Apa beza diari biasa dengan jurnal syukur?

Apa beza antara diari biasa dengan jurnal syukur?

Ada beza ke tulis diari biasa dengan jurnal syukur? Ada… Saya pernah menulis diari pada awal remaja sehingga ke universiti. Saya berhenti menulis kerana ada seorang rakan serumah memperlekehkan apa yang saya tulis dan lakukan. Mungkin masa remaja, kita lebih terdorong mengikut apa orang cakap berbanding apa kita mahu. Dan dalam fasa tidak menulis kenangan hidup atau diari itu, saya hanya bergantung pada ingatan atau gambar yang diambil semata-mata. Dan Allah perkenalkan saya pada jurnal syukur, 6 tahun lalu. Iaitu semasa COVID-19 melanda dunia. Saya mula menulis apa yang disyukuri berlaku setiap hari, apa yang menggembirakan saya, apa yang buat mood saya happy hari tersebut.

Dan setelah menulis 6 tahun jurnal syukur dan 8 tahun diari biasa, ini perbezaan ketara yang dapat saya kongsikan dan alami sendiri berdasarkan pengalaman.

9 Perbezaan diari biasa dan jurnal kesyukuran.

A. Fokus kandungan:

  • Diari Biasa: Fokus kepada peristiwa yang berlaku pada diri sama ada baik, buruk, sedih, gembira, cemburu. Ia bersifat kronologi—apa yang berlaku dari pagi sampai malam. Contohnya: “Pagi tadi pergi kerja terlambat sebab mangga pintu gate buat hal. Susah nak buka dan tutup. Hangin satu badan. Lepas tu, hadap jem pulak… Tapi sampai je ofis, rezeki, ada orang belanja sarapan nasi lemak bungkus.” Ia lebih kepada rekod harian.
  • Jurnal Syukur: Fokus kepada penghargaan dan nikmat yang diberi Allah. Ia tidak menceritakan semua perkara, sebaliknya hanya menulis perkara yang buat kita rasa berterima kasih, bersyukur, gembira. Contohnya: “Alhamdulillah, aku bersyukur dapat minum teh yang sedap pagi tadi dengan nasi lemak bungkus yang marvelous.”

B. Emosi dan nada penulisan:

  • Diari Biasa: Boleh jadi tempat luahan perasaan (venting). Anda boleh menulis tentang kemarahan, kesedihan, cemburu, gembira atau stres. Ia bersifat neutral atau mengikut mood semasa.

  • Jurnal Syukur: Kita melatih otak untuk mencari dan ingat balik perkara positif dan yang memudahkan urusan hari tersebut. Walaupun hari kita hadapi ada peristiwa tak best atau buruk, jurnal syukur ini memaksa otak dan diri untuk mencari sekecil-kecil kebaikan dalam keburukan atau masalah yang berlaku.

Diari adalah tempat untuk kita meluah apa sahaja rasa dan peristiwa yang berlaku seharian.

C. Tujuan utama:

  • Diari Biasa: Bertujuan sebagai memori atau arkib. Kita cuba simpan kronologi yang berlaku pada hari tersebut. Kita menulis agar kita tidak lupa dan satu hari nanti kita boleh baca semula apa yang dibuat pada tarikh sekian-sekian.

  • Jurnal Syukur: Bertujuan untuk kesihatan mental, emosi dan hubungan sosial. Ia adalah latihan untuk mengubah corak pemikiran (mindset) daripada mengeluh kepada menghargai, berterima kasih dan sangka baik pada Allah yang terbukti secara sains dapat mengurangkan stres.

D. Struktur penulisan:

  • Diari Biasa: Biasanya kita menulis seperti bercerita atau kronologi. Kita cuba tulis apa yang berlaku dari pagi hingga malam (selalunya).

  • Jurnal Syukur: Jurnal syukur kebiasaannya saya menulis secara senarai atau bullet point. Adakala, saya guna doodle untuk setiap point. Selalunya saya lebih selesa menulis pendek perkara yang disyukuri. Ia refleksi ringkas untuk ingatan.

E. Kesan Psikologi:

  • Diari Biasa: Membantu melepaskan beban perasaan (catharsis). Segala benda yang berlaku pada hari itu kita hendak tulis, hendak catat. Positif, negatif, semuanya tolak tepi. Kita luah segalanya tanpa ada orang menghakimi.

  • Jurnal Syukur: Meningkatkan hormon kebahagiaan (dopamin & serotonin). Bila kita menulis perkara baik, happy, tenang, bahagia, secara tak langsung kita menggalakan hormon gembira dirembeskan. Kita tersenyum bila tulis, kita kurang stres sebab kita fikir benda baik-baik.

F. Perspektif masa:

  • Diari Biasa: Cenderung melihat ke belakang (apa yang sudah jadi). Bila menulis perkara negatif terutamanya, kita jadi susah nak move on. Kita asyik terfikir-fikir perkara lepas yang menyakitkan. Kita terkenang-kenang perasaan sedih. Sangatlah tidak best sebab kita tidak belajar untuk melepaskan kenangan pahit. Tapi bila kita tulis benda yang happy, kita akan kenang perkara tu sampai bila-bila.

  • Jurnal Syukur: Fokus kepada masa sekarang (apa yang dirasai saat ini). Mindfulness. Kita nikmati apa yang berlaku pada hari ini, saat ini dengan gembirakan diri, jauhi dari stres dan hargai hidup. Kita cuba elak untuk memikirkan masa lampau yang menyakitkan dan belajar menganggap apa yang Allah beri itu satu ujian, pengajaran ataupun ilmu baru.

Jurnal syukur secara terangnya menggalakkan otak kita menggali perkara-perkara positif dan yang perlu disyukuri dalam sehari.

G. Cara berfikir:

  • Diari Biasa: Diari, selalunya bila kita menulis macam-macam dalamnya, kita mungkin sama ada akan masukkan sekali masalah lampau yang sukar dilupakan atau kerisauan. Jika tidak pandai diurus, ia mampu membuatkan seseorang terlibat dalam overthinking atau kebimbangan.

  • Jurnal Syukur: Bila menulis jurnal syukur, saya sudah kurang risaukan perkara lampau yang menekan atau kenangan lama. Saya lebih fokus kepada mencari benda-benda yang positif dalam hidup, bersyukur dengan nikmat Allah beri walaupun tampak kecil di mata orang dan yang memudahkan hari kita. Kita kurang nak merungut dan mula belajar istilah kebercukupan dan takdir Allah.

H. Hasil akhir:

  • Diari Biasa: Diari mampu membuatkan penulisnya menghasilkan sebuah “biografi” kehidupan sendiri. Segala kisah dan kenangan disimpan dalamnya.

  • Jurnal Syukur: Bila menulis perkara-perkara baik kita seolah-olah sedang menghasilkan sebuah “antologi” kegembiraan dan nikmat dalam hidup. Pemberian dari Allah.

I. Tahap usaha

  • Diari Biasa: Menulis apa yang terlintas di fikiran (spontan). Apa sahaja yang berlaku, kita tulis sahaja.

  • Jurnal Syukur: Memerlukan usaha otak agar aktif “mencari” kebaikan dalam cabaran hidup seharian yang sedang dilalui.

Bila anda melihat perbezaan menulis diari biasa dan jurnal syukur, anda boleh simpulkan bahawa diari adalah seperti cermin. Ia memantulkan semula apa sahaja yang berlaku di depan mata anda, sama ada buruk atau baik. Manakala jurnal  syukur pula adalah seperti magnet. Ia berusaha menarik keluar hal-hal yang baik, positif, gembira, syukur dan indah daripada timbunan rutin harian kita.

Jika anda ingin cuba menulis perkara-perkara baik dan memudahkan hari anda pada hari itu, anda boleh cuba dapatkan Pelengkap Kegembiraan. Ia adalah jurnal syukur yang membantu anda menulis peristiwa-peristiwa indah dan best berlaku dalam hidup. Ia adalah jurnal terbaik untuk anda simpan kenangan yang bila kita baca balik jurnal tu, kita akan tersenyum dan mengakui bahawa banyak takdir Allah yang baik-baik yang dihadiahkan Allah pada kita.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *