
Semua orang ingin bahagia. Yang tak ingin bahagia itu selalunya orang yang ada mengalami masalah mental. Dan tadi, saya ada terbaca artikel yang dikongsikan oleh Ustaz Pahrol Mohd Juoi berkenaan dengan mencari bahagia. Beliau menghuraikan agak panjang lebar dalam artikelnya. Dan ada bab berkaitan dengan kaedah mencari bahagia melalui al-Quran dan Sunnah dikongsikan oleh beliau untuk para pembaca.
Menurut beliau, kebahagiaan itu ialah memiliki hati yang tenang dalam menghadapi apa jua ujian dalam kehidupan. Ia selaras dengan petunjuk Allah di dalam Al Quran. Firman Allah:
“Ketahuilah dengan mengingati Allah (berzikir), hati akan menjadi tenang.” (Surah Al-Ra’d 13: 28)
Dan menurut beliau, Rasulullah s.a.w ada bersabda, “Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan itu sebenarnya ialah kaya hati.” (HR Bukhari dan Muslim)
Kaya hati dalam hadis ini bermaksud hati yang tenang, lapang dan merasa cukup dengan apa yang dimiliki – bersyukur dengan apa yang ada, sabar dengan apa yang tiada.
Dalam artikel Ustaz Pahrol, ini saya kongsikan 7 kaedah mencari bahagia melalui al-Quran dan Sunnah. Dan kaedah ini sesuai digunapakai oleh sesiapa sahaja yang ingin mencari bahagia tidak kita umur, pangkat mahupun kekayaan.
1. Beriman dan beramal salih.
“Siapa yang beramal salih baik laki-laki ataupun perempuan dalam keadaan ia beriman, maka Kami akan memberikan kepadanya kehidupan yang baik dan Kami akan membalas mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka amalkan.” (An-Nahl: 97)
Ibnu ‘Abbas RA meriwayatkan bahawa sekelompok ulama mentafsirkan bahawa kehidupan yang baik (dalam ayat ini) ialah rezeki yang halal dan baik (halalan tayyiban). Sayidina Ali pula mentafsirkannya dengan sifat qana’ah (merasa cukup). Ali bin Abi Thalhah dari Ibnu ‘Abbas, meriwayatkan bahawa kehidupan yang baik itu adalah kebahagiaan.
2. Banyak mengingat Allah .
Dengan berzikir kita akan mendapat kelapangan dan ketenangan sekali gus bebas daripada rasa gelisah dan gundah gulana. Firman Allah:
“Ketahuilah dengan mengingat (berzikir) kepada Allah akan tenang hati itu.” (Ar-Ra’d 13: 28)
3. Bersandar kepada Allah.
Dengan cara ini seorang hamba akan memiliki kekuatan jiwa dan tidak mudah putus asa dan kecewa. Allah berfirman: “Siapa yang bertawakal kepada Allah maka Allah akan mencukupinya.” (Ath-Thalaq 65: 3)
4. Sentiasa mencari peluang berbuat baik.
Berbuat baik kepada makhluk dalam bentuk ucapan mahupun perbuatan dengan ikhlas dan mengharapkan pahala daripada Allah akan memberi ketenangan hati.
Firman-Nya:
“Tidak ada kebaikan dalam kebanyakan bisikan-bisikan mereka kecuali bisikan-bisikan dari orang yang menyuruh ( manusia) untuk bersedekah atau berbuat kebaikan dan ketaatan atau memperbaiki hubungan di antara manusia. Barang siapa melakukan hal itu kerana mengharapkan keredaan Allah, nescaya kelak Kami akan berikan padanya pahala yang besar.” (An-Nisa 4: 114)
5. Tidak panjang angan-angan tentang masa depan dan tidak meratapi masa silam.
Fikir tetapi jangan khuatir. Jangan banyak berangan-angan terhadap masa depan yang belum pasti. Ini akan menimbulkan rasa gelisah oleh kesukaran yang belum tentu datang. Juga tidak terus meratapi kegagalan dan kepahitan masa lalu kerana apa yang telah berlalu tidak mungkin dapat dikembalikan semula.
Rasulullah SAW bersabda: “Bersemangatlah untuk memperoleh apa yang bermanfaat bagimu dan minta tolonglah kepada Allah dan janganlah lemah. Bila menimpamu sesuatu (dari perkara yang tidak disukai) janganlah engkau berkata: “Seandainya aku melakukan ini nescaya akan begini dan begitu,” akan tetapi katakanlah: “Allah telah menetapkan dan apa yang Dia inginkan Dia akan lakukan,” kerana sesungguhnya kalimat ‘seandainya’ itu membuka amalan syaitan.” (HR. Muslim dan Ahmad daripada Abu Hurairah r.a)
6. Melihat “kelebihan” bukan kekurangan diri.
Lihatlah orang yang di bawah dari segi kehidupan dunia, misalnya dalam kurniaan rezeki kerana dengan begitu kita tidak akan meremehkan nikmat Allah yang diberikan Allah kepada kita.
Rasulullah SAW bersabda:
“Lihatlah orang yang di bawah kamu dan jangan melihat orang yang di atas kamu kerana dengan (melihat ke bawah) lebih pantas untuk kamu tidak meremehkan nikmat Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu.” (HR. Al-Bukhari dan Muslim)
7. Jangan mengharapkan ucapan terima kasih manusia.
Ketika melakukan sesuatu kebaikan, jangan mengharapkan ucapan terima kasih ataupun balasan manusia. Berharaplah hanya kepada Allah. Kata bijak pandai, jangan mengharapkan ucapan terima kasih kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Malah ada di antara hukama berkata, “sekiranya kita mengharapkan ucapan terima kasih daripada manusia nescaya kita akan menjadi orang yang sakit jiwa!”.
Firman Allah:
“Kami memberi makan kepada kalian hanyalah kerana mengharap wajah Allah, kami tidak menginginkan dari kalian balasan dan tidak pula ucapan terima kasih.” (Al Insan 76: 9)

Menurut beliau lagi yang pakar motivasi dan agamawan di Malaysia berkata, “Ketenangan itu dicapai melalui zikrullah. Zikrullah akan memberi ketenangan buat hati. Ketenangan hati itulah kebahagiaan sebenar. untuk menjaga kebersihan hati, (selain berzikir) kita perlu menjaga penglihatan, pendengaran, fikiran, ucapan kita dari hal-hal yang dilarang oleh Allah SWT. Dengan menjaga hal-hal tersebut kita dapat menjaga kebersihan hati kita.
Jika anda ada rasa tidak enak dalam hati, ada benda seolah tersekat di dada, banyak-banyaklah berzikir dan berdoa. Mintalah Allah meredakan rasa tidak selesa ini yang mungkin meragut kebahagiaan anda perlahan-lahan. Anda cubalah teknik mencari bahagia yang dikongsikan oleh Ustaz Pahrol Mohd Juoi ini. Mungkin daripada 7 kaedahnya ada 2 – 3 kaedah sesuai dengan anda.
Dan untuk anda sentiasa berusaha mengingati Allah, mengingati kebaikan yang sentiasa diberikan-Nya setiap hari, anda boleh cuba untuk menulis jurnal kesyukuran. Di dalam jurnal ini, anda boleh senaraikan perkara-perkara baik dan nikmat yang dirasai sepanjang hari tersebut. Paling ringkas anda boleh menulis, ‘Syukur saya masih dikurniakan kesihatan yang baik’ atau ‘Syukur Allah masih mengurniakan mata untuk melihat kecantikan bulan penuh malam ini’. Sekecil-kecil nikmat jika satu hari nanti ia tidak ada, kita akan merasai bahawa ia adalah nikmat besar yang tak terhingga kurniaan Allah. Untuk anda yang ingin mula menulis parkara yang dinikmati dalam hidup berserta dengan kata-kata semangat yang menenangkan hati, anda boleh cuba dapatkan jurnal kesyukuran di web Ekspresi Syukur. Di dalam jurnal ini, anda hanya perlu menulis seringkas apapun perkara yang disyukuri setiap hari.

