
Semua orang pernah hadapi ujian jatuh dan bangun dan jatuh dan bangun lagi. Cuma bagaimana untuk bangkit dari jatuh yang banyak kali itu memerlukan kekuatan, semangat, doa dan perasaan tidak mudah putus asa. Saya sendiri akui, berpuluh kali hadapi kejatuhan dalam sesuatu perkara sampai ada ketika saya jadi fobia. Tapi jatuhnya saya itu mengingatkan saya bahawa ‘aku tak boleh selamanya jadi macam ni. Aku kena kuat. Aku ada Allah. Apa nak jawab depan Allah nanti. Apa saham akhirat aku nak bawa?’, itu antara monolog saya dalam hati untuk kuatkan semangat. Antara monolog lain yang bantu saya adalah ‘Ya Allah, tolong aku. Bantu aku. Tenangkan hatiku. Bimbing aku’.
Monolog-monolog ini adalah antara kata-kata afirmasi buat diri sendiri agar dapat kuatkan semangat semula dan jangan sekali-kali larut dalam kesedihan atau kemarahan berpanjangan. Saya pernah hadapi situasi ini dan ia membuatkan saya mengambil masa untuk bangkit. Apapun saya bersyukur, walaupun bertahun, Allah tetap beri saya kekuatan untuk pulih kembali. Dia bimbing dan Dia pandu dalam meneruskan hidup yang masih dipinjamkan nyawa ini. Dan oh ya, ada satu mutiara kata dari HAMKA yang buat saya belajar untuk menerima kejatuhan atau kesedihan yang berlaku pada diri dengan lebih tenang. kata-katanya beliau ada benarnya. Saya harap anda juga dapa jadikan ia satu pegangan bila berhadapanan dengan ujian hidup yang unpredictable.
“Hidup terbina antara pahit dan manis. Jikalau selalu saja pahit, hati akan menjadi rawan dan kalau senantiasa saja manis, hati akan menjadi bosan. (HAMKA)
Jika anda seperti saya, sering berhadapan dengan jatuh bangun yang berkali-kali dalam hidup dan ada waktu memang stres, anda cuba mana-mana 30 tip ini yang sesuai pada situasi dan semangat anda. Moga kita sama-sama dapat bangkit dari rasa yang menekan dan kita bangkit kerana untuk dapat redha Allah.
30 tips untuk bangkit dari jatuh demi meneruskan kehidupan yang membahagiakan
-
Terima keadaan – akui bahawa jatuh itu sebahagian daripada proses kehidupan yang mematangkan kita dan memberi pelajaran tertentu dalam hidup.
-
Belajar daripada kesilapan – setiap pengalaman pahit atau menyakitkan sebenarnya ada pengajaran tersirat yang akan kita ketahui dalam waktu-waktu tertentu. Belajar untuk sangka baik pada Allah.
-
Bersabar – proses bangkit bukan sehari mahupun satu malam, ia perlukan masa. Semuanya bergantung pada semangat kita untuk berusaha bangkit, tidak malu untuk bermula kembali dan biarlah apa orang nak kata kerana kita sendiri yang perlu berhadapan dengan masalah.
-
Tetapkan niat baru – mula dengan niat yang baru, jelas dan mudah dahulu untuk memperbaiki diri. Jangan terlalu menekan. Senaraikan kerja yang perlu dilakukan dan raikan kerja yang selesai.
-
Bersyukur dengan perkara kecil – hargai nikmat yang masih ada dan kecil. Jika nikmat kecil sudah kita hargai, sudah pasti yang besar lebih-lebih lagi diraikankan. Ingatkan diri, jika yang kecil ini tiada, bayangkan impaknya pada diri.
-
Dekatkan diri dengan Allah – doa, solat, zikir dan lakukan perkara-perkara baik yang diredhai Allah adalah antara sumber penguat semangan dan kekuatan jiwa. Pada masa yang sama, Allah akan lorongkan sesuatu yang tak dijangka sebagai panduan.
-
Tulis perasaan – menulis membantu melepaskan beban emosi. Beban emosi ini boleh diluahkan sama ada dalam diari personal, jurnal kesyukuran ataupun di blog mahupun laman web personal.
-
Buat perancangan kecil – cuba capai matlamat secara bertahap, bukan sekaligus. Berdikit-dikit itu lebih baik dan tidak membebankan. Jika berjaya perancangan kecil ini, kita tingkatkan atau tambah lagi ke tahap yang sedikit mencabar.
-
Pilih persekitaran positif – jauhi orang yang merendahkan semangat dan suka memperlekehkan. Ingat! Nabi s.a.w suruh kita berhati-hati dalam memilih orang yang ingin dijadikan kawan.
-
Luahkan pada orang dipercayai – sokongan sahabat/keluarga sangat membantu. Cari dan ceritakan pada orang yang anda percaya boleh menutup rahsia.

11. Amalkan gaya hidup sihat – jaga tidur, pemakanan, dan senaman. Jauhi diri dari stres atau sedih terlalu lama. Buat aktiviti yang membuatkan kita ralit kerja.
12. Cari inspirasi – baca kisah orang lain yang pernah bangkit daripada kejatuhan. Cari buku-buku motivasi yang bagus seperti tulisan Prof Dr. Muhd Kamil Ibrahim, Dale Carnegie, Umar Muhammad Noor, Pahrol Mohd Juoi dan lain-lain. Atau baca majalah yang memberi inspirasi baru dalam hidup.
13. Jaga kesihatan rohani – hadir majlis ilmu, dengar tazkirah, baca Al-Quran, dengar podcast Islamik, layari medsos ustaz ustazah yang buat LIVE majlis ilmu atau baca buku-buku sirah Nabi, para sabahat mahupun orang alim sebelum kita yang menambah ilmu pengetahuan kita.
14. Berhenti bandingkan diri – setiap orang ada ujian dan waktunya sendiri. Ujian masing-masing tak sama. Kita mungkin lihat dia ada kelebihan yang tiada pada kita tapi pernahkah kita terfikir yang kita memiliki kelebihan yang orang tersebut mungkin ingini dari kita?
15. Berfikir positif – ubah cara melihat masalah sebagai peluang. Bukanlah kita perlu fikir positif sentiasa tapi kita belajar untuk fikir dari banyak sudut dan belajar bersangka baik.
16. Kawal emosi marah & kecewa – jangan biarkan emosi merosakkan fokus dan keinginan kita untuk bangkit dari jatuh dan hidup lebih bahagia. Banyakkan istighfar.
17. Belajar berkata “tidak” – elakkan beban berlebihan yang mengganggu pemulihan diri. Jika tidak mampu, katakan aje ‘tidak’. Ia lebih mudah berbanding kita bersetuju tapi tidak dapat melakukannya.
18. Cari hobi baru – aktiviti kreatif mampu memberi ketenangan. Cari hobi atau aktiviti yang kita lihat di instagram atau tiktok kita nak cuba buat. Bila kita belajar ilmu baru, secara tidak langsung, semangat untuk lakukan lebih baik muncul.
19. Kembali pada tujuan hidup – ingat misi utama: beribadah dan memberi manfaat selagi mana masih bernyawa. Jika kita sudah ‘dijemput Allah sekalipun’, kita berharap agar ada ilmu yang bermanfaat dapat dijadikan saham akhirat berpanjangan. Berusaha buat kebaikan.
20. Tulis matlamat jangka pendek & panjang – supaya jelas hala tuju dan kita ada matlamat untuk meneruskan hidup. Perkara yang telah berlaku, biarkan. Tak akan mampu kita rewind balik.

21. Bersedekah – memberi kepada orang lain boleh mengubat hati yang luka. Bila kita berkongsi rezeki, kita akan rasa hidup lebih bermakna kerana dapat berbakti dan membantu orang lain yang lebih sukar ujiannya.
22. Beri peluang kedua pada diri – jangan hukum diri terlalu lama. Perkara yang lepas jadikan ia sebagai pengajaran dan pelajaran dalam hidup. Hadapi apa yang berlaku di hadapan dengan lebih bermakna dan tawakal pada Allah.
23. Bangun dengan doa di waktu pagi – mulakan hari dengan semangat yang bersih. Ingat! Islam mengajar kita untuk berpagi-pagian dalam mencari rezeki yang berkat, hidup yang tenang dan bersedekah. Anda boleh cuba dapatkan buku ini, ‘Bangun pagi-pagi, berkat sepanjang hari’.
24. Jangan terburu-buru – langkah perlahan tapi konsisten lebih baik. Jika kita kekurangan ilmu, belajar. Cari mentor atau orang yang boleh mengajar kita. Kemudian, kita praktikkan apa yang dipelajari secara konsisten.
25. Amalkan afirmasi positif – ucapkan kata-kata semangat kepada diri sendiri. Ada waktu, hati kita perlu mendengar kata-kata semangat untuk bangkit. Jika resah, usahakan untuk ucap kata-kata menenangkan dan berzikir.
26. Terima bahawa luka memerlukan masa – healing bukan perkara segera. Ambillah masa untuk sembuh. Cuma jangan terlalu lama kerana takut ia membawa kepada perkara negatif yang menyakitkan diri sendiri.
27. Percaya rezeki Allah adalah luas – kegagalan hari ini tidak menentukan masa depan. Kita usaha. Kita doa. Dan kita tawakal. Kita berusaha menambah ilmu, praktikan dan buat mana termampu. Plus, ingatkan diri bahawa rezeki itu bukan sekadar duit tapi juga dari sudut lain seperti kesihatan, keluarga yang harmoni, jiran yang baik dan dipermudahkan urusan setiap hari.
28. Fokus pada apa yang boleh dikawal – lepaskan yang di luar kemampuan. Jika tidak mampu, mungkin kita boleh upah orang lain untuk melakukannya untuk kita (dari sudut kerja).
29. Senyum walau susah – senyuman mampu memberi tenaga baru. Senyum mampu suntik sedikit semangat untuk meneruskan hidup pada hari kita sedang ‘bertarung’ dengan emosi di jiwa.
30 Yakin masa depan lebih baik menanti kita – jadikan jatuh hari ini sebagai batu loncatan untuk kita menjadi manusia yang lebih baik di masa hadapan. Setiap ujian diberikan Allah ada sebabnya.

Kejatuhan bukanlah noktah, tetapi sebahagian daripada perjalanan yang mendewasakan jiwa. Setiap luka ada hikmah di sebalik parut yang ditinggalkan, setiap kegagalan membuka ruang untuk peluang baru. Kita mungkin lihat kesedihan pada waktu itu tapi bila dipandang dari sudut lain setelah beberapa hari, sebenarnya ada hikmah yang baru kita ketahui yang Allah tunjukkan pada kita.
Hidup ini tidak selalu indah, namun dengan kesabaran, usaha yang konsisten, semangat tidak mahu berputus ada serta kebergantungan kepada Allah, kita mampu bangkit lebih kuat daripada semalam. Percayalah, masa depan yang membahagiakan sedang menanti buat mereka yang tidak pernah berputus asa dalam melangkah dan mencari redha Allah.

