga apa yang didoakan Allah kabulkan.
- Rahmat Allah ini terus menerus tanpa sekatan (siapa boleh sekat hujan kan)
- Waktu ini, hati manusia lebih lembut dan tenang kerana rahmat Allah sedang turun. Jiwa terasa dekat dengan Allah.
- Hujan mampu menghidupkan bumi yang mati/gersang.
- Hujan mampu menumbuhkan rezeki dari pelbagai jenis tanaman dan memberi rezeki kepada manusia juga makhluk lain.
- Hujan juga mampu membersihkan alam dengan memberi udara segar semasa dan selepas hujan (banjir kayu akibat hujan ribut di Aceh itu, rasanya ada sebab tersendiri Allah mahu tunjukkan).
- Bersyukur ketika hujan mengingatkan kita bahawa hidup ini bergantung sepenuhnya kepada Allah, nikmat yang ‘biasa’ sebenarnya luar biasa dan kita sebenarnya berada dalam limpahan rahmat kasih sayang Allah.

Jika kita lihat dengan mata hati, hujan bukan sekadar air yang turun dari langit. Ia lebih dari itu. Ia antara bahasa kasih sayang Allah kepada hamba-Nya yang kita tidak berapa fahami. Ini kerana ketika hujan, Nabi s.a.w memperingatkan kita untuk mengamalkan doa dan berdoalah apa sahaja yang diingini waktu itu. Allah tahu yang dalam diri manusia itu ada lelah dan sedih yang tersimpan, maka, antara cara yang mudah adalah berdoa di waktu hujan turun.
Bila anda sudah membaca artikel ini, jangan lupa, setiap kali hujan bacalah doa yang diajar Nabi s.a.w dan angkatlah tangan untuk berdoa. Berdoa meminta apa sahaja daripada-Nya. Mana tahu, Allah makbulkan dan waktu itu kita menjadi hamba-Nya yang paling gembira.

