7 kelebihan perlu disyukuri oleh pasangan yang tidak mempunyai atau memiliki zuriat (kita sangka baik pada Allah)

Pasangan yang tidak mempunyai zuriat selalunya akan banyak memikir yang bukan-bukan, sedih dan susah nak move-on. No! Jangan aniaya diri kita sendiri. Jangan letak or tanam fahaman negatif dalam minda. Jika anda baca sirah Nabi s.a.w dan para sahabat, anda akan tahu ramai antara mereka sehingga akhir nyawa tiada zuriat. Adakah Allah kejam dengan mereka? Adakah mereka tidak cukup baik sehingga Allah tidak berikan mereka zuriat penyambung keturunan? Bila kita banyak fikir bukan-bukan, samalah kita mempertikaikan apa yang Allah berikan juga kepada Rasulullah s.a.w dan sahabat Baginda.

Sebenarnya, ada banyak kelebihan wanita mahupun lelaki yang tidak dikurniakan Allah zuriat. Kita hanya perlu gali hikmah disebaliknya. Kebanyakan isteri Nabi s.a.w sendiri tidak mempunyai zuriat dengan Baginda (kecuali beberapa orang). Jika difikirkan, boleh sahaja isteri-isteri Nabi ini meminta Baginda berdoa pada Allah kerana mereka tahu, Allah sayangkan Baginda dan jarang doa Baginda tidak dimakbulkan. Tapi tidak. mereka sabar. Nabi s.a.w juga bersabar. Masing-masing tahu ada sebab tertentu Allah tidak memberikan. Mereka berprasangka baik pada Allah.

Di sini, saya kongsikan antara kelebihan yang perlu dihargai dan disyukuri oleh pasangan yang tidak memiliki  zuriat hatta mereka yang tidak mempunyai pasangan. Ini berdasarkan pada pengamatan saya dan mungkin ada juga kajian mengenainya yang tidak saya ketahui.

  • Lebih Banyak Masa dengan Pasangan – Suami isteri boleh memberi lebih perhatian kepada satu sama lain tanpa gangguan dan kesibukan mengurus anak. Boleh aje dating bila-bila masa dan buat perancangan last minute. 

  • Kewangan yang Sedikit Stabil – Tanpa tanggungan anak, pasangan boleh mengurus kewangan dengan lebih bebas, menyimpan lebih banyak dan boleh berkongsi rezeki atau bersedekah dengan sesiapa sahaja.

  • Kurang Tekanan dan Tanggungjawab Besar – Tidak perlu menghadapi cabaran membesarkan anak seperti pendidikan, disiplin, kesihatan dan masa depan mereka. Kalau adapun, mungkin tekanan bela haiwan peliharaan (kebanyakkan, pasangan tiada zuriat akan beli beberapa ekor haiwan peliharaan untuk mengisi masa yang kosong).

  • Peluang untuk Berbakti kepada Ibu Bapa – Dapat memberi lebih perhatian dan menjaga ibu bapa dengan penuh kasih sayang serta tanpa sekatan masa. Boleh bawa mereka ke hospital atau menziarahi keluarga bila-bila masa tanpa perlu cuti sekolah.

  • Fokus pada Pembangunan Diri dan Kerjaya – Pasangan boleh lebih fokus untuk mencapai kejayaan dalam kerjaya, pendidikan atau perniagaan tanpa gangguan.

  • Ketenangan Jiwa dan Emosi – Tidak perlu risau tentang cabaran keibubapaan, tekanan akademik anak atau masalah sosial yang sering dihadapi oleh ibu bapa.

  • Percaya pada Rancangan Allah yang Lebih Baik – Allah mungkin menyediakan rezeki dan kebahagiaan dalam bentuk lain, seperti hubungan suami isteri yang lebih erat, kejayaan hidup, atau ganjaran besar di akhirat.

Walaupun tidak mempunyai zuriat boleh menjadi ujian, ia juga boleh menjadi satu rahmat jika pasangan melihatnya dengan perspektif positif dan mensyukuri setiap nikmat yang Allah berikan. Allah tidak memberi bukan tanda Allah tidak sayang. Dia tidak beri atau lambat memberi mungkin kerana Dia tahu kita dan orang sekeliling belum bersedia. Jika Dia tidak beri zuriat sehingga akhir hayat sekalipun, Ingat! Banyak nikmat lain yang kita terima dan miliki diingini oleh orang lain. Jadinya, banyak-banyaklah sabar, sangka baik dan berterima kasih kepada Allah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *