Syukuri akan nikmat sihat: Hadiah daripada Allah

Nikmat sihat adalah salah satu nikmat yang paling besar dalam hidup manusia. Namun, ia juga antara nikmat yang sering kita abaikan dan lupa untuk disyukuri. Ramai orang hanya mula sedar betapa berharganya memiliki tubuh badan yang sihat bilamana tubuh mula diserang sakit, tenaga makin menghilang dan bila satu persatu kebolehan yang dimiliki lenyap.

Bayangkan bagaimana kita menjalani hidup dalam keadaan sihat. Kita mampu bangun pagi, mandi, solat, mengaji, berjalan ke dapur, menyiapkan sarapan untuk keluarga dan melakukan aktiviti pagi dengan mudah. Kita boleh bekerja mencari rezeki, boleh menolong ibu bapa, boleh berkebun, mengemas rumah pada masa yang sama, badan kita masih boleh menerimanya kerja yang dilakukan tanpa rasa penat melampau. Sihat membolehkan kita melakukan semua itu dengan mudah, cepat dan teratur.

Namun, di sebalik kerja harian yang dilakukan itu, kita jarang benar berhenti dan merenung sebentar dan menyatakan dalam hati, ‘Alhamdulillah, aku sihat hari ini dan dapat buat macam-macam kerja’. Ayat ini terasa sangat penting pada saya bila menghadapi zaman covid dahulu dan menderita penyakit plantar faciitis dalam 3 bulan. Waktu itu, dapat bangun pagi dengan mudah, dapat angkat kaki ke bilik air, dapat berjalan kaki tanpa meletak tangan atau memegang sesuatu, adalah suatu nikmat yang tak terucap. Bila kaki beransur-ansur baik, happynya saya waktu itu, hanya Allah tahu. Berkali-kali saya berterima kasih pada Allah. Bukan sekadar ucapan, tetapi juga melalui tindakan.

Mengapa nikmat sihat itu besar?
Islam sendiri meletakkan kesihatan pada tempat yang mulia dan tinggi. Daripada Ibnu Abbas r.a., Nabi s.a.w pernah bersabda; “Dua kenikmatan yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia adalah kesihatan dan waktu lapang.” (HR al-Bukhari)

Hadis ini nampak ringkas tetapi sebenarnya sangat mendalam. Rasulullah s.a.w menegaskan bahawa ramai manusia terpedaya – mereka fikir sihat dan masa lapang akan kekal dalam jangkamasa lama. Padahal ia boleh hilang bila-bila masa dan sekelip mata. Pada hari saya perasan kaki saya semakin sakit dan sukar untuk bangkit dari tidur, saya teringat beberapa hari sebelum itu, saya lincah berjalan di KL mencari stok. Berjalan area Jalan TAR, turun naik tangga dan bawa beban berat di bahu adalah perkara biasa pada saya. Tetapi pada masa yang sama, saya terlupa yang sandle saya pakai semakin haus. Sudah tidak sesuai menampung berat saya yang berjalan dan membawa barang. Padahnya saya terima, kaki tidak dapat diangkat dan bergerak seperti biasa hanya kerana saya ambaikan keselesaan kaki.

Ujian kesihatan plantar faciitis ini juga bukan setakat mengganggu pergerakan dan fizikal saya tetapi juga mengganggu sedikit ibadah dengan Allah. Untuk membasuh kaki ketika wuduk menjadi cabaran, bila hendak rukuk. rasa ketat di bahagian peha ke bawah dan paling sengsara sekali bila hendak bangun dari sujud dan berdiri semula. Aduh!! Masa ni, memang terpaksa bergerak perlahan dan menggunakan  sebelah tangan dan kaki yang kurang sakitnya.

Diakui, tanpa sihat, segala perancangan hidup seolah terbatas. Sakit menarik tenaga, mengikis semangat, menukar senyum menjadi keluh, rasa tertekan dan perasaan menyesal mula datang. Bila difikirkan kembali waktu sakit itu, benarlah sabda Nabi s.a.w tu, kita hanya akan hargai dan ingat nikmat sihat bila kita sakit.

Ujian kesihatan mengingatkan kita bahawa Allah Maha Pemurah
Satu perkara yang sangat menginsafkan adalah hakikat bahawa kesihatan ini bukan kita yang cipta. Ia bukan hasil kepandaian atau kekuatan kita semata-mata. Ia anugerah Allah. Ia hadiah Allah buat semua hamba-Nya. Kita tidak boleh menuntut atau membeli sihat secara mutlak. Doktor boleh merawat, ubat boleh membantu, tetapi hakikat kesembuhan datangnya daripada Allah.

Awal tahun 2025, ibu saya diuji dengan tahap kesihatan yang agak teruk. Dia muntah, cirit-birit, senak perut dan tiada selera makan. Terpaksa ditempatkan di ICU Hospital Ampang selama 3 hari. Kemudian, hidungnya pula terpaksa dimasukkan tiub saluran yang membawa sehingga ke perut. Bukan itu sahaja, selama 5 hari, beliau tidak dibenarkan makan dan minum. Beliau hanya diberikan air glukos melalui tiub di tangan. Sengsara kami melihatnya. Hausnya ibu saya waktu dalam 5 hari tu, sampai terbawa-bawa ke alam mimpi. Beliau bermimpi dapat menikmati segelas air sirap ais. Subhanallah. Bila jadi begini, ibu saya betul-betul menghargai air yang diminum gelas pertama pada hari keenam. Perlahan-lahan disedut sambil menikmatinya.

Sebaik air melalui tekak, rasa syukurnya hanya Allah yang tahu. Kami juga turut bersyukur kerana dia diizinkan kembali untuk menikmati minuman. Jika dilihat pada banyak contoh di luar sana, berapa ramai orang yang tidak mampu menikmati air. Mereka hidup hanya menggunakan tiub di badan untuk menerima air dan makanan. Ini menunjukkan bahawa sihat adalah kurniaan Allah. Apabila ditarik dan tak diberikan kesembuhan, waktu itu sudah pasti diri akan benar-benar stres. Sebagai seorang Muslim, kita diajar untuk bersabar, sangka baik dan kuatkan semangat dalam mensyukuri sekecil-kecil nikmat hingga sebesar-besarnya. “Dan apa jua nikmat yang ada pada kamu, maka ia adalah daripada Allah; kemudian apabila kamu ditimpa kemudaratan maka kepada-Nyalah kamu meminta pertolongan.” (Surah An-Nahl 16: 53)

Bersyukur: Lebih kepada sekadar ucapan
Ramai faham syukur hanya di mulut – sebut “Alhamdulillah” selesai. Betul, itu satu langkah. Tapi syukur yang sebenar konsepnya lebih luas.

Imam Al-Ghazali mengajar bahawa syukur ada tiga peringkat:
1️⃣ Syukur dengan hati – sedar dan akui nikmat itu daripada Allah.
2️⃣ Syukur dengan lidah – memuji Allah, ucap Alhamdulillah dan berkata baik-baik.
3️⃣ Syukur dengan perbuatan – guna nikmat dengan cara yang diredhai.

Untuk nikmat sihat, bagaimana bentuk syukur ini?
✅ Hati yang sedar: “Ya Allah, terima kasih kerana Kau berikan aku kesihatan ini.”
✅ Lidah yang memuji: “Alhamdulillah aku sihat dan boleh bergerak hari ini.”
✅ Perbuatan yang menjaga: Makan yang baik, elak yang haram atau memudaratkan, bersenam, rehat cukup.

Islam tidak ajar kita ucap syukur tapi membazir makanan. Atau ucap Alhamdulillah tapi merokok. Atau berdoa sihat tapi malas bergerak. Selarikan dengan apa yang disebut dengan perbuatan yang baik dan bermanfaat. Syukur itu bukti iman. Syukur itu amalan hati, lidah, dan anggota. “Maka ingatlah kamu kepada-Ku nescaya Aku ingat kepada kamu.” (Surah al-Baqarah 2: 152)

Gunakan nikmat sihat untuk beribadah kepada Allah
Tujuan hidup manusia adalah untuk beribadah kepada Allah. Tujuan ini telah dinyatakan oleh Allah di dalam al-Quran dalam surah Adz-Zaariyat 51: 56, “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.” Bila kita sihat, ruang untuk kita beramal ibadah dengan mudah, yakin, tenang dan khusyuk lebih baik. Orang yang sihat boleh:
✔️ Solat berdiri, rukuk dan sujud penuh khusyuk dan sedikit lama
✔️ Bangun malam tahajud
✔️ Puasa Ramadan tanpa keuzuran
✔️ Pergi ke masjid berjemaah
✔️ Menolong orang lain, berkhidmat pada keluarga
✔️ Tiada penyakit was-was atau kebimbangan melampau

Alhamdulillah, kedua mertua saya dikurniakan nikmat sihat badan oleh Allah ini agak lama sehinggalah sekarang. Walaupun ada sakit-sakit kaki dan lutut sikit, ingat-ingat lupa sikit, tapi rezeki mereka, masing-masing dapat solat berjemaah bersama, solat berdiri, berpuasa penuh sepanjang Ramadhan dan  dapat berjalan tanpa menggunakan kerusi roda. Ayah mertua saya sudah mencecah 85 tahun dan penyakit yang dia hidapi hanyalah prostat dan kencing tak lawas. Dan Alhamdulillah, tanda dia dan isteri menghargai pemberian Allah ini, mereka cuba jaga solat di awal waktu dan sentiasa berjemaah.

Menjaga sihat juga ibadah
Ramai orang tak sedar bahawa menjaga kesihatan diri juga adalah salah satu ibadah dalam menghargai nikmat sihat. Islam bukan agama yang minta kita abaikan diri. Nabi s.a.w sangat menganjurkan umatnya untuk kuat dan sihat. Dari Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda, “Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada mukmin yang lemah.” (Hadis riwayat Muslim)

Makan makanan sihat, bersenam, tidur cukup – semua ini boleh jadi ibadah jika niat untuk menjaga amanah Allah. Ingat! Kita bukan hidup untuk makan semata-mata. Kita makan supaya kuat badan dan tulang agar dapat melakukan ibadah dengan mudah dan sekaligus dapat juga membantu orang lain dalam mencari redha Allah dalam hidup.

Antara cara kita mensyukuri nikmat sihat dalam kehidupan seharian:
✅ Bangun pagi, ucap “Alhamdulillah, Allah telah menghidupkan aku selepas mematikan aku sementara.”
✅ Sarapan dengan makanan halal dan bersih.
✅ Kurangkan gula, garam atau minyak berlebihan.
✅ Luangkan masa 10–20 minit berjalan kaki atau bersenam.
✅ Tidur cukup 6–7 jam.
✅ Elakkan stres melampau. Solat dan zikir untuk menenangkan hati.
✅ Gunakan tenaga untuk buat kebaikan – menolong orang, bekerja mencari rezeki halal.
✅ Masak makanan berkhasiat dan kurangkan makan makanan segera
✅ Pastikan rumah atau bilik dalam keadaan bersih. Ingat! Allah dan rasul sukakan kebersihan.

Semua ini nampak kecil. Tapi bila dibuat dengan kesedaran, ia bukan setakat mengundang syukur tapi juga keredhaan Allah. Nabi s.a.w bersabda, “Sesungguhnya Allah SWT itu baik, Dia menyukai kebaikan. Allah itu bersih, Dia menyukai kebersihan. Allah itu mulia, Dia menyukai kemuliaan. Allah itu dermawan ia menyukai kedermawanan maka bersihkanlah olehmu tempat-tempatmu dan janganlah kamu menyerupai kaum Yahudi.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Ujian sakit: Peringatan dan penghapus dosa
Kadang kita terfikir, kenapa Allah beri kita kesakitan ini? Dulu juga saya diberikan ujian emosi yang agak hebat. Saya tertanya-tanya kenapa dan bagaimana untuk pulih kembali. Rupa-rupanya, sebagai Muslim, Islam mengajar kita memandang kesakitan, kelelahan dan stres itu sebagai penghapus dosa.  Nabi s.a.w bersabda, “Tidaklah seorang Muslim tertimpa sesuatu kelelahan, penyakit, kesusahan, kesedihan, gangguan, bahkan duri yang menusuknya, melainkan Allah akan menghapus sebahagian dari dosa-dosanya.” (Hadis riwayat Bukhari & Muslim dari Abu Hurairah r.a)

Jadinya sekarang ni, jika saya menghadapi stres sedikit, kena demam ke atau apa aje kesakitan kecil contoh macam tangan terluka akibat pisau ketika masak, saya beranggapan bahawa Allah sedang menghapuskan dosa-dosa kecil saya yang saya lakukan tanpa saya sedar sebelum ini, Anda juga sebagai Muslim perlu beranggapan begitu. Segala kesulitan dan kesakitan ini perlu sangat sebenarnya kita syukuri kerana apabila kita menghadap Allah nanti, kita berharap tidak terlalu banyak dosa yang dibawa bersama yang membuatkan kita takut untuk bertemu dengan-Nya.

Janji Allah kepada orang yang bersyukur
Allah berjanji dalam Al-Quran: “Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan: ‘Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan tambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amatlah pedih’.” (Surah Ibrahim 14: 7)

Syukur membawa penambahan nikmat. Bukan hanya sihat, tapi juga rezeki, kasih sayang juga ketenangan hati. Ini sangat saya akui bilamana telah mengamalkan penulisan jurnal kesyukuran sepanjang 4 tahun setengah ini. Rasa cemburu pada orang, sedih, rasa tak dihargai, rasa useless atau marah dapat dikurangkan dengan banyak bila menyenaraikan nikmat-nikmat yang Allah berikan. Kita hanya perlu fokus banyak perkara baik Allah beri berbanding memikirkan perkara negatif yang mengundang sakit pada diri sendiri. Mulut kita juga dapat dikawal dari bercakap perkara-perkara yang menyakitkan hati sendiri mahupun orang lain.

Sihat adalah hadiah. Hadiah yang teramat mahal. Sihat bukanlah hak mutlak kita tapi ia adalah amanah yang perlu dijaga sebaik mungkin. Kita tak tahu bila nikmat sihat ini akan diambil kembali oleh Allah. Pagi ini kita sihat – petang belum tentu lagi.

Bersyukur bukan hanya kata. Ia cara pandang. Cara hidup. Cara kita menjaga tubuh, niat kita menggunakan tenaga dan cara kita menghargai hidup. Kerana pada akhirnya, kita semua akan kembali kepada Allah. Kita akan ditanya: Apa yang kamu buat dengan nikmat-Ku selama hidup?

Jika anda berhajat untuk memulakan rasa syukur dalam diri untuk mendapatkan kesihatan yang lebih baik, anda cuba senaraikan perkara-perkara baik yang diterima setiap hari dari Allah. Bermula dari bangun tidur sehinggalah tidur kembali (jika banyak sangat, pilih 5-7 sahaja pun cukup). Untuk lebih mudah lagi, boleh dapatkan jurnal kesyukuran Pelengkap Kegembiraan di mana dalam buku ini telah tersedia ruang-ruang untuk anda menyenaraikan perkara baik yang dinikmati juga disenaraikan banyak mutiara kata berkaitan syukur sebagai pemangkin semangat untuk sentiasa bersyukur, berterima kasih dan menghargai hidup yang masih ada ini.

Semoga artikel ini membantu anda dan saya tergolong dalam hamba-hamba-Nya yang sentiasa bersyukur.🌸 “Ya Allah, jadikan kami hamba-Mu yang bersyukur atas setiap nikmat, terutamanya nikmat sihat yang Engkau pinjamkan kepada kami.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *