Penulis jurnal atau diari sering dipandang rendah atau diremehkan kerana beberapa salah faham dan stigma masyarakat yang wujud. Seringkali mereka dipersenda, diperlekeh dan diperkata tidak kuat ketika meluahkan perasaan di dalam buku. Berikut kami senaraikan 7 penyebab utama mengapa menulis jurnal jarang diangkat di Malaysia (berdasarkan pemerhatian dan pengalaman peribadi).
-
Dianggap Hanya sesuai untuk kanak-kanak atau remaja sahaja
- Ramai yang menganggap menulis diari sebagai aktiviti budak sekolah atau remaja yang menulis tentang perasaan mereka. Tetapi hakikatnya, jurnal juga digunakan oleh ramai orang dewasa, termasuk tokoh terkenal seperti Albert Einstein, Leonardo da Vinci, Ibnu Batutta, al-Idrisi, al-Khawarizmi dan Oprah Winfrey.
-
Tidak Dilihat sebagai Aktiviti Produktif
- Sesetengah orang melihat menulis jurnal sebagai perbuatan yang membuang masa kerana ia tidak memberikan hasil material yang jelas. Sebenarnya, jurnal membantu seseorang merancang, berfikir secara lebih mendalam dan memperbaiki diri. Dan jika anda perasan sekarang, mereka yang menulis jurnal mula mendapat tempat di media sosial seperti TikTok, Instagram dan laman web lain yang memasarkan buku jurnal bermutu tinggi dan bagus.
-
Dikaitkan dengan Perasaan Lemah atau Emosi Berlebihan
- Ada beranggapan bahawa orang yang menulis jurnal adalah mereka yang terlalu emosi atau terlebih sensitif. Sebaliknya, jurnal adalah alat refleksi yang digunakan oleh individu berjaya untuk mengawal emosi, membuat keputusan yang lebih baik, belajar bersyukur dan menghargai serta meningkatkan kesihatan mental. Menulis mampu menjadi salah satu alat terapi diri yang baik.
-
Tidak Difahami oleh Orang yang Tidak Mengamalkannya
- Mereka yang tidak pernah menulis jurnal mungkin tidak memahami bagaimana ia membantu seseorang menjadi lebih bersyukur, teratur dan berfokus. Apa yang tidak difahami sering kali dianggap tidak penting. Maka, beberapa penerangan di web, di blog, di media sosial hatta di dalam persidangan turut dinyatakan kelebihan menulis jurnal ini agar persepsi negatif dapat dikurang.
-
Stigma terhadap Kesihatan Mental
- Dalam sesetengah budaya, bercakap tentang emosi atau perasaan peribadi dianggap tabu. Penulis jurnal atau diari sering diremehkan kerana diandaikan mereka tidak pandai mengurus tekanan dan emosi, kadangkala dikaitkan dengan kelemahan mental, walaupun ia sebenarnya membantu dalam kesejahteraan psikologi. Jika anda membaca buku Dale Carnegie bertajuk How To Stop Worrying and Start Living juga buku The Beneficial Means to A Happy Life oleh Moutaseem al-Hameedy, anda akan tahu betapa pentingnya menulis jurnal bagi menguruskan hidup dan menceriakan kembali hidup selepas didatangi ujian yang ada waktu tak cukup kuat untuk dihadapi.
-
Dunia Digital Menggantikan Tradisi Menulis
- Di zaman teknologi, ramai yang lebih suka berkongsi pengalaman di media sosial berbanding menulis secara peribadi dalam jurnal. Ini membuatkan amalan menulis diari kelihatan ‘ketinggalan zaman’ bagi sesetengah individu. Tapi pada saya, anda boleh buat dua-dua untuk membekalkan info kepada pembaca online dan juga offline.
-
Tiada hasil yang terus terlihat.
- Bila menulis jurnal kesyukuran ia memerlukan masa untuk menunjukkan kesan positif. Minimum adalah 66 hari. Orang yang mencari perubahan segera mungkin kecewa dan mengabaikannya kerana sukar untuk konsisten.
Meskipun penulis jurnal atau diari dipandang remeh dan rendah akan pratikal yang mereka lakukan, sebenarnya mereka yang memahami manfaatnya akan terus melakukannya untuk kebaikan diri sendiri. Menulis jurnal bukan tanda kelemahan, tetapi bukti bahawa seseorang itu berusaha untuk menjadi lebih baik.