5 Perkara yang perlu disegerakan dalam hidup

Terdengar ceramah Ustaz Badlishah di Youtube sambil mengemas rumah. Tiba-tiba terdengar dia berkongsi tentang lima perkara yang perlu disegerakan dalam hidup. Dia berkata, Islam mengajar umatnya untuk sentiasa bertenang dan tidak tergesa-gesa dalam banyak perkara. Namun, pengecualian diberikan kepada lima perkara ini berdasarkan kepada hadis Nabi s.a.w diriwayatkan oleh Muslim. “Tergesa-gesa itu daripada syaitan kecuali dalam lima perkara iaitu memberi makan kepada tetamu yang datang, menguruskan jenazah, mengahwinkan anak perempuan jika sudah bertemu jodoh, membayar hutang apabila sudah sampai tempoh dan bertaubat daripada dosa.”

Perkara Pertama: Memberi makan kepada tetamu

Pertama sekali, perkara yang perlu disegerakan ialah memberi makan tetamu yang datang. Tetamu yang hadir perlu dimuliakan dan diberi layanan yang baik. Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda, “Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia muliakan tetamunya.” (HR al-Bukhari)

Dalam bab memuliakan tetamu ini, ada juga kisah di dalam al-Quran tentang Nabi Ibrahim a.s melayan tetamunya. “Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Nabi Ibrahim yang dimuliakan? Ketika mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: “Salam sejahtera kepadamu!” Ia menjawab: Salam sejahtera kepada kamu! “(Sambil berkata dalam hati): mereka ini orang-orang yang tidak dikenal. Kemudian ia masuk mendapatkan Ahli rumahnya serta dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang). Lalu dihidangkannya kepada mereka sambil berkata: “Silalah makan”. (Surah al-Dzariyat 51: 24-27)

Menurut Sheikh Amin Al-Syanqiti di dalam kisah Nabi Ibrahim ini ada beberapa pengajaran yang boleh diambil:

  1. Segera menghidangkan makanan dan minuman untuk tetamu
  2. Hidangkan apa yang terbaik yang ada di dalam rumah
  3. Mendekatkan makanan kepada tetamu
  4. Bercakap dengan lemah lembut dengan tetamu

Perkara Kedua: Menguruskan jenazah

Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda, “Segerakanlah mengurus jenazah. Jika dia jenazah yang soleh, ia adalah suatu kebaikan kamu menyegerakannya. Namun, jika dia tidak soleh, maka kamu lepaskan satu keburukan daripada bahu-bahu kamu.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Segerakanlah mengurus jenazah yang telah meninggal dunia dan cuba elakkan daripada melewatkannya. Segeralah memandikannya, mengkafankannya, menyembahyangkannya dan mengebumikannya. Ucapkanlah takziah buat ahli keluarga yang kehilangan bagi menggembirakan hati mereka yang ditimpa musibah serta galakan untuk bersabar serta doa buat si mati juga ahli keluarga.

Imam al-Nawawi dalam kitabnya membicarakan tentang takziah;

“Ketahuilah, sesungguhnya takziah itu adalah bersabar dengan menyebutkan sesuatu yang baik (untuk menghiburkan hati) mereka yang ditimpa musibah, meringankan kesedihannya dan ianya adalah suatu yang mustahabbah (disunatkan). Ianya termasuk di dalam perkara amar makruf dan mencegah kemungkaran sepertimana firman Allah SWT: وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى (dan bertolong-tolonganlah kamu dalam kebaikan dan juga taqwa)dan inilah pendalilan yang terbaik di dalam takziah. Ianya juga sahih sabit daripada Nabi SAW yang mana telah bersabda:  وَاللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ (dan Allah SWT sentiasa membantu hambanya selagi mana hamba-Nya itu membantu saudaranya).” [Lihat al-Azkar, hlm. 148-149]

Perkara Ketiga: Mengahwinkan anak perempuan jika sudah bertemu jodoh

Janganlah terlalu merumitkan urusan perkahwinan dan akad nikah. Nabi s.a.w memberikan beberapa nasihat berkenaan dengan urusan jodoh. Baginda s.a.w bersabda :

إِذَا أَتَاكُمْ مَنْ تَرْضَوْنَ دِينَهُ وَخُلُقَهُ فَزَوِّجُوهُ، إِلا تَفْعَلُوا تَكُنْ فِتْنَةٌ فِي الأَرْضِ وَفَسَادٌ عَرِيضٌ

Maksudnya :” Jika datang kepada kalian sesiapa yang kalian redha akan agama dan akhlaknya maka kahwinkanlah dia. Jika kalian tidak melakukannya maka ia akan menjadi fitnah di bumi dan juga akan berlaku keburukan.” (HR al-Tabarani)

Begitu juga Nabi SAW memberikan beberapa kiteria pasangan yang ingin dikahwini. Nabi SAW bersabda di dalam satu hadis :

تُنْكَحُ الْمَرْأَةُ لِأَرْبَعٍ لِمَالِهَا وَلِحَسَبِهَا وَجَمَالِهَا وَلِدِينِهَا فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ تَرِبَتْ يَدَاكَ

Maksudnya :”Perempuan dinikahi kerana empat perkara kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka peganglah dengan yang mempunyai agama. Maka engkau akan bahagia.” (HR al-Bukhari & Muslim)

Perkara Keempat: Membayar hutang apabila sudah sampai tempoh

Hutang perlu dilangsaikan dan perlu dijelaskan bila kita sudah bersetuju ketika ingin meminjamnya. Ada satu kisah diriwayatkan di zaman Nabi tentang orang yang berhutang ini.

Diriwayatkan bahawa pada suatu hari dibawa jenazah kepada Rasulullah
s.a.w untuk disolatkan. Baginda terus bertanya: “Adakah dia meninggalkan
hutang yang belum dibayar?” Sahabat menjawab: “Ya, sebanyak tiga dinar.”
Baginda bersabda, “Kamu semua solatlah untuk jenazah ini.”
Lalu Abu Qatadah berkata: “Wahai Rasulullah, imamkanlah solat ke atas
jenazah ini. Saya akan membayar hutangnya.” Maka baginda kembali tampil
ke depan dan mengimamkan solat jenazah tersebut.
(HR al-Bukhari)

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Roh orang yang beriman tergantung dengan hutangnya sehingga dia melunaskannya.” (HR al-Tirmizi)

Perkara Kelima: Bertaubat daripada dosa

Taubat daripada dosa bermaksud memohon kemaafan kepada Allah dengan meninggalkan dosa, menyesali apa yang dilakukan, dan berazam untuk tidak mengulangi lagi serta jika mampu, memperbaiki amalan dengan memperbanyakkan melakukan kebaikan.

Allah SWT juga berfirman:  “Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (dari perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepadaNya; supaya Ia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) Ia akan memberi kepada tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal yang soleh) akan pahala kelebihannya itu.” (Surah Hud 11: 3)

Imam al-Nawawi dalam kitab Riyadh al-Salihin: “Para ulama berkata, bertaubat dari setiap dosa hukumnya adalah wajib. Jika maksiat (dosa) itu antara hamba dengan Allah SWT – yang tidak ada sangkut pautnya dengan hak manusia – maka syaratnya ada tiga:

  • Menjauhi dan meninggalkan maksiat
  • Menyesal kerana telah melakukan maksiat tersebut.
  • Berazam dan bertekad untuk tidak mengulangi perbuatan maksiat itu selama-lamanya.

Jika salah satu syarat tidak dipenuhi, maka taubatnya tidak sah.

Hidup ini masa kita muda, kita rasa seperti ia jauh lagi untuk menghampiri umur tua. Tapi sebenarnya, sebaik sahaja kita mula menjejakkan kaki ke angkat 30, dunia seakan berputar cepat dari hari ke hari. Itu yang saya rasai dan alami bilamana mertua yang sakitnya tak sampai dua bulan sudah pergi dijemput Ilahi. Tidak sempat rasanya hendak berbuat lebih banyak kebaikan padanya, menggembirakan dia dan meminta maaf akan kekhilafan diri bila diuji kepenatan dan kesibukan. Anda yang masih punya ahli keluarga dan orang tersayang, segerakanlah lima perkara yang perlu disegerakan ini. Janganlah bertangguh kerana jika bukan mereka yang pergi, barangkali kita dahulu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *