
Bahagia itu bergantung pada individu. Lain orang lain cara dia berasa bahagia. Namun, kebahagiaan dalam diri itu sepatutnya diiringi dengan perasaan tawakal kepada Allah. Sebagai contoh, seorang peniaga jagung, dia berharap bisnesnya pada minggu itu berjaya membawa keuntungan yang diharapkan. Sudah semestinya sebagai seorang Muslim, dia akan berdoa pada Allah, meminta agar dibantu dan dilorongkan cara untuk mendapatkan jualan yang memberangsangkan. Selepas berdoa, dia berusaha melakukan pelbagai perkara yang diharap dapat menarik pelanggan. Pada waktu inilah, semasa dan selepas dia melakukannya, dia bertawakal pada Allah. Dia telah berusaha bersungguh-sungguh dan semampunya maka waktu ini hanya pada Allah dia berharap.
Dan konsep berharap atau tawakal ini ia menenkankan pentingnya kita berusaha sebelum menyerah dan berharap kepada Allah. Ada satu hadis yang mahsyur tentang tawakal seekor burung.
Daripada Umar bin al-Khattab R.A, Nabi SAW bersabda:
لَوْ أَنَّكُمْ تَتَوَكَّلُونَ عَلَى اللَّهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرَزَقَكُمْ كَمَا يَرْزُقُ الطَّيْرَ تَغْدُو خِمَاصاً وَتَرُوحُ بِطَاناً
Maksudnya: “Seandainya kamu semua benar-benar bertawakkal pada Allah, sungguh Allah akan memberikan kamu rezeki sebagaimana burung mendapatkan rezeki. Burung tersebut pergi pada pagi hari dalam keadaan lapar dan kembali petang harinya dalam keadaan kenyang.” [HR Ahmad, al-Tirmizi, Ibn Majah, Ibn Hibban dan al-Hakim]
Dalam menjelaskan maksud hadis ini, Imam al-Munawi berkata: Hal ini menunjukkan bahawa tawakal tidak boleh dengan meninggalkan usaha. Tawakkal hendaklah dengan melakukan pelbagai usaha yang akan membawa kepada hasil yang diingini. Hal ini kerana burung pun memperoleh rezeki dengan berusaha. Justeru, hal ini memberi petunjuk kepada kita untuk berusaha mencari rezeki.

Di sini, saya kongsikan 13 konsep tawakal dari buku Jangan Bersedih, khas buat anda yang bersedih dan berusaha untuk bangkit kembali.
- Tawakal adalah percaya sepenuh hati kepada Allah.
- Tawakal adalah berserah diri kepada ketentuan Allah.
- Tawakal adalah sentiasa bergantung kepada Allah.
- Tawakal adalah reda kepada Allah.
- Tawakal adalah ketenteraman hati dengan ketentuan Allah.
- Tawakal adalah berputus asa daripada makhluk dan bersandar kepada Allah semata-mata. Tawakal itu adalah kemurniaan iman
- Tawakal merupakan jalan menuju hidup yang tenang, tenteram dan bahagia.
- Tawakal merupakan pintu yang menyebabkan rasa takut menjadi hilang dan kesedihan menjadi terhenti.
- Hati orang yang benar-benar bertawakal tidak tunduk pada makhluk kerana hatinya dipenuhi dengan kepercayaan kepada Allah.
- Orang yang bertawakal tidak tamak terhadap dunia dan sentiasa merasa qana’ah dengan apa yang telah dianugerahkan kepadanya kerana dia tahu sifat tamak itu tidak disukai Allah.
- Orang yang bertawakal pasti merasa cukup dengan Allah sebagai Tuhan Yang Maha Memberi.
- Orang yang benar-benar bertakwa memiliki jiwa yang tenteram, hati yang damai dan nurani yang kukuh.
- Orang yang bertawakal pasti lebih mengutamakan kejujuran walaupun merugikan dirinya daripada berbohong meskipun menguntungkan.
Usaha tetap perlu dilakukan. Rasulullah s.a.w sendiri berperang dengan pedangnya dan memakai baju besi dalam pelbagai peperangannya Baginda tidak hanya berdoa dan berharap musuhnya jatuh begitu sahaja. Baginda Nabi s.a.w juga memakai topi besi dan membawa perisai sebelum berperang. Rasulullah s.a.w pernah bersabda kepada seorang lelaki pemilik unta:
اَعقِلْهَا وَتَوَكَّلْ
Maksudnya: Ikatlah (untamu), baru kamu bertawakkal. [HR al-Tirmizi dan Ibn Hibban]
Rasulullah s.a.w memerintahkan kepadanya untuk melakukan usaha terlebih dahulu dan kemudian menyerahkan urusan keselamatan untunya kepada Allah. Justeru, hendaklah wujud usaha dalam sesuatu perkara atau pekerjaan di samping penyerahan urusan kepada Allah.

