Adakah kesedihan dan depresi itu berbeza? Memahami dua keadaan emosi yang sering terkeliru

Dalam kehidupan setiap manusia, kesedihan dan depresi sering bertandang dalam diri dan ada waktu meninggalkan kesan di hati agak lama. Kita kehilangan orang tersayang, hubungan berakhir, kerjaya tidak berjalan seperti dirancang, anak-anak membesar lalu meninggalkan ruang kosong dalam diri, atau tekanan hidup datang bertubi-tubi. Semua ini boleh membuatkan kita rasa sedih. Namun, ada satu persoalan penting yang sering timbul: adakah kesedihan dan depresi itu benda yang sama?

Walaupun kedua-duanya mempunyai persamaan pada permukaan iaitu rasa hiba, murung dan hilang semangat, namun hakikatnya kesedihan dan depresi adalah dua keadaan yang berbeza dari sudut tempoh, kesan, serta cara ia mempengaruhi kehidupan seharian.

Apa Itu Kesedihan?
Kesedihan ialah reaksi emosi normal terhadap kehilangan, kekecewaan atau peristiwa yang menyakitkan dan memedihkan hati. Ia datang sebagai tanda bahawa sesuatu dalam hidup kita waktu itu adalah penting dan bermakna. Misalnya, seorang ibu yang menangis kerana terlalu penat atau seorang wanita yang terluka kerana kasih sayangnya tidak dihargai. Kesedihan selalunya:

  • Datang berperingkat dan berubah mengikut masa

  • Timbul mengikut situasi  keadaan (trigger)

  • Boleh reda apabila mendapat sokongan, rehat atau aktiviti menenangkan

  • Masih membenarkan seseorang menikmati perkara yang menggembirakan

Kesedihan bukan tanda seseorang lemah. Ia sebenarnya isyarat bahawa hati sedang memproses pengalaman perit untuk kembali bangkit.

Apa Itu Depresi (Kemurungan)?
Depresi pula bukan sekadar kesedihan yang mendalam. Depresi merupakan gangguan mood yang menyebabkan perasaan sedih dan kehilangan minat terus-menerus. Ia ialah keadaan kesihatan mental yang membawa perubahan pada emosi, cara berfikir, tenaga badan dan fungsi hidup harian. Depresi ini boleh berlaku apabila kesedihan dibiarkan terlalu lama, tidak diproses, dipendam atau berlaku bersama tekanan berpanjangan. Depresi seringkali berlaku apabila menghadapi pengalaman hidup yang negatif seperti kehilangan ahli keluarga, status sosial ataupun barang berharga.

Antara tanda depresi yang biasa dilihat:

  • Hilang minat pada perkara yang dulu memberi kegembiraan

  • Rasa kosong dan hilang harapan terhadap masa depan

  • Gangguan tidur (terlalu banyak atau terlalu sedikit)

  • Rasa tidak berharga dan menyalahkan diri berlebihan

  • Letih sepanjang masa tanpa sebab jelas

  • Mengasingkan diri daripada orang lain

  • Kehidupan harian terganggu — kerja, keluarga dan ibadah terasa berat

  • Rasa tidak berdaya dan patah hati
  • Cubaan untuk membunuh diri
  • Terlalu sensitif, mudah marah dan curiga

Perbezaan besar di sini ialah depresi bukan hanya emosi, tetapi gangguan fungsi dalam kehidupan. Ia memerlukan perhatian serius, bukan sekadar “bersabar” atau “kuatkan hati”. Depresi merupakan gangguan emosional atau suasana hati yang negatif yang ditandai dengan kesedihan yang berpanjangan, putus harapan, perasaan bersalah dan rasa diri tidak bererti.

Kesedihan Depresi
Reaksi normal terhadap kehilangan Gangguan kesihatan mental
Sementara & berubah mengikut masa Berpanjangan & berulang
Boleh lega selepas menangis/berbual/jurnal Tidak hilang walaupun melakukan semua itu
Masih boleh rasa gembira dalam situasi lain Hilang minat dan rasa kosong sepenuhnya

Bagaimana Menanganinya?
Untuk menangani masalah kesedihan, cara terbaik ialah melalui luahan isi hati pada orang yang dipercayai, menulis, bercakap perkara yang baik, beribadah dan mencintai diri secara perlahan-lahan. Kesedihan sembuh apabila diberi ruang dan disibukkan diri dengan perkara yang mampu meralitkan diri.

Untuk menangani masalah depresi pula, mengikut hasil kajian Universiti Teknologi Malaysia (UTM), terdapat 5 cara boleh diaplikasikan atau dicuba.

  1. Sokongan emosi perlu dipadukan dengan bantuan profesional, seperti kaunselor, psikologi atau terapi psikospiritual. Itu bukan kegagalan — itu ialah keberanian untuk merawat diri.
  2. Amalkan cara hidup sihat seperti beriadah, bersenam, tidur secukupnya, bijak menangani stres dan menjauhkan diri dari dadah serta alkohol.
  3. Mengelakkan penggunaan media sosial. Rasanya, untuk mengelak terus agak sukar sekarang ini tetapi jika boleh kurangkan penggunaannya. Ini bagi membantu kita mengelak untuk berfikiran negatif dan membuat perbandingan dengan orang lain.
  4. Sokongan guru, keluarga, rakan dan masyarakat. Ibu bapa perlu mendengar rintihan atau luahan anak-anak bilamana mereka ingin menyatakan sesuatu. Ibubapa, keluarga dan rakan perlu berusaha melengkapi diri dengan ilmu lain dalam menangani masalah depresi yang mungkin dialami oleh anak-anak. Mereka tidak tahu cara meluah, maka sudah jadi tanggungjawab kita untuk membantu. Masyarakat sekeliling juga perlu menukar stigma yang generasi kini lemah agar mereka tidak malu meminta pertolongan apabila depresi mampu membuatkan orang membunuh diri.
  5. Program kesedaran. Pelbagai pihak perlu mencari solusi dalam menangani peningkatan kes bunuh diri di kalangan remaja juga orang dewasa. Program kesedaran seperti ucapan, mengenalkan masalah mental dan memberikan solusi bantuan dapat membantu masyarakat untuk menerima penyakit mental sebagai sesuatu yang biasa dan perlu diambil berat serta perhatian. Isu mental ini adalah isu yang besar maka wujudlah Hari Kesihatan Mental Sedunia, inisiatif untuk membantu mereka yang memerlukan.

Kesedihan mengajar kita tentang kasih dan kehilangan. Depresi pula ialah kesedihan yang menjadi terlalu berat hingga merosakkan keseimbangan hidup dan ianya lebih lama. Memahami beza keduanya membolehkan kita lebih peka kepada diri sendiri dan orang sekeliling. Sama ada anda sedang bersedih atau mengalami depresi, satu perkara tidak pernah berubah: kita tetap layak disayangi, dibantu dan dipulihkan. Anggaplah juga yang kesedihan dan depresi ini ada sesuatu yang Allah ingin ajari kita.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *