Menulis kad ucapan terima kasih dianggap sebagai tanda bersyukur dan menghargai kerana ia menunjukkan bahawa kita sangat menghargai kebaikan, sokongan, atau usaha orang lain yang diterima dan diberikan. Saya mula mengamalkan memberi kad ucapan terima kasih dan sentiasa mengucapkan terima kasih kepada setiap orang yang ditemui sejak 2020 (pernah saya kongsikan tentang buku ‘A Simple Act of Gratitude’). Tabiat ini saya mulakan dengan memberi suami saya, adik-adik saya, ipar juga anak-anak saudara yang besar. Mulanya mereka macam malu-malu terimanya tapi lama-lama mereka tahu, saya sejenis tak banyak cakap tapi lebih kepada memerhati dan memberi. Dan baru ni, ada saudara yang berusia 26 tahun, lelaki, tiba-tiba mengungkit kisah dia terima kad saya. Senyum ajelah saya bila dengarnya (at least dia ada kenangan sesuatu dengan mak tua dia ni).

Menulis kad ucapan terima kasih sebenarnya bukan sahaja tanda kita menghargai tetapi juga bersyukur kerana mengenali dan menerima kebaikan orang yang menerima kad ucapan tersebut. Bukan itu sahaja, secara tidak langsung, kita mengiktiraf apa yang dilakukan itu betul dan membawa kebaikan. Berikut adalah beberapa sebab mengapa menulis kad ucapan terima kasih itu membawa makna yang baik kepada diri dan penerima:
- Menunjukkan rasa bersyukur secara sederhana tetapi bermakna – Kad ucapan terima kasih adalah cara yang tulus untuk mengungkapkan rasa syukur pemberi/penulis kepada penerima kad. Ia memperlihatkan bahawa pemberi atau penulis kad tidak mengambil kebaikan orang lain sebagai perkara remeh, tetapi mengiktiraf dan menghargainya dengan sepenuh hati.
- Memperkukuhkan hubungan – Apabila seseorang menerima kad ucapan terima kasih, mereka akan merasa dihargai dan dihormati. Ini secara tidak langsung memperkuat hubungan, sama ada dalam keluarga, persahabatan atau perniagaan, kerana ia mencerminkan penghormatan dan keikhlasan. Pernah dahulu saya menerima kad ucapan hari raya dari Karangkraf, Telaga Biru kerana menghargai hubungan perniagaan yang terbina.
- Menjadikan kesyukuran sebagai amalan harian – Menulis kad ucapan terima kasih melatih diri untuk lebih peka terhadap kebaikan orang lain dan mendorong diri untuk sentiasa bersyukur, walaupun dalam perkara kecil. Baru ini, suami saya dimasukkan ke hospital. Kena duduk dalam 3 malam. Dan oleh kerana isterinya ini terjebak dengan semangat rasa bersyukur dari Allah, maka, saya bawakan dia sekotak kat ucapan terima kasih yang kosong. Saya minta dia tulis sesuatu dan berikan kepada doktor dan staf hospital kerana bantu dia sepanjang di hospital. Tanpa mereka, kesihatan dia mungkin terabai.
- Meningkatkan kebahagiaan dan ketenangan hati – Ada kajian menunjukkan bahawa mengekspresikan rasa syukur seperti melalui penulisan, dapat meningkatkan kebahagiaan dan mengurangkan tekanan. Ia memberi kepuasan batin kepada si penulis dan juga penerima.
- Meninggalkan kesan yang kekal – Tidak seperti mesej digital yang mudah hilang atau dilupakan, kad ucapan terima kasih sering disimpan sebagai kenangan bermakna. Ini menjadikannya satu cara untuk meninggalkan kesan jangka panjang kepada penerima. Dan ini diakui saya sehingga sekarang kerana ada beberapa barang bertulis yang diberikan rakan dan saudara masa kecil dahulu disimpan elok. Saya menghargai apa yang mereka berikan.
Secara keseluruhannya, menulis kad ucapan terima kasih bukan hanya sekadar tradisi atau kebiasaan, tetapi satu tindakan yang mencerminkan penghargaan, keikhlasan, dan rasa syukur yang mendalam terhadap kehidupan dan orang-orang di sekeliling kita. Kita mahu mereka tahu yang apa yang mereka lakukan pada kita pada waktu itu sangat-sangat dihargai dan berharap mereka juga menerima kebaikan yang sama sepertimana yang mereka berikan.

