Mengapa dikatakan hobi membaca itu salah satu cabang rezeki? Hanya orang yang suka membaca sahaja yang tahu nikmatnya hidup bila mendapat ilmu baru, dapat rehatkan diri, dapat buat apa yang disukai dan paling penting, buku yang dibaca memberi kepuasan maksimum bila dibaca. Ingatkan diri bahawa rezeki itu bukan sekadar wang atau harta sahaja. Rezeki itu datangnya pelbagai bentuk sama ada dari sudut kesihatan, masa, keluarga yang ada, negara aman, ada rezeki boleh dimakan dan lain-lain lagi. Bagi peminat buku dan ilmu, hobi membaca itu juga salah satu rezeki yang tidak dinafikan. Berilah apa sahaja buku, majalah atau suratkhabar tak kira bercetak atau online, dia akan membaca. Cuma, jika dia rasa apa yang dibaca menarik untuk dihabiskan, dia akan habiskan. Jika dirasakan macam tak kena dengan jiwa atau apa yang disampaikan ‘pelik’, sudah tentu sekerat jalan sahaja bahan tersebut dihadap.
Saya yang memiliki hobi ini sejak kecil lagi memang pantang jumpa buku atau bahan bacaan. Rasanya tabiat ini datangnya daripada mama yang suka membaca. Bukan itu sahaja, mama dan abah bila berkesempatan, akan membawa kami adik-beradik atau sepupu ke pesta buku DBP untuk dapatkan bahan bacaan keluarga (tahun 80-an, pesta buku itu ajelah yang ada di Malaysia). Dan sekarang, setiap tahun, setiap kali pesta buku, bukan saya sahaja, saya angkut sekali suami atau anak saudara untuk pergi ke Pesta Buku Antarabangsa KL atau pesta buku negeri.
Pada saya hobi membaca ini tidak semua orang memilikinya. Tidak semua orang ada kesabaran untuk menghabiskan buku yang beratus-ratus helai mukasuratnya. Itu belum lagi buku yang jenis bacaan berat atau serius. Lagilah kena bersabar dan kuatkan semangat untuk membaca. Tengok tajuk pun dah tahu, ‘ini kena fokus baru faham’. Ada juga jenis orang yang sukakan buku bergambar atau komik. Ia juga satu hobi yang sesetengah orang tak boleh masuk tapi jika pelukis ilustrasi pandai memasukkan elemen nasihat, agama, pengajaran dalam komik, ia mampu menjadi bahan bacaan yang menyumbang pada pertambahan ilmu pembaca.

Buku bacaan serius terbitan The Patriots
Di sini, saya ingin kongsikan 34 sebab mengapa hobi membaca itu boleh dikatakan salah satu dari cabang rezeki buat kita. Anda pasti terkejut dan mengakuinya bahawa dengan ilmu dan bacaan, kita akan mmenambah rezeki-rezeki lain daripadanya.
- Membuka pintu ilmu – Ilmu adalah rezeki paling bernilai yang tidak akan habis dibahagi. Ilmu mengajar kita tentang banyak perkara yang kita tidak ketahui. Ada hadis berkaitan ilmu ini buat Muslim. Daripada Anas bin Malik r.a, Nabi s.a.w bersabda, “Menuntut ilmu adalah wajib ke atas setiap Muslim.” (HR Ibnu Majah & Abu Ya’la)
- Menambah kefahaman hidup – Melalui pembacaan buku-buku tertentu, secara tidak langsung ia memberi panduan bagaimana menjalani kehidupan dengan lebih tenang dan bijaksana. Jika kita membaca buku motivasi atau travelog, kita dapat belajar sesuatu daripada pengalaman penulis ataupun orang yang dijumpainya.
- Menenangkan hati – Membaca buku yang baik, bagus dan buku agama membantu kita memiliki rezeki dalam bentuk ketenangan jiwa dan kefahaman agama dengan lebih baik (jika dapat dipraktikkan itu lebih bagus).
- Mendekatkan diri dengan Allah – Membaca ayat-ayat Al-Quran dan tafsirnya adalah rezeki yang membawa seseorang untuk lebih mengenal Allah, kebijaksanaan-Nya, kasih sayang-Nya, kemampuan-Nya dan kehebatan-Nya. Sirah dan ilmu di dalam al-Quran jika dikaji, mampu membuka mata kita dalam banyak perkara.
- Menyuburkan akal – Setiap helaian buku yang dibaca adalah makanan rohani bagi akal. Membaca membuatkan kita semakin bertambah ilmu dan tidak hanya kekal di takuk lama. Jika kita baca kisah ulama terkenal atau orang alim dahulu, sedikit sebanyak kita ingin cuba apply apa yang dilakukan.
- Menguatkan iman – Membaca kisah para nabi, alim ulama dan orang soleh mampu menambah lagi keyakinan terhadap Allah. Kita belajar tentang setiap manusia mengalami ujian dan cabaran hidup namun tetap sahaja perlu kuat dan berprasangka baik pada takdir Allah.
- Membuka peluang rezeki pekerjaan – Orang yang suka membaca lebih luas ilmunya, lebih kreatif, dan lebih mudah mendapat peluang. Bukan itu sahaja, melalui penerbitan buku, penerbit buku secara langsung turut berkongsi rezeki dengan pengedar, peniaga kecil mahupun agen.
- Meningkatkan keyakinan diri – Pengetahuan hasil bacaan menjadikan seseorang lebih yakin ketika bercakap atau membuat keputusan. Bukan itu sahaja, ia membuatkan pembaca juga yakin untuk berkongsi ilmu dan idea dengan orang lain hasil daripada pembacaannya.
- Membina empati – Membaca kisah hidup orang lain menumbuhkan rasa belas kasihan dan memahami perasaan manusia lain. Kita menjadi seorang yang lebih berperasaan, lebih memahami, lebih berperikemanusiaan dan tidak mahu melakukan kejahatan.
- Mengasah daya fikir – Setiap kali membaca, otak kita dilatih untuk berfikir, menyimpan, menilai dan membuat keputusan berdasarkan kepada ilmu yang dibaca dari buku-buku bacaan serius mahupun motivasi. Ini membuatkan para pembaca lebih bersemangat untuk mencari buku-buku lain bagi menyokong teori atau sejarah yang dibaca.
11. Menjadi sumber inspirasi – Buku-buku sejarah, semangat cintakan negara, motivasi, keibubapaan, mampu menjadi sumber inspirasi dalam mengenal jati diri dan membina semangat baru dalam bangkit menjadi orang yang lebih baik mahupun orang yang bermanfaat.
12. Menghubungkan kita dengan dunia – Membaca membawa kita menjelajah tempat, budaya, adat, dan masa yang tidak mampu dikunjungi oleh kaki. Ketika membaca, secara tidak langsung kita mengembara ke satu tempat lain yang tidak terjangkau oleh tubuh badan mahupun akal fikiran. Kita mendapat ilmu baru dari negara tidak pernah dijejaki itu.
13. Menambahkan kosa kata dan kebijaksanaan berbicara – Itu juga rezeki bila kita melihat membaca bukan sekadar hobi. Ia mengajar manusia untuk berkata-kata perkara yang baik, berkongsi ilmu mahupun menyebarkan kebaikan. Lihat sahajalah ZRA, mendengar bait-baik ayat yang keluar dari mulutnya membuatkan kita teruja untuk terus mendapat info baru darinya.
14. Menjadikan diri lebih sabar – Membaca melatih fokus, sabar, dan kemampuan menahan diri daripada tergesa-gesa (kecuali bila baca buku thriller, selalunya dah kerana teruja, kita curi-curi intai endingnya).
15. Menjauhkan diri daripada kebosanan dan kesedihan – Buku yang baik dan bagus boleh menjadi peneman setia ketika sunyi dan terapi diri ketika hati sedang sedih. Anda cuba baca genre yang anda suka tidak kira novel, komik mahupun buku umum yang lain. Pembacaan tersebut mampu ubah pemikiran anda yang kusut kepada perkara lain yang perlu difokus.
16. Mengubah cara pandang terhadap hidup – Buku boleh menjadi asbab hidayah dan jalan keluar daripada kejahilan atau keputusasaan. Buku yang bagus seperti How To Stop Woorying and Start Living mampu menggerakkan diri anda untuk menyibukkan diri dari terus berasa bimbang kepada perkara yang lepas mahupun akan datang.
17. Meningkatkan kualiti ibadah – Ilmu yang dibaca daripada buku-buku agama mampu menjadikan amal ibadah kita lebih baik dan penambahan dalam ilmu agama. Kita bukan setakat pelajari tentang hadis tapi kita juga sedang belajar mengimplimentasikan apa yang dimahukan Nabi s.a.w buat umatnya.
18. Menjadikan seseorang lebih rendah hati – Semakin banyak membaca, semakin terasa luasnya ilmu Allah dan terasa diri ini sangat kerdil di hadapan-Nya. Jika anda perasan, setiap kali membaca buku baru dan dapat ilmu baru, minda kita secara tak langsung berkata, ‘Eh! Betullah.’ ‘Oooo… Begitu rupanya.’ ‘Laaa… aku salah faham rupanya selama ni’.
19. Menyemai rasa syukur – Buku tentang kehidupan, motivasi, sejarah dan perjuangan orang lain membuat kita lebih menghargai nikmat yang dimiliki saat ini. Kita mungkin lihat rakan atau ahli keluarga kelihatan lebih bagus dari kita, tapi bila kita membaca tentang kepedihan orang lain, seksa yang dialami oleh penduduk negara yang sedang berperang, kita akan jadi lebih bersyukur dan menghargai.
20. Menghubungkan dengan penulis yang soleh dan bijak – Membaca buku karya penulis agung lampau seperti al-Ghazali, Ibnu Katsir, Dale Carnegie, HAMKA dan lain-lain, membuatkan kita berasa seperti bergaul dengan jiwa-jiwa agung dari zaman silam. Secara tidak langsung, ia juga merupakan satu bentuk rezeki pertemuan rohani antara penulis dan pembacanya.
21. Meningkatkan daya fokus – Membaca melatih otak untuk kekal tenang dan fokus. Membaca mengajak orang yang sedang membaca untuk memberikan tumpuan 100% agar apa yang dibaca tidak tersilap dan bagi memastikan ilmu yang diperolehi jika dikongsikan pada orang lain adalah tepat.
22. Menjauhkan diri daripada maksiat – Apabila hati sibuk dengan bahan bacaan bermanfaat, terkini, bagus maka, kuranglah ruang untuk kita membuat perkara yang melalaikan. Ada buku yang tidak bagus di pasaran tapi terpulang kepada anda yang membeli sama ada ingin membaca buku yang isinya baik atau sebaliknya.
23. Memberi ketenangan rohani dalam kesunyian – Buku boleh menjadi teman yang membawa kepada tadabbur, zikir dan membuat pembaca membuat perkara baik. Sebagai contoh, buku-buku tulisan allahyarham Dr. Muhd Kamil Ibrahim mampu mengajak pembacanya sentiasa mengingati Allah, berbuat kebaikkan, sabar, bersemangat untuk mencari bekalan akhirat dan manusia mampu berubah dari titik terendah kepada titik yang lebih baik.
24. Membangunkan potensi diri – Membaca membuka rezeki bakat seperti menulis, bercakap, berfikir, berimpian, bertukang, memasak, melukis, membuat kraf dan sebagainya. Jika anda atau anak anda tidak suka membaca buku bacaan berat, rasanya tidak salah membeli buku bidang apa yang diminati. Sebagai contoh, jika anak suka membela kucing, hadiah terbaik adalah buku-buku yang berkaitan kucing tidak kira bergambar ataupun novel.
25. Berkongsi manfaat dan menjadi saham akhirat – Ilmu baik dari bacaan yang diamalkan dan dikongsikan dengan orang lain, secara tidak langsung menjadi sedekah jariah dan pahala berpanjangan bagi pembacanya dan penulisnya.Ada satu hadis berkaitan ilmu bermanfaat yang dikongsikan ini. Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda, “Apabila meninggalnya manusia itu, terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat atau anak soleh yang mendoakan.” (HR Muslim)
26. Menjadi jambatan persahabatan – Buku dan bacaan sering menghubungkan hati-hati yang cintakan ilmu dan kebaikan. Buku juga mampu membuatkan penulis dan pembaca tiba-tiba berkenalan dan menjadi rakan yang baik kemudiannya. Minat yang sama juga mampu membuatkan kita yang suka buku boleh berbual dengan orang yang sukakan buku tidak kira di mana dan juga masa.
27. Menyemai adab dan akhlak – Buku yang baik memandu pembacanya melakukan perkara yang baik. Itu sudah pasti. Apabila kita membaca buku-buku berkaitan adab Nabi s.a.w, akhlak para rasul, adab bila bersama guru, secara tidak langsung, kita akan mahu jadi seperti apa yang dibaca.
28. Menyembuhkan luka batin – Buku yang baik boleh menjadi penawar bagi hati yang kecewa, luka dan hilang arah. Ini diakui apabila suami saya pernah mengalami perasaan down yang teruk apabila terkena penyekit ‘slip disc’. Untuk naikkan kembali semangatnya dan bersangka baik pada Allah, saya sarankan dia membaca buku La Tahzan: Jangan Bersedih karya Dr. Aidh Al-Qarni. Perlahan-lahan, dia dapat terima dengan baik apa yang terjadi.
29. Mengajar erti sabar dan perjuangan – Kisah benar dalam buku-buku para pejuang lampau, tentera yang pernah menghadapi perang besar, panjajahan sesebuah negara, sering memberi kekuatan untuk kita terus kuat semangat, bertabah, bertahan dan mencari solusi dalam permasalahan diri. Antara buku yang bagus untuk dibaca adalah seperti Salahuddin Al-Ayubi, Khalid Al-Walid, Muhammad al-Fateh, Umar Mukhtar, Umar Abdul Aziz, Hulagu Khan dan banyak lagi. Cari aje infonya di Goodreads atau pergi ke rak perpustakaan.
30. Memberi peluang untuk bersyukur atas nikmat ilmu – Setiap buku yang dibaca sebenarnya menyampaikan banyak ilmu-ilmu baru kepada pembaca dari penulis. Ilmu-ilmu ini secara tidak langsung membuatkan kita rasa bersyukur kerana menemui buku yang bagus untuk dibaca, diamalkan isinya dan dikongsikan kebaikannnya pada orang lain.
31. Membuka jalan rezeki di dunia – Ramai orang berjaya memulakan bisnes, kerjaya atau karya kerana terinspirasi daripada bahan bacaan yang berkualiti, bagus dan diyakini penulisnya telah mempraktikkan apa yang ditulis. Kiranya macam ‘cakap serupa bikin’.
32. Menguatkan hubungan kekeluargaan – Apabila ahli keluarga membaca bersama, lahirlah budaya ilmu yang dipupuk bermula dari rumah. Ini saya akui kerana bila mama dan abah berusaha membeli buku-buku bagus untuk anak-anak membaca satu ketika dahulu. Bukan itu sahaja, mama sendiri sanggup melanggan majalah seperti keluarga, jelita dan suratkhabar hanya kerana dia mahu anak-anak tidak terlepas dengan berita terkini dan ilmu.
33. Menjadi contoh kepada anak-anak – Anak yang melihat ibu bapanya membaca akan membesar dengan nilai ilmu yang tinggi. Dan pada masa yang sama, menghargai apa sahaja ilmu yang diterima.
34. Membawa kepada kebahagiaan hakiki – Hobi membaca ini secara tidak langsung dan juga langsung mampu mendekatkan diri kita kepada Allah. Kita belajar mengenal Dia, kita belajar untuk mengikut perintah-Nya dan kita berusaha untuk masuk ke dalam syurga-Nya melalui saluran ilmu yang diberikan.
Suka membaca ini bukanlah sekadar hobi — hobi membaca adalah rezeki yang menghidupkan akal, melembutkan hati, membuka mata hati dan mendekatkan diri kepada sumber segala rezeki: Allah SWT. Setiap buku yang baik adalah pintu, dan setiap halaman adalah langkah menuju keberkatan. Bacalah apa sahaja buku kerana setiap buku ada ilmunya yang tersendiri yang mengajak manusia untuk menjadi manusia yang berguna.