
Bagaimana kita perlu ubah rasa sedih dan murung kepada rasa gembira dan tenang? Persoalan ini sering ditanya oleh orang yang sudah penat berasa sedih dan stres. Mereka mahu bangkit untuk gembirakan hati dan jiwa semula serta membina kembali kekuatan diri. Selalunya ia tidak mudah. Ambil masa tetapi semangat untuk bangkit itu yang perlu dirai dan dilatih kembali. Saya sendiri sewaktu melalui fasa emosi yang terlalu ‘down‘ berasa penat jiwa, mental dan fizikal. Setiap hari berhempas pulas melawan nafsu takut, was-was, amarah, bengang dan sedih. Pada waktu ini, setiap hari selalunya saya bertanya pada Allah, sampai bila ujian ini berlanjutan. Aku mahu sihat kembali. Aku mahu gembira kembali. Aku mahu confident kembali. Aku dah penat.
Sejujurnya, ujian ‘down‘ dan rasa tidak upaya ini menyekat banyak perkara untuk saya berkembang pesat dalam hidup, kerjaya dan keluarga. Saya cemburu melihat rakan-rakan, sepupu dan orang keliling berjaya dalam hidup. Saya cemburu melihat mereka yakin dengan apa dilakukan dan berani mengambil risiko. Saya sedih kerana tidak dapat berjaya dan melupakan banyak impian dalam hidup. Saya sendiri ada ketika memandang rendah pada kekurangan yang ada pada diri. Saya bertanya pada Allah, bila ini semua akan berubah dan berakhir?

Terbukti ujian hidup yang dalam kemurungan, kesedihan, kekecewaan dan tertekan ini ada sebab tertentu Allah beri. Allah mahu saya baiki kelemahan yang saya abaikan sebelum ini. Jika sebelum ini saya take for granted bab agama dan memandang rendah orang tertentu, Allah mahu saya baiki persepsi ini. Allah mahu tunjukkan ajar apa yang saya fikir, tahu dan rasa sebelum ini adalah salah. Allah mahu saya belajar tentang Dia, kenal Dia, jangan abaikan Dia dan banyaklah bersangka baik dalam hidup ini serta hargai semua orang yang hadir dalam hidup. Allah mahu saya tambah ilmu bab tertentu dan jangan rasa selesa bila sudah sampai satu tahap tertentu. Selesa tidak perlu ada dalam kamus hidup selagi mana masih bernyawa dan badan boleh bergerak lagi. Manfaat diri perlu dikongsikan selagimana termampu.
Bagaimana dalam masa hampir 10 tahun saya bangkit kembali dari kemurungan dan cemburu kepada gembira dan sedikit tenang? Ia bukan sekelip mata. Ia makan masa bertahun. Ia menyumbang banyaknya air mata saya yang tumpah, emosi yang tidak stabil, kekuatan yang seperti yoyo dan berlakon tersenyum depan orang lain tapi sebenarnya saya tak seperti itu. Yang merasionalkan saya ialah tekad dalam diri ini, ‘Sesukar mana pun hidup, aku ada Allah. Aku kena solat. Aku kena minta bantuan Dia‘. Tekad ini yang saya pegang kerana saya tak mahu syaitan dan nafsu jahat menang. Saya berusaha tak mahu kalah dalam bab tauhid ini.
Saya kongsikan 8 cara saya lakukan untuk berubah dan bangkit perlahan-lahan dari masalah rasa sedih dan murung kepada rasa gembira dan tenang (kekadang datang gak emosi tak tenang bila sesuatu trigger). Harapan saya pada anda yang hidapi masalah seperti saya sebelum ini dapat cuba satu demi satu kaedah atau cara yang saya gunakan untuk bangkit kembali dari ‘jatuh terduduk‘ yang hanya kita sahaja yang tahu rasanya.
8 Cara berubah dari rasa sedih dan murung kepada rasa gembira dan tenang.
- Fahami: Gembira ialah pilihan dan proses bukan destinasi – Orang yang gembira tidak menunggu hidupnya sempurna. Mereka jalan terus. Latih kembali diri untuk tersenyum, berjalan di waktu pagi dan lihat keindahan alam. Bila stres, cepat-cepat keluar dan cari udara segar atau lakukan perkara yang ubah fokus stres kita. Bila stres, segera istighfar dan baca doa yang diajar Nabi s.a.w ini.
اَللَّهُمَّ اِنِّى اَعُوْذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَاَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَاَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَاَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّ جَالِ
Maksudnya: Ya Allah, aku berlindung pada-Mu dari rasa sedih dan gelisah, aku berlindung daripada sifat lemah dan malas, dan aku berlindung padamu dari sikap pengecut dan bakhil, dan aku berlindung pada-Mu dari masalah hutang dan penindasan orang. [HR Bukhari
2. Banyakkan berdoa pada Allah – Ujian selalunya datang bersebab, Pertama untuk mengajar kita, kedua untuk memberi kita pengalaman, ketiga untuk menyuci dosa kita, keempat adalah untuk membimbing hati agar dekat pada Allah dan kelima untuk menaikkan darjat kita. Jika masa muda kita ada buat silap atau abaikan Allah, mungkin apa yang kita sedang hadapi ni adalah cara untuk cuci dosa dan tambah ilmu baru pada diri. Pada mulanya saya juga susah nak terima tapi lama-kelamaan saya tahu suka atau tidak, kita kena bersangka baik dengan ‘hadiah’ Allah ini. Kita tak tahu kebaikkan di masa hadapan.
3. Jaga emosi dan berkawan dengan orang yang membawa kepada kebaikan dan positif – Perkara ini penting kerana kawan yang baik dan positif, kita akan rasa termotivasi untuk jadi sepertinya. Kita ada semangat untuk melawan rasa sedih dan murung. Nabi s.a.w ada bersabda, “Perumpamaan teman yang baik dan teman yang buruk adalah seperti penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi mungkin memberi kamu minyak wangi, atau kamu membeli daripadanya, atau mendapat bau harum daripadanya. Sedangkan tukang besi pula mungkin membakar bajumu atau kamu mendapat bau busuk.” [HR Bukhari dari Abu Musa al-Asy’ari]

4. Kurangkan beban dalaman dan lakukan perkara yang menenangkan – Fikiran kita selalunya akan fikir macam-macam. Kita risau apa akan berlaku esok, lusa, minggu depan atau setahun lagi. Sebenarnya kita hanya perlu merancang dan lakukan apa termampu, berjaya atau tidak itu kita letakkan harapan dan tawakal pada Allah. Allah tahu kita ada masalah hati dan cuba ubati. Maka lakukan yang termampu dan boleh divert fokus kita yang serabut kepada perkara buat kita lega, happy, sibuk dan tak layan suara-suara halus yang ganggu dalam otak.
5. Banyakkan bersedekah – Ia nampak macam pelik kenapa kita sakit kita nak kena bersedekah pula. Saya baru tahu tentang sedekah boleh mengurangkan orang yang menderita sakit beberapa tahun kebelakangan ini. Rupanya bersedekah mampu mengubat penyakit hati dan juga badan. Saya ada terbaca satu buku bertajuk Keajaiban Sedekah. Buku karangan Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri ini kongsikan firman Allah, hadis Nabi s.a.w, kisah para ilmuwan Islam juga pengalaman peribadi beliau sendiri dengan orang yang sering bersedekah dan keajaibannya. Bila baca buku ini dan perkongsian guru-guru lain di media sosial, saya mula merajinkan diri untuk bersedekah. Dan Alhamdulillah, saya dapat rasakan berbezaannya. Kiranya, persepsi saya sebelum ini yang dangkal telah berubah bilamana Allah tunjukkan jalan melalui sedekah. Dan ini saya kongsikan antara hadis yang ada tentang bersedekah. Nabi s,a,w bersabda, “Ubatilah orang yang sakit di antara kalian dengan sedekah.” [HR Abu Dawud, At Thabarani dan Al Baihaqi, dihasankan oleh Syaikh Al-AlBani dalam Shahihul Jami’]
6. Banyakkan membaca buku yang menambah ilmu dan buku agama – Pada permulaan, saya sarankan ada membaca buku-buku ringkas tentang kisah para nabi, sahabat, tabi’ tabiin, agama dan hadis ringkas 40. Membaca buku-buku yang ringkas ini sebenarnya mampu mengubah sudut pandang kita tentang Islam, buat baik, sangka baik, berani belajar ilmu baru dan pelbagai lagi. Anda boleh juga selitkan membaca novel yang gembirakan hati, buku motivasi barat atau buku masakan. Tak salah. As long kita dapat ilmu baru dan tenangkan jiwa.

7. Latih diri untuk sentiasa menghargai, berterima kasih dan bersyukur – Dulu, bukanlah saya tidak menghargai atau berterima kasih pada orang cuma saya jenis selected. Saya ada rasa sinis pada orang yang tak berapa bijak, tak bagus atau tak memenuhi kriteria saya. Dan saya rasa bila sakit tu datang menyerang sebenarnya Allah nak mengajar saya tentang jangan perlekehkan orang lain dan belajar menghormati. Allah juga mahu saya belajar menerima kekurangan orang lain serta belajar bersyukur. Cuma bab bersyukur ni saya start belajar lebih lagi semasa COVID. Baru saya tahu tentang firman Allah yang menyatakan bahawa jika kamu bersyukur, Aku akan tambah lagi. Dan Allah juga beri ilham untuk saya mula menulis jurnal syukur (jika tak sebelum ni tak pernah saya tahu kewujudannya). Saya cuba tulis perkara-perkara baik dan positif dalam jurnal ini. Alhamdulillah, sejak 5 tahun menulis jurnal syukur ini, persepsi, tabiat dan pola pemikiran saya berubah. Emosi juga lebih tenang dan rasa cemburu serta murung lebih mudah dikawal.

8. Cari hobi atau minat baru dan mungkin boleh timbulkan kembali minat seni waktu di sekolah – Jika difikirkan kembali, kenapa kita ada subjek seni masa belajar di sekolah rendah dan sekolah menengah dahulu? Kita belajar mewarna, belajar melukis, belajar kolaj, belajar mengukir, belajar mengecat, main dengan tanah liat, main dengan kertas dan mencipta sesuatu yang unik. Anda jawab jujur pada diri sendiri, adakah salah satu perkara seni ini memberi anda satu rasa tenang dan menyenangkan? Jika ada, itu sebenarnya cara Allah mendidik kita untuk mencari jalan menenangkan hati yang berserabut atau jiwa yang gundah (solat tu wajib jadi jangan pertikaikan). Saya sendiri tidak pandai melukis atau mewarna sangat tapi bila ia melibatkan kertas, gam dan warna yang menarik, saya akan cuba terokai dan buat sebaik mungkin. Keadaan saya pada waktu itu boleh dikatakan tenang dan khayal dengan dunia sendiri. Jika anda ada rasa murung dan sedih, fikirkan kembali apa yang buat anda gembira sewaktu kanak-kanak dulu. Barangkali itu salah satu solusi kepada diri anda untuk gembira dan tenang kembali.

Bergerak dari rasa sedih dan murung ini kepada rasa gembira dan tenang mengambil masa. Ia tidak perlu drastik. Ia memerlukan kekuatan jiwa, kehendak yang tinggi dan keinginan bahawa Allah mampu ubah sakit kita ini kepada pulih kembali. Kita cuma perlu sentiasa dekatkan diri kepada Allah, buat apa Dia suka, jangan abaikan Dia dann banyak-banyak sangka baik pada Dia. Dulu, saya tak pernah tahu tentang konsep sangka baik ini. Saya cuma tahu menyalahkan. Dan syukur, Allah buka mata saya tentang hal ini. Dan syukur juga Allah tunjuki saya salah satu cabang adalah dengan banyak bersyukur. Kita mungkin cemburu lihat apa dimiliki orang lain tapi kita juga kena ingat, apa yang kita ada dicemburui oleh orang lain cuma kita tidak tahu.
Maka, untuk hidup gembira dan tenang, laluilah hari-hari dengan menghargai apa yang dimiliki. Lakukanlah perkara yang buat kita tersenyum dan bangga dengan diri sendiri (bab ni jangan riak). Banyakkan berzikir memuji Allah sebab tanpa izin Dia, kita takkan rasa perasaan itu.
Oh ya, jika anda nak cuba kikis perasaan cemburu yang tak bagus tu, anda boleh cuba dapatkan jurnal kesyukuran ini. Ia bukan sahaja membantu anda menulis perkara baik yang dinikmati sepanjang hari tetapi juga turut diselitkan dengan kata-kata motivasi, ayat al-Quran, hadis Nabi s.a.w juga mutiara kata dari ilmuwan. Sekarang ini ada promosi istimewa di web Ekspresisyukur. Anda boleh pilih hadiah istimewa mana yang diingini bersama dengan jurnal kesyukuran itu.

