
Semua orang di dunia impikan untuk hidup bahagia. Rasa ingin diri disayangi, dicintai, dikasihi, diterima dalam kelompok yang diinginkan dan punya segala yang diimpikan. Tapi hidup sebenarnya, terlalu banyak ujian, halangan mahupun kekurangan yang perlu dihadapi. Bila semua ini datang, kita mula rasa hidup tak berapa nak bahagia, hidup macam tak best dan kita mula cemburu lihat kelebihan orang lain ataupun mula berburuk sangka pada Allah. Hati kita mula berbolak-balik. Kita mula merasakan kebahagiaan itu adalah satu pembohongan dan bukan dalam realiti.
Namun, kebahagiaan itu kita yang ciptakan sendiri. Kebahagiaan itu kita yang corakkan. Dan kebahagiaan itu diperolehi bila mana kita belajar bersyukur, rasa cukup, belajar terima qada’ dan qadar Allah dan belajar menghargai pada perkara-perkara kecil yang menggembirakan hati. Di sini, kami ingin kongsikan 11 asas untuk hidup bahagia berdasarkan kepada kajian dan karya Dr. ‘Aidh Al-Qarni dalam buku Jangan Bersedih atau dikenali sebagai La Tahzan.
-
Keimanan dan tawakkal kepada Allah
– Meletakkan seluruh pergantungan hidup kepada Allah, yakin bahawa apa sahaja yang berlaku ada dalam perancangan-Nya. Ingatlah! Kita merancang, Allah juga merancang, dan perancangan Allah itu yang lebih baik. -
Syukur atas nikmat
– Melihat kebaikan dan nikmat sekecil apa pun akan melahirkan hati yang tenang, jauh daripada keluh kesah. Kita bersyukur atas apa jua pemberian Allah. Dan sirah-sirah sahabat dan ulama lampau menunjukkan bahawa mereka bukan sahaja bersyukur di saat menerima nikmat tetapi juga bersyukur saat diri ditimpa ujian. -
Redha dengan qada’ dan qadar
– Menerima ketentuan hidup dengan lapang dada, tanpa banyak mengeluh atas sesuatu yang tidak dapat diubah. Belajar menerima apa jua ketentuan dengan bersangka baik pada-Nya. -
Menjauhi kesedihan berpanjangan
– Jangan larut dalam kesedihan masa lalu atau keresahan masa depan; sebaliknya fokus pada kehidupan hari ini (hidup dalam “saat ini”). Belajar untuk melepaskan apa yang menyakitkan dan fokus pada masa sekarang namun, buat apa yang termampu untuk masa hadapan. -
Mengurus fikiran dan hati
– Hindari daripada terlalu banyak memikirkan sesuatu yang tidak bermanfaat. Isikan jiwa dengan doa, zikir, dan Al-Qur’an. Sibukkan diri dengan melakukan perkara-perkara bermanfaat dan membawa kebaikan kepada orang lain juga ummah. -
Bergaul dengan orang soleh dan positif
– Lingkungan yang baik memberi sokongan moral, menguatkan iman, dan melahirkan suasana yang menenangkan. Orang yang positif ini, ia secara tidak langsung mendidik diri kita untuk positif juga. Pada mereka, masalah tetap datang cuma bagaimana untuk menanganinya itu yang penting. -
Memberi manfaat kepada orang lain
– Salah satu pintu kebahagiaan adalah dengan memberi: sedekah, senyuman, bantuan, atau kebaikan kecil yang menyenangkan hati orang lain. Kebaikan-kebaikan ini secara tidak langsung telah membuatkan kita mempraktikkan cara hidup Nabi s.a.w atau sunnahnya. -
Memelihara kesihatan
– Tubuh yang sihat membantu hati lebih mudah tenang, kerana jasad dan jiwa saling mempengaruhi. Jaga diri dari melakukan perkara-perkara yang memudaratkan kesihatan. -
Bersabar atas ujian
– Melihat ujian sebagai tanda kasih sayang Allah dan cara untuk menghapuskan dosa. Ujian juga sebenarnya secara tidak langsung menyampaikan ilmu baru kepada kita tetapi melalui cara yang ‘sedikit menyakitkan’ agar kita menjadi lebih faham dan menghargai. -
Menjaga doa sebagai senjata utama
– Doa ialah penghubung hati dengan Allah; ia menjadi penguat harapan dan sumber kebahagiaan batin. Terdapat hadis yang menyatakan betapa pentingnya doa dalam diri setiap Muslim. - Menerima diri sendiri
– Tidak terlalu membandingkan diri dengan orang lain, sebaliknya menghargai keunikan diri. Setiap orang dianugerahkan Allah dengan memiliki kelebihan tersendiri di sebalik kelemahan yang ada.

Asas penting untuk hidup bahagia yang digariskan oleh Dr. ‘Aidh al-Qarni dalam Jangan Bersedih ini bukanlah sesuatu yang jauh untuk dicapai, tetapi ia hadir melalui hati yang bersih, jiwa yang sentiasa ingin kembali kepada Allah, dan langkah yang dipenuhi dengan syukur, sabar serta doa. Hidup ini akan terus menguji dan teruji, namun sesiapa yang mampu menerima takdir dengan redha, menjaga kesihatan tubuh, mengelilingi diri dengan insan baik, dan memberi manfaat kepada orang lain, mereka akan merasai nikmat bahagia yang sebenar. Kebahagiaan itu bukan terletak pada banyaknya harta atau tingginya kedudukan mahupun pangkat, tetapi pada ketenangan hati yang sering bergantung sepenuhnya kepada Allah Yang Maha Mengatur dan Maha Bijaksana.

