Washi Tape: Hiasan kecil yang bawa ketenangan dalam dunia journaling

Dalam dunia journaling, ada satu benda kecil yang sering mencuri perhatian — washi tape. Dengan warna lembut, corak minimal dan tekstur unik, washi tape bukan sekadar hiasan, tetapi satu alat ekspresi diri yang mampu memberi ketenangan. Saya mengenali washi tape ini rasanya dalam 8 atau 9 tahun lalu. Saya nampak di bahagian alat tulis di sebuah kedai hiasan dalam dan rumah. Masa tu dalam hati kata, ‘Comel gak benda ni. Tapi nak buat apa ya?’

Dalam beberapa minggu lepas tu, baru saya tahu fungsinya. Rupanya ia bukan setkat membantu untuk bila menjurnal atau hias diari tapi ia boleh dijadikan tampalan dekorasi, hadiah, selotape yang tak merosakkan kertas dan label barang. Dan kali ni, saya nak kongsikan dengan anda semua sejarah washi tape ni, fungsi penggunaannya, bagaimana ia berkembang dan kenapa washi tape penting bila kita menjurnal atau menulis diari.

Siapakah yang memulakan kewujudan washi tape?

Washi tape berasal dari Jepun, dan diperkenalkan secara moden oleh sebuah syarikat bernama Kamoi Kakoshi. Menariknya, syarikat ini sebenarnya sudah lama menghasilkan pita pelekat industri. Namun sekitar tahun 2006, sekumpulan artis dan pereka telah memberi idea kepada Kamoi Kakoshi untuk menghasilkan pita pelekat yang lebih kreatif — berwarna, bercorak, dan sesuai untuk seni.

Dari situlah lahirnya jenama terkenal mt masking tape, yang menjadi pelopor kepada penggunaan washi tape dalam dunia kreatif.

Masking tape yang asalnya kosong begini tapi diubahsuai kemudiannya.

Bila washi tape mula popular di kalangan orang awam?

Walaupun pita tradisional Jepun (washi) telah wujud sejak beratus tahun dahulu, versi moden washi tape mula mendapat perhatian sekitar akhir tahun 2000-an. Menjelang tahun 2010, washi tape mula berkembang ke seluruh dunia. Ia menjadi kegemaran dalam kalangan pencinta kraf, penulis jurnal, pelajar, dan juga mereka yang mencari cara mudah untuk menambah elemen seni dalam kehidupan seharian.

Hari ini, washi tape boleh didapati dalam pelbagai warna, tekstur dan corak — daripada bunga lembut hingga reka bentuk minimalis. Beribu corak telah tercipta sejak itu dan rasanya jika orang membuat koleksi washi tape, pasti sudah penuh rak simpanannya dengan washi tape yang cantik, eksklusif dan comel.

Apa itu ‘Washi’?

Perkataan “washi” berasal daripada bahasa Jepun:

  • “Wa” bermaksud Jepun
  • “Shi” bermaksud kertas

Washi adalah sejenis kertas tradisional Jepun yang diperbuat daripada serat tumbuhan semula jadi seperti pokok mulberry. Ia terkenal dengan teksturnya yang lembut, tahan lama, dan sedikit lut sinar. Inilah yang menjadikan washi tape berbeza daripada pita biasa — ia boleh ditanggalkan tanpa merosakkan permukaan, mudah dikoyak dan sangat sesuai untuk digunakan dalam jurnal.

Fungsi Washi Tape Dalam Kehidupan Harian

Walaupun kelihatan ringkas, washi tape mempunyai pelbagai fungsi:

1. Hiasan Jurnal

Ini fungsi paling popular. Washi tape digunakan untuk:

  • Menghias halaman jurnal
  • Membuat bingkai
  • Menanda bahagian penting

Ia menjadikan jurnal lebih hidup dan menarik untuk dibaca semula. Dekorasi yang menggunakan washi tape sudah tentu menarik perhatian penulis dan pembaca bila membuka jurnal/diari.

2. Penanda dan Pengurusan

Washi tape boleh digunakan sebagai:

  • Penanda halaman
  • Label ringan
  • Pemisah topik dalam buku atau planner

Ia membantu menjadikan susunan lebih kemas tanpa perlu nampak terlalu formal.

3. Ekspresi Kreatif

Dengan pelbagai corak, washi tape membolehkan seseorang mengekspresikan:

  • Mood
  • Personaliti
  • Gaya hidup
  • Konsep

Ada hari kita pilih warna lembut, ada hari kita pilih corak ceria pula. Semua washi yang kita letak dalam jurnal atau buku mencerminkan perasaan kita sewaktu melekatkannya pada hari tersebut.

4. Kegunaan DIY

Selain jurnal, washi tape juga digunakan untuk:

  • Hiasi kad ucapan
  • Dekorasi hadiah
  • Seni kolaj

Ia mudah digunakan tanpa memerlukan kemahiran tinggi. Kanak-kanak, remaja, orang dewasa mahupun orang tua yang baru nak mula menjurnal, boleh aje gunting. koyak dan tampal washi di mana sahaja.

Bagaimana Washi Tape Berkembang?

Perkembangan washi tape sangat pesat dalam dunia moden, terutamanya dengan kemunculan media sosial seperti Pinterest, Instagram, TikTok dan Website.

Platform ini menjadi tempat inspirasi visual di mana pengguna berkongsi:

  • Idea journaling
  • Susunan kreatif
  • Tema dekorasi
  • Koleksi peribadi

Dari situ, washi tape menjadi lebih daripada sekadar alat — ia menjadi sebahagian daripada gaya hidup “slow living” dan self-care. Kini, banyak jenama menghasilkan washi tape dengan tema tertentu seperti:

  • Minimalis
  • Alam semula jadi
  • Islamik
  • Afirmasi positif
  • Floral
  • Fauna
  • warna terang atau pudar
  • Romantik

Kenapa Washi Tape Penting Dalam Journaling?

Bagi sesetengah orang, journaling mungkin terasa “berat” atau membosankan. Di sinilah peranan washi tape menjadi sangat bermakna.

1. Menjadikan Journaling Lebih Menarik

Apabila halaman dihias, kita lebih rasa teruja untuk membuka dan menulis. Hidup kita pun terasa lebih berwarna-warni dan ceria.

2. Membantu Emosi Jadi Lebih Tenang

Proses memilih dan menampal washi tape sebenarnya memberi kesan terapi. Ia perlahankan momen, fokus, dan menenangkan.

3. Menggalakkan Konsistensi

Apabila menjurnal terasa seronok, kita lebih mudah untuk konsisten. Walaupun sibuk dengan urusan kerja seharian, sudah pasti kita akan cari hari minggu untuk menghias jurnal kita bagi release tension.

4. Membantu Ekspresi Tanpa Kata

Kadang-kadang kita tidak tahu bagaimana untuk meluahkan perasaan. Corak dan warna washi tape boleh menjadi “bahasa emosi” yang lembut.

5. Menjadikan Jurnal Lebih Bermakna

Jurnal bukan sekadar tulisan, ia menjadi memori visual yang indah untuk dikenang semula. Dan memori indah ini sudah pasti akan diletakkan sekali dengan warna yang sesuai pada apa yang diceritakan dalam jurnal.

Washi tape mungkin kelihatan seperti hiasan kecil, tetapi kesannya dalam dunia journaling sangat besar. Ia mengajar kita bahawa keindahan tidak perlu rumit. Kadang-kadang, perkara kecil seperti sekeping pita bercorak mampu memberi rasa tenang, gembira dan lebih dekat dengan diri sendiri.

Jika anda baru ingin mula menulis atau design jurnal, mungkin washi tape boleh menjadi langkah pertama yang mudah untuk anda mula meluah rasa selain daripada menulis. Ia bukan sahaja untuk mencantikkan halaman mukasurat semata-mata, tetapi untuk mencantikkan perjalanan emosi anda dengan mengesahkan kisah hidup dalam jurnal personal  yang ada.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *