4 hadis sahih berkaitan dengan mengungkapkan kalimah yang baik

Mengungkapkan kalimah yang baik dengan sesiapa sahaja telah Allah peringatkan di dalam Al-Quran dalam surah An-Nahl ayat 125, “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah dan pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau seru itu) dengan cara yang lebih baik.” Dalam apa pun situasi yang kita hadapi, Allah dan Rasul memperingatkan kita agar sentiasa berusaha bercakap baik dan berhati-hati bila bercakap. Ini kerana, mulut antara yang memainkan peranan dalam membawa kebaikan pada diri di masa hadapan.

4 hadis sahih berkaitan mengungkap kalimah yang baik ini diperolehi dari buku 300 Hadis Bimbingan terbitan Telaga Biru. Ia antara hadis yang sering saya sering ingatkan diri bila berhadapan dengan situasi mulut ni kalau tak dijaga, memang mampu buat gaduh dan menyesal kemudian.

Hadis 1: Mengungkap kalimah yang mulia
Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda, “Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat makan janganlah dia menyakiti jirannya, dan siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat hendaklah dia memuliakan tetamunya, dan siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat hendaklah dia mengatakan perkara yang baik atau diam. [HR al-Bukhari dan Muslim]

Hadis 2: Mengucapkan salam
Daripada Abdullah bin Salam r.a, Nabi s.a.w bersabda, “Wahai manusia! Ucapkanlah salam, berilah makanan dan tunaikanlah solat pada waktu malam ketika manusia sedang tidur; nescaya kamu memasuki syurga dengan selamat. [HR al-Tirmizi]

Hadis 3: Amalan yang baik adalah sedekah
Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda, “Kalimah yang baik adalah sedekah, setiap langkah untuk mengerjakan solat adalah sedekah dan membuang benda yang tidak disukai di jalan adalah sedekah.” [HR al-Bukhari dan Muslim]

Hadis 4: Elakkan perkara yang disakiti
Daripada Abu Barzah r.a, ia berkata kepada Nabi s.a.w: “Wahai Nabi utusan Allah! Ajarkanlah daku sesuatu yang memanfaatkan aku.” Baginda bersabda, “Jauhkan perkara yang tidak disukai daripada jalan kaum Muslimin.” [HR Muslim]

Islam adalah agama yang bersifat lemah lembut, meraikan dan menjaga silaturrahim. Ucapan atau kata-kata yang dilafazkan perlulah sentiasa difikirkan sama ada sesuai atau tidak, baik atau mendatangkan mudarat dan agama menyarankan penganutnya untuk sentiasa bertutur perkara yang baik, benar dan tidak menyakitkan hati. Jika diikutkan, mengucap salam, berkata yang baik dan lemah lembut tidaklah memerlukan kos yang besar atau tenaga yang banyak tapi kita selalunya sukar untuk melakukannya. Mulut lebih ringan mengungkap kata-kata menyakitkan hati dan menyalahkan.

Apa kata, selepas kita belajar hadis ini, kita berusaha mengikis sifat-sifat tidak baik yang dibawa oleh mulut kita. Perbanyakkanlah berzikir, mengaji, bercakap yang baik-baik dan menyebarkan kebaikan melalui percakapan mahupun penulisan. Mengungkap kalimah yang baik perlulah disemai dalam diri dalam mengamalkan sunnah Nabi s.a.w dan pada masa yang sama menjauhi sifat-sifat yang dikeji Allah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *