
Jika anda perhatikan dan berhenti sebentar, anda akan perasan yang kebanyakan rakyat Malaysia sekarang ini sedang mengalami masalah kebimbangan, kemurungan dan ketegangan jiwa yang semakin meningkat. Lihat sahaja tajuk-tajuk akhbar dalam setahun ini. Kita dapat lihat banyak kes suami isteri berbunuhan, anak kecil melakukan perkara di luar jangkaan kita, institusi perkahwinan yang semakin rapuh, wujudnya kes samun, penculikan dan penderaan yang melampau.
Jika kita berjalan di Kuala Lumpur, bandar-bandar besar mahupun pekan kecil, kita dapat melihat rakyat Malaysia kelihatan menjalani kehidupan seperti biasa — bekerja, membina keluarga, mengejar komitmen kewangan dan berusaha memenuhi harapan masyarakat. Namun di sebalik wajah yang kelihatan kuat, ramai yang sedang membawa beban yang tidak nampak: kebimbangan, kemurungan dan ketegangan jiwa. Ketiga-tiga keadaan ini sering dianggap sama, padahal kesannya terhadap individu, keluarga dan kehidupan adalah berbeza.
Dalam beberapa bulan lepas, Malaysia digemparkan dengan kes pembunuhan pelajar perempuan sebuah sekolah di bandaraya. Kes ini sangat mengejutkan seluruh rakyat Malaysia dan membawa kebimbangan kepada ibubapa akan tahap keselamatan anak-anak mereka yang berada di sekolah. Itu belum lagi kita lihat kes kemurungan dan ketengangan jiwa yang dialami oleh keluarga yang membunuh juga pelajar tersebut. Guru-guru yang mengajar di sekolah juga secara tidak langsung terpalit dengan masalah ini.
Mari kita lihat, apakah antara penyebab berlakunya masalah kebimbangan,, kemurungan dan ketegangan jiwa (stres) di kalangan rakyat Malaysia tak kira bangsa dan agama ini.

Ketegangan Jiwa (Stress) – Punca Paling Umum
Stress berlaku apabila tuntutan hidup lebih besar daripada kemampuan untuk mengatasinya. Ia adalah tindak balas normal badan dan minda terhadap cabaran. Ini berlaku selalunya bila kita lihat orang lain lebih sedikit dari kita atau kita mahu hidup lebih bergaya atau selesa lagi. Bila kita mahu sesuatu yang dirasakan sukar dicapai walaupun berkali-kali usaha, pada waktu ini stres akan mula melanda jiwa. Dalam konteks Malaysia, punca stress boleh datang daripada banyak aspek dan rasanya salah satu dari punca ini anda pernah mengalaminya:
-
Tekanan kerja dan budaya “overtime”
-
Kos sara hidup yang meningkat
-
Hutang dan komitmen kewangan
-
Tuntutan menjaga anak dan ibu bapa pada masa sama
-
Persaingan kerjaya dan akademik
-
Krisis identiti, hubungan atau rumahtangga
Stress pada tahap terkawal sebenarnya membantu seseorang lebih fokus, lebih berjaga dan lebih produktif. Pada waktu ini, stres memandu kita untuk lebih berusaha, bersemangat dan berkeyakinan. Namun apabila berlarutan, ia mengundang kesan negatif terhadap mental dan fizikal bukan sahaja pada diri tapi orang sekeliling kita juga. Antara tanda stress berlebihan ialah:
-
Mudah marah dan melenting
-
Sukar tidur dan sukar bertenang
-
Sakit kepala, sakit otot dan keletihan
-
Hilang minat terhadap hobi dan aktiviti sosial
-
Overthinking terhadap perkara kecil
- Membebel atau kerap menyalahkan orang lain
Stress yang kronik boleh menjadi pintu masuk kepada kebimbangan dan kemurungan. Pada fasa ini, kita perlu lebih berhati-hati kerana kita mahu mental kita sihat dan dapat melakukan banyak kebaikan buat diri, keluarga, masyarakat dan agama.
Kebimbangan (Anxiety) – Bila Fikiran Tidak Lagi Tenang
Kebimbangan bukan sekadar risau. Ia ialah rasa takut atau cemas yang berlebihan walaupun ancaman sebenar tidak wujud atau masih jauh. Ramai warga Malaysia mengalami anxiety kerana tekanan hidup, ketidakstabilan kewangan, ketakutan gagal, rasa tidak cukup “sempurna”, atau pengalaman trauma masa lalu. Kebimbangan ini sering berlaku bila kita terlalu memikirkan perkara lepas, terlalu memikirkan perkara hadapan yang tidak nampak atau kita mahu sesuatu itu sempurna (perfect). Ini dapat dilihat pada diri kita sendiri atau kenalan rapat yang cuba untuk menjadi ‘perfect’. Pada awal, mungkin tak berapa kelihatan tapi, jika tidak diubah, dikawal dan dilakukan sesuatu, kebimbangan ini boleh menjadi kebimbangan melampau hingga menyebabkan kita mengalami penyakit dalaman seperti darah tinggi, masalah jantung mahupun migrain.
Antara tanda kebimbangan yang biasa berlaku di kalangan kita dan perlu diberi perhatian jika ianya kerap terjadi:
-
Fikiran tidak berhenti, sentiasa membayangkan perkara buruk
-
Degupan jantung laju, sesak nafas atau rasa tidak selesa
-
Takut untuk bersosial, bercakap atau membuat keputusan
-
Sukar fokus, badan terasa gelisah dan tidak selesa
-
Terlampau merancang kerana takut sesuatu yang buruk akan terjadi
Walaupun anxiety tidak semestinya kelihatan pada luar, ia membuatkan hidup terasa seperti medan peperangan setiap hari — antara diri sendiri dan ketakutan dalam fikiran. Ada yang kelihatan ketawa dan bekerja seperti biasa, tetapi jiwanya sentiasa berperang dalam diam. Anda akan perasan perbezaannya pada satu-satu ketika atau perbuatan yang mampu ‘trigger’ kebimbangan itu. Anda juga akan perasan yang kebanyakan buku-buku yang diterbitkan sekarang ini di Malaysia banyak menjerumus kepada mengawal kebimbangan, menceriakan diri, memotivasikan diri dan kesyukuran. Ini antara penanda aras yang rakyat Malaysia sedang mengalami peralihan masalah keletihan jiwa dan emosi.

Kemurungan (Depression) – Bila Harapan Terasa Hilang
Kemurungan ialah keadaan kesihatan mental di mana seseorang mengalami kesedihan yang mendalam dan berpanjangan sehingga hilang minat terhadap hidup. Ia bukan sekadar “mood sedih” tetapi perubahan menyeluruh pada emosi, tenaga dan cara berfikir. Selalunya kemurungan ini berlaku apabila menghadapi kematian orang yang tersayang, masalah pemberhentian kerja yang mengejut, masalah kewangan yang agak kritikal ataupun terpaksa melakukan sesuatu yang tidak disukai dan dibenci.
Antara tanda kemurungan yang anda boleh perhatikan jika ada pada diri atau keluarga ialah:
-
Hilang semangat terhadap kerja dan kehidupan
-
Rasa tidak bernilai atau menyalahkan diri
-
Rasa kosong walaupun dikelilingi orang
-
Sukar bangun pagi, hilang tenaga dan motivasi
-
Tidur terlalu banyak atau langsung tidak boleh tidur
-
Mengasingkan diri daripada sesiapa saja
-
Pemikiran negatif terhadap masa depan
- Terlalu banyak berfikir tapi seolah tiada solusi
- Merasakan diri membawa beban kepada orang lain meskipun sebenarnya tidak
Kemurungan boleh berlaku pada sesiapa tanpa mengira status sosial, agama atau usia. Ada ibu yang kelihatan kuat, tetapi menangis dalam diam setiap malam. Ada lelaki yang bekerja keras, tetapi menanggung tekanan tanpa tempat bercerita. Ada remaja yang kelihatan ceria di media sosial, tetapi sebenarnya memendam rasa sunyi yang mendalam.
Hubungan antara kebimbangan, kemurungan dan ketegangan jiwa
Walaupun berbeza, ketiga-tiga keadaan ini sangat berkait rapat antara satu sama lain jika tidak dibendung:
-
Stress berpanjangan → fikiran mula membayangkan senario buruk yang berlaku
-
Lahir anxiety → minda dihantui ketakutan dan rasa tidak selamat
-
Tidak dirawat → boleh bertukar kepada kemurungan yang teruk
Apa yang bermula sebagai ketegangan biasa akhirnya boleh berkembang menjadi masalah mental yang serius jika seseorang tidak mempunyai ruang untuk melepaskan emosi, mendapatkan sokongan atau mengurus tekanan dengan betul. Bukan itu sahaja, masalah lain juga akan timbul seperti penyakit darah tinggi, migrain dan juga penyakit jantung.
Masalah melibatkan jiwa ini semakin meningkat di Malaysia bila Kementerian Kesihatan Malaysia mengeluarkan statistik bahawa masalah kesihatan mental menunjukkan trend peningkatan dengan statistik individu yang mendapatkan sokongan menerusi Talian Bantuan Perkhidmatan Sokongan Psikososial (MHPSS) iaitu inisiatif di bawah Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meningkat lima (5) kali ganda bagi tahun 2022 berbanding tahun 2020 . Bukan itu sahaja, KKM telah merekodkan sebanyak 2.3% orang dewasa dan 9.5% kanak-kanak berusia 10-15 tahun mengalami masalah mental dan KKM mengunjurkan peratusan tersebut dijangka akan terus meningkat.
Beberapa sebab utama peningkatan ini berlaku termasuklah:
-
Norma masyarakat yang menganggap meminta pertolongan sebagai kelemahan
-
Tekanan ekonomi dan budaya kerja yang menuntut kesempurnaan
-
Media sosial yang meletakkan standard kehidupan yang tidak realistik
-
Tradisi “diam dan tahan” atau “jangan cerita masalah pada orang”
-
Kekurangan pendidikan mental-health sejak kecil
Ramai rakyat Malaysia membesar dengan kepercayaan bahawa emosi harus dipendam demi menjaga imej keluarga, maruah atau keharmonian hubungan. Tetapi pemikiran ini membuat ramai memikul luka sendirian terlalu lama. Mereka yang menghidapi masalah ini akan berasa sangat tidak selesa dengan jiwa semakin parah. Akhir sekali, apa yang mereka cuba pertahankan akan memakan diri dan keluarga. Waktu ini, amatlah diharapkan sangat ada orang yang dapat membantu keluar dari kepompong masalah emosi dan mental ini.

Cara menguruskan kebimbangan, kemurungan dan ketegangan jiwa
Walaupun tidak ada satu cara yang sesuai untuk semua namun, beberapa langkah kecil ini diharap dapat membantu:
1. Luahkan dan jangan memendam
Menulis jurnal atau diari, bercerita kepada rakan dipercayai atau kepada kaunselor adalah bentuk keberanian.
2. Jaga tubuh untuk menjaga jiwa
Tidur cukup, makan seimbang, minum air dan bersenam ringan membantu keseimbangan emosi.
3. Kurangkan tekanan dalam hidup
Belajar berkata “tidak”, mengurangkan komitmen yang membebankan dan membina batasan sihat.
4. Gunakan teknik pemulihan emosi
-
Pernafasan perlahan
-
Zikir atau doa untuk ketenangan
-
Aktiviti seni / mewarna / aromaterapi
-
Refleksi syukur
5. Dapatkan bantuan profesional
Psikologi, kaunselor, ahli terapi atau kaunseling agama — semuanya adalah sumber pertolongan, bukan tanda kelemahan. Ada ketika kita perlu meminta pendapat dan kemahiran mereka untuk pulih kembali.
Stress, anxiety dan depression bukan penyakit orang lemah — ia tanda bahawa seseorang telah menjadi kuat terlalu lama tanpa rehat. Rakyat Malaysia terkenal sebagai bangsa penyayang, berbelas ihsan, rajin bekerja dan setia dalam keluarga, tetapi sifat inilah juga yang membuat ramai memendam kesakitan demi orang lain. Individu itu sendiri perlu tahu, jika berlaku sesuatu yang lain dari kebiasaan berlaku pada diri, lekas-lekas cari bantuan atau rehat sebentar. Badan, emosi, mental perlukan rehat dan ‘makanan spiritual’ untuk memulihkan diri. Setelah pulih, bangkit kembali dengan lebih bersemangat, kuat dan bersyukur kerana ujian emosi ini berjaya dilepasi.

