Berhentikan 8 tabiat buruk ini saat berbual

Bila kita terlalu banyak berbicara atau berbual, satu demi satu tabiat buruk atau kelebihan kita muncul di pandangan mata orang. Masing-masing akan mula keluar persepsi masing-masing. Ada yang menganggap kita ini menghiburkan, ada yang suka mendengar idea-idea bernas kita, ada yang merasakan cakap kita seperti tong kosong aje dan ada juga yang sering tertunggu-tunggu untuk berbual dengan kita. Dalam kehidupan seharian, sama ada di rumah, pejabat, bersama jiran ataupun di tempat awam, tutur kata perlulah dijaga. Ini kerana apa yang kita tuturkan itu mencerminkan akhlak, peribadi dan nilai diri kita.

Malangnya, tanpa sedar, ramai antara kita terjebak dalam kebiasaan bercakap yang tidak beradab dan berasa riak. Berikut adalah 8 tabiat buruk yang perlu kita jauhi dan buang bila kita mula berbual dengan sesiapa sahaja

  1. Jauhi bergosip – Kita semua sering dihidangkan dengan pelbagai cerita terkini di media sosial sama ada TikTok, Instagram, Facebook, Whatsapp mahupun Telegram. Bila kita sudah membaca dan menontonnya, ia mungkin menjadi bahan untuk kita berbual dengan sesiapa sahaja yang dijumpai dalam 1 ke 2 hari itu. Pastikan kali ini, jika anda ingin berbual, jauhi gosip-gosip yang mengundang persepsi negatif. Cerita hal biasa-biasa sahaja. Takut nanti kita bergosip perkara yang tidak benar dan mula menimbulkan fitnah. Tak pasal-pasal, kita sudah menempah saham ke neraka.
  2. Elak menghakimi – Bila berbual, cuba elakkan menghakimi tanpa mendengar keseluruhan cerita atau mendengar cerita dari kedua-dua belah pihak. Seharusnya bila bercakap dengan sesiapa sahaja, letak diri di pihak neutral. Jangan terlalu memihak kepada satu-satu pihak. Takut nanti, kita yang menyesal. Gunakan kebijaksanaan
  3. Membuka aib – Setiap manusia ada sisi gelap di masa lampau dan kelemahan diri. Membuka aib orang, walaupun benar, tanpa sebab yang dibenarkan syarak, adalah pengkhianatan dan satu bentuk penganiayaan. Jadi, adalah lebih baik kita cerita atau bualkan perkara yang biasa atau akan datang yang memberi impak positif pada diri sendiri.
  4. Memotong cakap orang – Apabila kita menyampuk atau tidak membiarkan orang lain habis bercakap, itu menunjukkan kita lebih mementingkan diri. Ia menafikan hak orang lain untuk bersuara, dan boleh menyebabkan mereka rasa dipandang rendah. Ada ketika, ia mungkin menunjukkan sifat kita yang tidak begitu menghormati orang lain.
  5. Menghina, memerli atau memperlekehkan – Sindiran halus atau kata-kata kasar yang menjatuhkan maruah orang lain bukan sahaja menyakitkan hati, malah boleh menjadi punca dendam dan permusuhan. Bila orang yang dihina, diperli atau diperlekeh itu tahu akan siapa yang diperkatakannya, hubungan yang sepatutnya baik akan mula retak. Bila satu pihak merasakan diri bagus, maka sudah semestinya satu pihak yang dihina akan ambil pendekatan menjauhkan diri. Ia bagi menjadi perasaan sendiri dari disakiti.
  6. Mengungkit-ungkit kebaikan diri – Jika setiap perbualan dipenuhi dengan cerita tentang jasa atau pengorbanan satu pihak sahaja, orang lain yang mendengar akan merasa lemas dan bosan. Niat baik akan kelihatan seperti menunjuk-nunjuk. Bukan itu sahaja, orang yang bercakap itu seolah-olah mengkhabarkan satu pihak inilah yang paling bagus dan berjasa berbanding pihak yang mendengar. Ini seringkali didengari bila ada ibubapa yang mula membezakan kelebihan dan kebijaksaan seorang anak dengan anak yang lain.
  7. Menggunakan bahasa kasar atau lucah – Bahasa yang tidak sopan, mencarut walau dalam gurauan sesama rakan kerja atau ahli keluarga, secara tidak sedar, boleh mencemarkan hati dan fikiran yang bersih. Orang yang sering menuturkan kata-kata tidak elok ini, secara tidak langsung menunjukkan kekasaran jiwanya yang sebenar dan kelalaian dalam menjaga akhlak sesama Muslim atau orang lain. Ucapkanlah kata-kata yang menenangkan hati, membuatkan diri dipandang tinggi sekaligus mencerminkan ajaran Islam yang mahu umatnya mengucapakna perkataan yang baik-baik.
  8. Bercakap terlalu banyak tanpa tujuan – Banyak bercakap perkara yang tidak berfaedah dan bermanfaat boleh membawa kepada kesilapan lidah — termasuk mengata, berdusta dan riak. Kadangkala, menjadi pendengar atau berdiam itu lebih baik daripada berkata-kata yang sia-sia. Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Apa yang ingin kita bualkan, bicarakan, ucapkan, pastikan ia tidak terlalu banyak memperlekehkan orang lain, merendahkan pandangan dan pendapat orang lain juga jauhi dari sifat riak. tetapkan dalam diri bahawa ‘aku ingin bercakap sekadar apanya sahaja. Jangan berlebihan’. Isikan perbualan kita dengan bertanya khabar, berkongsi ilmu, bercerita benda yang baik dan elakkan dari bergosip perkara yang kita tahu mendatangkan mudarat.  Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda, “Sesiapa yang menyenangkan orang yang susah Allah akan menyenangkannya di dunia dan akhirat. Sesiapa yang menutup keburukan seorang Muslim, Allah akan menutup keburukannya di dunia dan akhirat. Dan Allah akan menolong seorang hamba selagimana ia berusaha untuk menolong saudaranya.” (Hadis riwayat Muslim)

9 tip cara berbual tanpa menyakiti hati orang lain dan mengurangkan tabiat buruk dalam berbual.

  1. Niatkan untuk menyampaikan kebaikan bukannya keburukan – Sebelum berbicara, tanya diri: “Adakah kata-kata ini akan membina atau melukakan?” Niat yang bersih akan membentuk tutur kata yang lebih lembut.
  2. Gunakan suara yang lembut dan intonasi tidak menyindir – Nada suara yang keras atau meninggi boleh disalah anggap sebagai marah, walaupun isi percakapan itu benar. Intonasi yang diucapkan juga perlulah lemah lembut atau bersahaja bukan intonasi yang jenis bila didengar, menyakitkan hati.
  3. Pilih perkataan yang sopan dan berhikmah – Elakkan berbahasa sinis, mengejek, atau terlalu berterus terang jika ia boleh melukakan perasaan orang yang mendengarnya. Jika pun ingin menegur kesilapan, pastikan hanya berdua sahaja dan bercakap dengan elok (pesanan Imam Al-Syafie).
  4. Fahami perasaan orang yang mendengar – Cuba letakkan diri di tempat orang lain. Bagaimana jika kita yang menerima kata-kata itu? Adakah kita suka?
  5. Elakkan membuat andaian atau prasangka – Jangan cepat melabel orang. Tanyakan dahulu sebelum memberi komen terhadap sesuatu keadaan. Mana tahu, apa yang terlintas di fikiran kita itu salah.
  6. Belajar berkata benar dengan cara yang lembut – “Kebenaran tidak semestinya kasar.” Gunakan pendekatan kasih sayang, bukan penghinaan. Bila kita sering menghina dan kurang memberi kata motivasi atau positif, bersedialah untuk tidak lagi akan berbual mesra dengan orang tersebut.
  7. Jangan semasa marah atau emosi tidak stabil – Bila emosi menguasai diri pada suatu-suatu masa, lidah akan menjadi lebih tajam daripada pisau. Tenangkan diri dahulu sebelum berkata-kata kerana ditakuti kita akan menyesal di kemudian hari.
  8. Gunakan pujian sebelum teguran – Mulakan dengan menghargai kebaikan orang tersebut sebelum menyampaikan kritikan. Ia lebih mudah diterima.
  9. Dengar lebih banyak dan cakap sedikit sahaja – Memberi ruang kepada orang lain untuk berkongsi akan membantu kita lebih memahami dan mengurangkan salah faham. Itu sebab Allah kurniakan hamba-Nya dua telinga. Dia mahu kita banyak mendengar berbanding banyak bercakap.

Berbual dengan adab bukan hanya menjaga hati orang lain, tetapi juga mencerminkan jiwa yang bersih dan penuh kasih. Dalam setiap perbualan, tanyalah pada diri: “Apakah perbualan ini membawa rahmat, atau sekadar menyakitkan hati orang lain?” Jika perbualan itu mendatangkan manfaat, maka teruskan. Jika ia banyak mengundang kepada tabiat buruk yang menyakitkan, lekaslah hindarkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *