25 kunci hidup tenang pada usia menjangkau 40 tahun

Kunci hidup tenang pada usia menjangkau dan sudah masuk ke fasa 40 sebenarnya ada banyak. Cuma kadang-kadang kita terlepas pandang, lupa, tak percaya, tak pasti dan rasa hidup ini masih belum lengkap lagi. Faham, ada di kalangan kita punya cita-cita yang belum tercapai atau ada impian yang ingin dijadikan realiti. Cuma, jangan terlalu ‘push’ diri sendiri hingga abaikan kesihatan dan ketenangan diri. Ingat! hidup bukan hanya ada pada wang, pangkat, status dan kekayaan sebab ada sahaja contoh diluar sana kita lihat memiliki segalanya tapi masih rasa diri tidak cukup dan tidak juga tenang.

Jika anda, umurnya sudah menghampiri 40 atau sudah masuk pun ke angka 40 itu, ini kami kongsikan 25 kunci untuk hidup tenang. Ia bukan setakat panduan buat anda tetapi juga buat kami yang sudah memasuki fasa umur ini.

  1. Maafkan masa lalu – Berdamailah dengan kesalahan atau kekhilafan yang telah dilakukan sewaktu muda. Pada masa ini, kita sendiri tahu ada ‘sesuatu’ yang telah dilakukan sepanjang proses mematangkan diri. Bukan sahaja kita perlu belajar memaafkan diri, tetapi juga belajar memaafkan orang lain. Mungkin tidak semudah dikata tapi kita kena cuba. Jadikan Nabi s.a.w sebagai contoh memaafkan orang lain.
  2. Jaga hubungan dengan Allah – Usahalah sentiasa solat di awal waktu, bersedekah, perbanyakan zikir dan membaca al-Quran, sentiasa berdoa dan belajar bersangka baik. Perkara-perkara ini jika dilakukan secara konsisten dan sentiasa ditambahbaik, fikiran kita pasti tidak akan disubukkan dengan memikirkan perkara lain yang tidak bermanfaat.
  3. Utamakan kesihatan fizikal dan mental – Bersenam, dapatkan tidur yang cukup, makan makanan berkhasiat, membaca, beriadah dan belajar kemahiran baru. Bila tubuh dan emosi sihat, kita akan lebih berasa tenang, syukur dan menghargai hidup.

4. Terima diri seadanya – Berhenti membandingkan diri dengan orang lain. Setiap orang ada kelebihan dan kekurangan cuma kita selalunya jarang melihat kelebihan diri. Perangai tidak baik ini sering berlaku bila kita selalu melihat kelebihan dimiliki orang lain di media sosial. Ingat! Setiap orang ada masalah tersendiri cuma mereka tidak mewar-warkannya demi menjaga aib sendiri.

5. Pilh teman yang membina jiwa – Elakkan atau jauhi rakan-rakan yang suka merungut, memperlekehkan orang lain, sukar bertolak ansur, tidak mahu mendengar pendapat orang lain atau mengajak kepada perkara negatif. Kita mahu hidup kita tenang dan baik ingatlah pesan Nabi s.a.w tentang hadis penjual minyak wangi dan tukang besi.

6. Amalkan kesyukuran setiap hari – Setiap pagi atau setiap malam, tulis 3 ke 5 perkara yang disyukuri berlaku pada hidup. Sebenarnya terlalu banyak pemberian ‘hadiah’ dari Allah kepada kita cuma kita jarang melihatnya sebagai ‘hadiah’ daripada-Nya. Bila Allah menarik kembali pemberiannya sebagai contoh nikmat berjalan, baru kita rasa sangat pentingnya kaki yang bergerak juga tenaga yang kuat sebelum ini.

7. Kawal reaksi, bukan situasi – Kita memang tidak mampu mengawal dunia atau mengawal orang lain tapi kita mampu mengawal diri untuk bertindak, berfikir dan memilih. Pilihan terletak di tangan kita. Kita yang memilih bagaimana untuk hidup tenang, bahagia dan gembira.

8. Kurangkan kebergantungan pada media sosial – Jangan biarkan algoritma media sosial mengganggu kehidupan harian kita. Di zaman media sosial ini, ramai manusia berlumba-lumba untuk update diri sendiri. Jangan jadikan ia alasan untuk kita menjadi ‘hamba’ teknologi dan aplikasi yang ada. Gunakan setakat perlu sahaja.

9. Simpan rahsia hidup – Bukan semua kisah dan rahsia kita perlu dikongsikan dengan orang lain atau media sosial. Ketahuilah, ketenangan datang dari hidup yang sederhana dan tidak terdedah. Jiwa kita tidak rasa terbeban bila orang lain tidak mengetahui tentangnya.

10. Sentiasa memberi, kurang berharap – Bersedekah, berkongsi rezeki, membantu tanpa syarat antara cara untuk kita belajar memberi tanpa mengharapkan apa-apa balasan daripada manusia. Kita hanya harap Allah mengganjari kita kerana berusia mengikut perintah-Nya dan Rasulullah s.a.w

11. Selesaikan urusan yang tergantung – Jika kita ada berhutang, berdendam, kecil hati, sakit hati atau salah faham, lekaslah selesaikannya. Ia antara kunci hidup tenang yang paling utama. Selalunya kita tak dapat nak hidup tenang bilamana fikiran kita sentiasa dibayangi dengan perkara dan masalah berkaitan ini terutamanya bab duit dan emosi.

12. Belajar berkata ‘tidak’ – Letakkan batas dalam satu-satu tindakan. Jangan cuba menggembirakan orang lain sehingga mengorbankan kebahagiaan dan kegembiraan diri sendiri. Ketenagan hidup kita, kita yang tentukan.

13. Terima takdir Allah dengan redha – Setiap apa yang berlaku kepada diri kita telah ditentukan Allah sebelum kita lahir lagi. Dan bila mana sesuatu perkara yang tidak diingini berlaku, kita kena belajar untuk sabar, redha dan bersangka baik. Setiap apa yang berlaku pada diri sudah semestinya ada hikmah tersendiri. Cuma kita jarang atau lambat mengetahui tentangnya.

14. Dekatkan diri dengan alam – Luangkan masa yang ada dengan alam sekitar dan aktiviti di luar rumah. Jika anda perhatikan dan kaji, alam secara tidak langsung mengajar kita banyak perkara. Bukan setakat mengajar, kita turut mengakui kebesaran Tuhan yang menciptakan keindahan alam ini.

15. Buat perkara yang disukai – Ingatkan diri bahawa mempunyai hobi atau kegemaran tertentu ia bukanlah membazir masa. Ia diciptakan Allah khas untuk kita bagi menenangkan diri dan melarikan fokus masalah yang sedang dihadapi sebentar. Antara contoh yang mengalihkan sebentar masalah seperti membaca novel, membaca komik, menonton filem/drama, memancing, bermain puzzle, menyanyi, memasak, berbasikal dan melukis.

16. Lepaskan apa yang tidak boleh dikawal – Jangan cuba kawal semua perkara. Kita ada limitasi yang perlu diakui. Limitasi yang  bukan sahaja dari segi tenaga tetapi juga dari pelbagai sudut lain. Yang paling penting, tidak serahkan apa yang tidak mampu dikawal kepada Allah. Dia Maha Mengetahui dan penunjuk jalan yang terbaik.

17. Simpan simpanan kecemasan – Wang bukan segalanya tapi wang juga amat perlu bila tiba waktu tertentu. Buat simpanan yang termampu. Jadikan kisah Nabi Yusuf a.s dengan pemerintahnya sebagai penanda aras untuk kita menyimpan.

18. Fokus apa yang penting sahaja – Belajar membezakan antara ‘mendesak’ dan ‘penting’. Mendesak memerlukan perhatian yang segera dan biasanya memberi impak yang besar jika tidak dilakukan manakala penting pula tidak memerlukan tindakan segera tapi memberi impak pada masa jangka panjang. Pastikan kita tahu mana yang utama.

19. Jangan simpan terlalu banyak barang – Bila rumah atau bilik kita tidak dikemasa elok, kita akan mula rasa sesak. Jika kita beli satu barang untuk menggantikan barang lain, pastikan kita membuang barang rosak tersebut dan elakkan menyimpannya. Rumah yang lapang, kemas, teratur melambangkan hati yang tenang (contohnya lihat sahaja keadaan masjid dan surau kita).

20. Berhenti bercakap buruk tentang orang lain – Elakkanlah mengumpat. Itu yang Allah dan Rasul sering pesan pada kita. Bila kita sering berkata tidak baik tentang orang lain, secara tidak langsung, hati kita sendiri akan rasa tidak tenang.

21. Amalkan membaca al-Quran dan hadis Nabi s.a.w – Allah berfirman dalam surah al-Isra’ ayat 82, “Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur daripada Al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang yang beriman kepadanya dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan bagi orang yang zalim melainkan kerugian.” Al-Quran itu adalah penawar bagi jiwa-jiwa yang resah. Bacalah sehari walau sepotong ayat. Bacakan sekali terjemahannya. Kita akan pelajari sesuatu yang berharga darinya. Ingatkan diri juga bahawa pengutusan Rasulullah s.a.w merupakan suatu rahmat buat seluruh alam. Jadi, apa sahaja yang dilakukan oleh Baginda sama ada dari segi perbuatan, sifat  dan perkataan yang diikuti oleh Muslim lain, ia mendatangkan pahala dan sekaligus menyihatkan diri dari segi fizikal, mental juga emosi.

22. Bina rutin harian yang stabil – Sebelum tidur atau sebaik bangun dari tidur dan solat, rancang rutin harian yang membantu kita menstruktur hari agar dapat memanfaat hidup yang masih diberikan Allah. Apabila kita merancang, kita dapat menyusun atur kehidupan dengan lebih stabil dan yakin.

23. Terima perubahan sebagai sebahagian hidup – Apa sahaja perubahan yang berlaku dalam hidup sama ada kita suka atau tidak, kita kena belajar menerima, belajar memperbaiki diri dan belajar bersangka baik atas apa yang di’laku’kan oleh Allah kepada hamba-Nya. Apabila diri dapat menerima perubahan yang berlaku, secara tidak langsung, kunci hidup tenang sudah berada dalam genggaman kita.

24. Cintai diri tanpa syarat – Kita perlu menghargai diri sendiri meskipun kita tahu diri sendiri jauh dari sempurna. Bilamana kita menerima kekurangan dan kelebihan diri, hidup jadi lebih teratur dan kita sukar untuk menyalahkan takdir. Kita tahu bahawa Allah itu Maha Penyayang dan Pengasih. Dia tidak abaikan kita. Dia cuma mahu kita belajar sesuatu agar lebih menghargai diri sendiri.

25. Selalu memohon ketenangan daripada Tuhan – Perbanyakkan zikir dan berdoa kepada Allah agar ditunjuki jalan yang lurus, diberikan ketenangan dan diteguhkan hati dalam agama-Nya. Nabi s.a.w bersabda, “Tidak ada suatu yang lebih mulia di sisi Allah Ta’ala melainkan doa.” (Hadis riwayat al-Tirmizi & Ibnu Majah)

Apabila usia semakin menginjak ke angka yang lebih besar, kita tahu, itu antara tanda-tanda diri semakin menua dan bakal meninggalkan alam dunia ini. Pada fasa umur begini, kita berusaha untuk hidup lebih tenang, cuba untuk tidak bergaduh atau beremosi lebih sangat seperti di waktu muda dan cuba fokus melakukan banyak perkara baik buat diri dan ummah. Mungkin sumbangannya tidaklah sebesar mana tapi paling kurang kita berharap agar ia menjadi antara saham akhirat yang baik buat diri di alam sana. Maka, untuk mencapai target akhir ini, 25 kunci hidup tenang ini diharap dapat menjadi panduan buat kita semua untuk buat yang terbaik dalam hidup. Ia tidak mudah tapi paling kurang dapat menyumbang kepada ketenangan diri dalam waktu-waktu diperlukan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *