Bahagia. Semua orang mahu memilikinya. Tapi sebagai manusia, ujian kehidupan sudah semestinya perlu dilalui dan dihadapi. Ada ketika, kita berjaya harungi. Ada waktu kita kalah dan terpaksa berhadapan dengan kesedihan, kerisauan, tekanan hidup, perasaan sesal, prasangka tidak baik dan mungkin kemurungan. Bagaimana kita hendak menghadapinya dan bangkit kembali meneruskan hidup di masa hadapan?
Sebagai seorang Muslim, Allah kurniakan kita dua pegangan hidup iaitu Al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Dua ini, jika kita kembali padanya bila berhadapan dengan sebarang masalah atau ujian, kita akan lihat bahawa hati perlahan-lahan menjadi tenang, fikiran kembali jernih, belajar sangka baik, belajar redha dan berusaha mencari solusi agar hidup kembali dalam landasan,
Di sini, kami kongsikan 12 ayat Al-Quran dan 12 hadis Nabi s.a.w sebagai panduan agar kebahagiaan dapat anda kecapi kembali dan hati terus kuat.
Firman Allah Buat Pencari Bahagia.
- Maka ingatlah kamu kepada-Ku, nescaya Aku akan ingat kepada kamu; dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur kepada-Ku.(Al-Baqarah2:152)
- Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan yang menguasai rumah (Kaabah) ini, Tuhan yang memberi mereka penghidupan: menyelamatkan mereka dari kelaparan, dan mengamankan mereka dari ketakutan. (Quraisy 108: 3-4)
- Dan Allah mengeluarkan kamu daripada perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu pun, dan Dia memberikanmu pendengaran, penglihatan dan hati, agar kamu bersyukur. (Al-Nahl 16: 78)
- Dan sekiranya bukan kerana nikmat Tuhanku pastilah aku termasuk orang-orang yang diseret. (ke neraka). (Al-Saffat 37: 57)
- Sesungguhnya, telah Kami berikan hikmah kepada Luqman iaitu “Bersyukurlah kepada Allah! Barangsiapa bersyukur (kepada Allah), sesungguhnya dia bersyukur untuk dirinya sendiri, dan barangsiapa tidak bersyukur (kufur), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji. (Luqman 31: 12)
- Tidakkah engkau memperhatikan bahawa sesungguhnya kapal itu berlayar di laut dengan nikmat Allah, agar diperlihatkan-Nya kepadamu sebahagian daripada tanda-tanda kebesaran-Nya bagi setiap orang yang sangat sabar dan banyak bersyukur. (Luqman 31: 31)
- Dan janganlah kamu melakukan kerosakan di muka bumi setelah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya. Berdoalah kepada-Nya dengan perasaaan bimbang dan penuh pengharapan (agar diperkenankan). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang yang melakukan kebaikan. (Al-A’raf 7: 56)
- Bagi orang yang berusaha melakukan kebaikan dikurniakan pahala yang terbaik dan tambahan (kenikmatan melihat Allah). Muka mereka pula (berseri-seri) tidak dilitupi oleh debu hitam dan kehinaan. Mereka itulah penghuni syurga, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. (Yunus 10: 26)
- Allah tidak membebankan seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang telah dia usahakan dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang telah dia lakukan. (Mereka berdoa dengan berkta), “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau menghukum kami jika kami lupa atau kami melakukan kesalahan. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan ke atas orang yang terdahulu sebelum kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, ampunilah kami dan rahmatilah kami.” (Al-Baqarah 2: 286)
- Dan bersegeralah kamu kepada keampunan daripada Tuhan kamu dan syurga yang lebarnya seluas seluruh langit dan bumi yang disediakan bagi orang yang bertakwa. Iaitu orang yang mendermakan (hartanya) pada masa senang dan susah dan orang yang menahan kemarahannya serta orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan Allah menyayangi orang yang melakukan kebaikan. (Ali-‘Imran 3: 133-134)
- Maka sesungguhnya bersama kesukaran ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesukaran ada kemudahan. Maka, apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu urusan), tetaplah bekerja keras (untuk urusan yang lain). Dan hanya kepada Tuhanmulah engkau berharap. (Asy-Syarh 94: 5-8)
- Sesiapa yang meminjamkan kepada Allah satu pinjaman yang baik, Allah akan melipatgandakan balasan baginya dan dia akan mendapat pahala yang mulia. (Al-Hadid 57: 11)
Hadis/Sunnah Nabi Muhammad s.a.w Buat Pencari Bahagia
- Daripada Abu Umamah al-Bahili r.a, Nabi s.a.w bersabda, “Sesungguhnya Allah, malaikat dan ahli (penduduk) langit dan bumi; hinggakan semut di dalam lubang dan juga ikan paus (meliputi seluruh haiwan di darat dan laut), mendoakan kebaikan ke atas orang yang mengajar perkara baik kepada manusia. (HR al-Tirmizi)
- Daripada Anas bin Malik r.a, Nabi s.a.w bersabda, “Tiga perkara apabila terdapat pada diri seseorang, ia merasai kemanisan iman: Siapa yang cintanya kepada Allah dan Rasul lebih daripada cintanya kepada orang lain; siapa yang cintanya kepada orang lain hanya kerana Allah (dan bukan kerana suatu tujuan duniawi); dan ia membenci kembali kepada kekufuran selepas Allah menyelamatkannya (daripada kekufuran), sebagaimana bencinya akan dicampakkan ke dalam api.” (HR Muslim)
- Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda, “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang baik.” (HR Ahmad)
- Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda, “Orang yang berselawat ke atas aku sekali, Allah berselawat ke atasnya sepuluh kami.” (HR Muslim)
- Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda, “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada jasad atau rupa bentuk kamu tetapi Allah melihat kepada hati-hati kamu.” (HR Muslim)
- Daripada Abu Umamah al-Bahili r.a, Nabi s.a.w bersabda, “Sesiapa bersukacita dengan kebaikannya dan berdukacita dengan keburukannya, ia adalah Mukmin.” (HR Ahmad dan Al-Hakim)
- Daripada Muaz bin Jabal r.a, beliau berkata: Rasulullah mengambil (memegang) tanganku pada suatu hari lalu berkata, “Wahai Muaz! Demi Allah sesungguhnya aku mengasihi engkau.” Muaz berkata, “Aku sanggup menebus diri engkau dengan ayah dan ibuku wahai Rasulullah; dan demi Allah aku juga mengasihi engkau.” Maka Rasulullah berkata, “Aku berwasiat kepada kamu janganlah kamu meninggalkan pada setiap selesai solat untuk mengatakan: ‘Ya Allah! Bantulah aku untuk mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu dan memperelokkan ibadat kepada-Mu’.” (HR Abu Daud dan al-Nasa’i)
- Daripada Abu Umamah al-Bahili r.a, Nabi s.a.w bersabda, “Bertakwalah kepada Tuhan kamu, tunaikanlah solat lima waktu kamu, berpuasalah di bulan kamu (Ramadan), tunaikanlah zakat harta kamu dan taatilah orang yang mengendalikan urusan kamu; nescaya kamu memasuki syurga Tuhan kamu.” (HR al-Tirmizi)
- Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda, “Siapa yang Allah kehendaki kepadanya kebaikan, nescaya Allah mengujinya.” (HR al-Bukhari)
- Daripada Abu Said al-Khudri r.a dan Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda, “Tidak menimpa seorang Mukmin suatu penyakit yang berpanjangan, kepayahan, sebarang jenis kesakitan dan kesedihan malahan kedukacitaan, melainkan dihapuskan sebahagian dosa-dosanya.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
- Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda, “Apabila seseorang mati terputuslah daripadanya amalannya melainkan tiga; Sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakan.” (HR al-Tirmizi)
- Daripada Saad bin Abu Waqqas r.a, Nabi s.a.w bersabda, “Adakah seseorang daripada kamu lemah untuk mendapatkan seribu kebaikan pada setiap hari; Hendaklah dia bertasbih seratus kali. maka ditulis untuknya seribu kebaikan atau dihapuskan daripadanya seribu kejahatan.” (HR Muslim)

