Kata-kata positif sebagai teman setia saat hidup diuji

Saat hidup diuji dengan pelbagai dugaan dan cabaran, antara yang perlu kita kuatkan diri adalah kata-kata positif buat diri. Ia sebagai pemangkin untuk tetap sabar, tetap kuat dan ingat pada ketentuan Allah. Rasulullah s.a.w sendiri minta kita berpegang teguh pada al-Quran dan sunnah di saat diri goyah. Dan sudah semestinya, kata-kata positif dari dua sumber utama ini menjadi pedoman hidup saat getir dan juga gembira.

Hidup ini juga bukanlah sebuah perjalanan yang sentiasa tenang tanpa ombak badai masalah. Ada waktu, kita diuji dengan kesedihan, kegagalan, kekecewaan, mahupun kehilangan.Pada hari lain pula, kita mampu bangun dengan penuh semangat, ceria, tenang dan gembira. Dalam saat-saat teruji itulah, kata-kata positif boleh menjadi peneman setia yang menguatkan hati serta memberi sinar harapan baharu.

Mengapa kata-kata positif penting?

Kata-kata yang kita dengar dan ulang dalam hati sebenarnya mempunyai kuasa besar. Ia mampu mempengaruhi cara kita berfikir, bertindak, dan menghadapi cabaran. Apabila fikiran kita dipenuhi dengan kata-kata negatif, hidup terasa semakin berat dan sempit. Tetapi apabila kita menggantikannya dengan kata-kata yang positif, kata-kata semangat, jiwa menjadi lebih tenang dan hati lebih berani untuk terus melangkah.

Kajian psikologi daripada universiti dalam dan luar negara menunjukkan bahawa perkataan yang positif mampu mengurangkan tekanan, meningkatkan keyakinan diri, dan memberi semangat untuk menghadapi cabaran hidup. Kutipan kata-kata positif ini boleh diperolehi daripada firman Allah, hadis Nabi s.a.w, mutiara kata cendikiawan dan kata-kata orang terkenal yang telah mengharungi banyak ujian hidup untuk kekal positif dan bersemangat. Kata-kata positif turut membina emosi yang positif. Emosi positif ini sangat penting untuk kesejahteraan mental, meningkatkan kepuasan hidup, memperkuatkan hubungan sosial serta memperkuatkan diri menghadapi ujian yang sedang dihadapi.

Ada satu kajian dijalankan oleh sebuah universiti di Kalimantan menunjukkan bahawa kata-kata positif dan semangat yang dikongsikan di media sosial atau dibaca memberi efek besar dalam kehidupan. Jika sebelumnya mereka rasa ‘down’, rasa rendah diri bila gagal, rasa tidak cemerlang dalam hidup, namun bila membaca kata-kata semangat yang mudah seperti ‘Jika hari ini sukar, esok pasti lebih baik’, ‘Semua orang pernah hadapi kegagalan, yang penting jangan menyerah kalah’, ‘Kamu lebih kuat dari apa yang kamu fikirkan’ dan’Fokuslah mensyukuri nikmat dari Allah yang melimpah ruah’, hati seolah-olah berasa tenang, lebih percaya diri dan bersemangat untuk meneruskan hidup. Kata-kata positif ini seperti ubat ghaib yang menyembuhkan juga memberi harapan untuk terus hidup dengan lebih bermakna dan berani mendepani masalah.

Lihat pada sisi yang baik kata-kata positif ini, ambil manfaat dan hikmahnya dan usaha untuk mempraktikkannya dalam urusan seharian kehidupan. Berusaha untuk ubah sudut pandang pemikiran dan pada masa yang sama yakin bahawa setiap ujian Allah itu ada hikmah disebaliknya.

Kata-kata positif sebagai “teman jiwa”

Ada kalanya, tiada siapa yang benar-benar memahami apa yang kita tanggung. Kawan mungkin ada, keluarga mungkin mendengar, tetapi tidak semua dapat merasai beban di dalam hati kita. Pada saat ini, kata-kata positif boleh menjadi teman jiwa – penenang yang tidak pernah meninggalkan kita. Ia memberi semangat dan harapan secara tidak langsung. Kata-kata ini memiliki pengaruh yang mampu meningkatkan tahap kesihatan emosi, mental dan juga mendorong diri merefleksi diri menjadikan kita dari seorang yang takut menjadi seorang yang berani dan berusaha untuk menghindar kata-kata negatif.

Kata-kata positif dan semangat ini boleh diperolehi daripada pelbagai sumber:

  • Ayat Al-Quran atau hadis Nabi SAW yang menenangkan jiwa (khas untuk yang beragama Islam).

  • Kata-kata tokoh cendikiawan yang memberi inspirasi dan semangat.

  • Kata semangat daripada insan terdekat, seperti ibu, ayah, suami, keluarga atau sahabat.

  • Kata-kata affirmasi diri, yang kita sering ulang untuk menguatkan hati sendiri.

  • Kata-kata orang terkenal dan agamawan yang berjaya dalam bidang mereka

Contoh kata-kata positif yang menguatkan saat hidup diuji

Berikut adalah beberapa contoh kata-kata positif yang boleh dijadikan peneman di saat hidup teruji dan ingin mencari semangat kembali:

  1. “Oleh itu maka (tetapkanlah kepercayaan) bahawa sesungguhnya bersama setiap kesulitan pasti ada kemudahan.” (Al-Insyirah: 5)

  2. “Jangan bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita.” (At-Taubah: 40)

  3. “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu dan berilah petunjuk yang benar dalam urusan kami.” (Al-Kahf: 10)

  4. “Kekuatan sebenar bukan pada berapa kali kita jatuh, tetapi pada berapa kali kita mampu bangkit semula dengan hati yang lebih tabah.” (Ustaz Muhammad Bin Abdullah)

  5. “Benda yang kita risau, ia akan menjadi ujian untuk kita. Jika kita risau tentang rezeki, kita akan diuji dengan rezeki. Jika kita risau dengan rupa, kita akan diuji dengan rupa. Jalan keluar untuk kerisauan ini adalah kita mesti redha dengan setiap takdir Allah.” (TG Syeikh Muhd Zainul Asri)

  6. Jadilah engkau orang yang bahagia. Sebab syaitan itu datang dari perasaan yang tertekan dan sedih. (Habib Abdullah Baharun)
  7. Everything feels difficult when you’re about to level up. Don’t quit.
  8. Teach your heart to accept disappointments. Every delay, every roadblock is a blessing. He plans and you plan. Remember, He is the best planner. (Mufti Menk)
  9. No matter how many mistakes you make or how slow you progress, you are still way ahead of everyone who isn’t trying. (Anthony Robbins)
  10. To get what you love, you must first be patient with what you hate. (Al-Ghazali)

Kata-kata positif ini bukan sahaja menenangkan hati, tetapi juga mengingatkan kita bahawa hidup adalah sebuah proses. Kejatuhan hanyalah sebahagian daripada jalan menuju kejayaan dan ketenangan.

Bagaimana Menggunakan Kata-Kata Positif dalam Kehidupan?

Supaya kata-kata positif benar-benar memberi kesan dalam hidup, ia perlu diamalkan dengan konsisten. Beberapa cara mudah yang boleh dilakukan ialah:

  1. Tuliskan di Jurnal: Catat kata-kata positif setiap hari. Dengan menulis, kita mengukuhkan mesej itu dalam fikiran dan hati. Kita sentiasa cuba menghargai banyak perkara baik yang berlaku dalam hidup.

  2. Letakkan di Tempat Mudah Dilihat: Tampalkan nota kecil dengan kata-kata semangat di meja kerja, cermin, atau telefon bimbit. Apabila mata sering melihatnya, hati pun mudah mengingatinya.

  3. Ucapkan dengan Lisan: Setiap pagi atau malam, ucapkan kata-kataaffirmasi positif seperti “Aku mampu hadapi hari ini dengan tenang,” “Senyum selalu”, “Tenangkan diriku Ya Allah”. Ucapan ini akan mempengaruhi minda bawah sedar untuk lebih yakin.

  4. Kongsi dengan Orang Lain: Apabila kita menyebarkan kata-kata positif kepada orang lain, secara tidak langsung hati kita juga menjadi lebih kuat. Mungkin juga apa yang kita kongsikan itu turut menenangkan orang yang menerimanya.

  5. Gabungkan dengan Doa dan Zikir: Kekuatan sebenar kata-kata positif datang apabila digabungkan dengan doa dan zikir. Sentiasa lazimi lidah dan hati untuk berzikir mengingatinya. Ia ubat mujarab disaat hati sedah merusuh.

  6. Save kata-kata positif dan semangat yang dijumpai: Tekan butang save dalam Instagram, TokTok, Threads dan lain-lain media sosial. Bila kita dalam keadaan memerlukan, buka sahaja media sosial kita dan baca kembali. Moga ia membantu kita untuk pulih kembali emosi diri.

Penutup

Kata-kata positif bukan sekadar rangkaian ayat indah. Ia adalah cahaya kecil yang mampu menyalakan semangat dalam gelapnya perjalanan hidup yang sedang menghadapi ujian. Di saat kita terasa lemah dengan emosi tidak stabil, kata-kata positif menjadi teman setia yang tidak pernah jemu mengingatkan kita bahawa harapan sentiasa ada.

Justeru, pilihlah kata-kata yang baik untuk diri sendiri setiap hari. Tanamkan dalam hati bahawa kita mampu melalui setiap ujian dengan tabah. Ingatlah, saat hidup menguji, kata-kata positif boleh menjadi sahabat yang setia, penawar yang menenangkan, dan membangun ketahanan emosi untuk menghadapi hidup lebih bermakna.

Jika anda ingin menyuntik semangat positif setiap hari, anda boleh cuba dapatkan jurnal kesyukuran di EkspresiSyukur. Isi buku bukan setakat mengandungi kata-kata positif dari firman Allah dan hadis Nabi s.a.w tetapi juga turut diselitkan kata-kata semangat daripada cendikiawan, orang terkenal dan juga mereka yang pakar dalam bidang paikologi. Kata-kata semangat ini sebagai antidot untuk kita sentiasa menghargai hidup dan berusaha sebaik mungkin selagimana masih dikurniakan Allah nyawa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *