
Sahabat yang baik itu satu rezeki yang kadang-kadang kita terlepas pandang. Dalam kehidupan ini, kita sering menilai rezeki dari sudut harta, pekerjaan, kesihatan, tahap pendidikan dan keluarga. Namun, ada satu bentuk rezeki yang sering kita abaikan tetapi amat besar nilainya iaitu nilai persahabatan. Kehadiran sahabat sejati adalah anugerah daripada Allah, peneman dalam saat suka dan duka, serta penguat jiwa dalam mempositifkan diri. Semalam, seorang lagi sahabat saya yang baik telah dijemput Allah. Dia kemalangan dalam perjalanan menuju ke tempat kerja di utara tanah air.
Waktu saya membuka aplikasi wasap selesai ibadah subuh, saya terpandang ada banyak komen di dalam grup rakan-rakan sekolah. Bila buka sahaja, seorang kawan memaklumkan rakan sekolah kami, lelaki baru sahaja kemalangan (dimaklumkan oleh suaminya yang juga rakan sekolah yang sama). Bila ternampak sahaja nama dan gambar, saya terkejut. Macam sukar nak terima. Ialah, dia sihat dan takde dengar dia menghidap penyakit kronik. Rupanya dia kemalangan dengan kenderaan lain ketika mahu outstation. Rakan di majlis pengkebumian bercerita yang sebenarnya masa kemalangan berlaku, dia masih bernyawa dan sempat hubungi adiknya untuk maklumkan dia kemalangan. Adiknya ingat waktu tu kemalangan tidaklah terlalu serius kerana abangnya sempat call. Rupanya, dalam perjalanan ke hospital, sahabat itu keadaannya semakin tenat. Dan bila mahu pindahkan dia dari ambulans masuk ke wad kecemasan, waktu itulah Allah telah ‘jemput’ Dia. Rakan saya maklumkan yang sahabat ini mengalami pendarahan teruk dalam badan akibat kemalangan.
Apabila mendengar cerita dia, lihat ahli keluarganya yang ramai di surau, lihat rakan-rakan sekolah yang lain datang dengan keluarga untuk memberi penghormatan dan bila lihat pegawai tentera lain yang berziarah dan membantu, saya tahu, sahabat ini sangat disenangi oleh orang yang mengenalinya. Meski dia dijemput Allah dalam keadaan terkejut, Alhamdulillah, Allah permudahkan urusan pemergiannya. Sakitnya tidak lama. urusan pengkebumian juga mudah. Teringat pada arwah mertua yang tiada sakit kronik tapi sebulan sahaja dia di hospital akibat pembedahan kepala akibat jatuh, Allah jemput dia. Urusan pengkebumiannya pun tak sampai 6 jam.
Melihat kematian ramai kawan, sahabat dan kenalan yang baik satu per satu ‘pergi’, saya dapat simpulkan bahawa sahabat yang baik atau rakan yang baik adalah salah satu rezeki yang patut disyukuri. Perginya mereka ini dirindui, tiada lagi khabar mereka buat hati kepedihan. Di sini saya dapat simpulkan 7 perkara bahawa sahabat yang baik itu satu rezeki yang patut kita semua syukuri.

1. Sahabat Baik: Cermin Diri Kita
Pepatah Arab ada menyebut, “Sahabat adalah cermin bagi sahabatnya.” Kehadiran sahabat yang baik menjadikan kita lebih berhati-hati dalam bertindak. Mereka menegur dengan hikmah, mendorong kita ke arah kebaikan, dan membantu kita memperbaiki diri menjadi insan yang baik. Bila kita memerlukan pertolongan atau dalam mood tak berapa baik, dia segera faham kita perlukan ruang untuk bertenang.
2. Peneman Saat Suka dan Duka
Sahabat yang baik bukan sekadar hadir di kala kita berbahagia atau gembira, tetapi tetap ada ketika kita jatuh tersungkur. Mereka mendengar tanpa menghukum, memberi sokongan tanpa mengungkit, dan menguatkan kita untuk bangkit semula. Kata-kata semangat dia seperti ubat mujarab untuk kita kuat dan bangun kembali.
3. Sahabat sebagai Nikmat yang Perlu Disyukuri
Al-Quran mengingatkan bahawa Allah yang menyatukan hati manusia sehingga mereka menjadi saudara. Ini menunjukkan bahawa persahabatan yang ikhlas adalah satu nikmat. Maka, mensyukurinya bererti bertanya khabarnya jika bukannya kerap, menjaga adab kita berbual atau berjumpa, menghargai kebaikan yang dilakukan, serta berdoa agar ikatan baik ini kekal hingga ke akhir hayat dan syurga.
4. Mengukur Nilai Persahabatan
Nilai persahabatan tidak diukur pada lamanya masa berkenalan, tetapi pada sejauh mana ia membawa kebaikan dalam hidup. Jika kehadirannya mendekatkan kita dengan Allah, menenangkan jiwa, dan menguatkan semangat dalam ujian, maka dia ialah sahabat yang baik yang wajar kita syukuri dan hargai.
5. Menjadi Sahabat yang Baik
Mensyukuri sahabat yang baik juga bermakna berusaha untuk menjadi sahabat yang baik kepada orang lain juga. Persahabatan sejati dibina dengan kejujuran, doa yang tulus, kata-kata yang tidak menyakitkan hati serta kesediaan untuk saling memberi dan menerima. Menjadi sahabat yang baik membuatkan bukan sahaja mereka gembira tetapi juga hati kita bahagia bila bersama mereka.
6. Sahabat yang Mendoakan dalam Diam
Antara tanda sahabat yang baik ialah mereka mengingati kita walaupun ketika tiada di sisi. Mereka mendoakan kebaikan, perlindungan, dan keberkatan untuk kita dalam diam. Doa seorang sahabat adalah hadiah paling ikhlas, yang mungkin kita tidak tahu tetapi menjadi sebab ketenangan hidup kita. Dan bila sahabat itu sudah kembali ke sisi Allah, hadiah yang paling berharga yang dinantikannya adalah doa. Moga kita sentiasa mendoakan rakan-rakan kita yang telah tiada.
7. Sahabat yang Menghormati Batas
Sahabat sejati memahami bahawa setiap insan ada ruang peribadi. Mereka tidak mendesak perhatian berlebihan, sebaliknya menghormati kesibukan kita dengan penuh sabar. Kasih sayang yang ikhlas inilah yang menjadikan persahabatan kekal lama, kerana ia dibina di atas rasa hormat dan saling memahami.
Sahabat yang baik ini, tidak semestinya kita sering berjumpa atau berbual. Kadang-kadang hati kita sendiri sudah terdetik mengatakan dia sahabat yang baik. Sikap dia, kata-kata dia, teguran dia, ingatan dia pada kita, itu sudah cukup menunjukkan bahawa dia menghormati kita seadanya sebagai kawan. Saya rasa, bukan setakat saya sahaja mengakui bahawa sahabat yang baik itu satu rezeki tetapi anda yang membaca ini juga pasti bersetuju. Hilangnya mereka seolah hilangnya satu cahaya dari dalam jiwa kita. Yang pasti, sebagai mengenangkan mereka yang pernah menjadi sahabat yang baik ini, doa yang ikhlas perlulah kita hadiahkan buat mereka…

