Bersyukur dan ianya penting untuk kesihatan sehari-hari.

Dalam al-Quran, Allah menyarankan hamba-Nya sentiasa bersyukur. Bersyukur dan ianya penting untuk kesihatan kita sehari-hari selagimana masih hidup. Syukur merupakan tanda terima kasih dan menghargai segala nikmat kebaikan yang diterima tidak kira dari siapa mahupun Allah. Dengan rasa bersyukur, kita seolah-olah percaya dan yakin bahawa apa yang Allah kurniakan mencukupi dan secara tidak langsung membuatkan kita kurang berasa cemburu, iri mahupun dengki.

Saya mengamalkam konsep bersyukur ini sudah melebihi empat tahun sekarang (masuk tahun ke-5). Alhamdulillah, ada peningkatan dalam diri yang dirasakan. Ia bukan sekali derap. Ia mengambil masa kerana untuk mengikis mahupun mengurangkan tabiat buruk kita bukan perkara mudah. Kita berlawan dengan emosi negatif, nafsu dan juga prasangka yang tak baik.

Allah berfirman:

“… Ini adalah daripada kurniaan Tuhanku, untuk mengujiku adalah aku bersyukur atau kufur dengan nikmat pemberian-Nya. Sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah bagi dirinya…” (Surah an -Naml: 40)

Mengapa bersyukur penting untuk kesihatan sehari-hari?

Menurut kajian yang dijalankan oleh Dr. Robert A Emmons dan rakan-rakannya, bersyukur mampu memberi kesan positif bukan sahaja kepada kesihatan fizikal dan psikologi tetapi juga orang sekeliling. Hasil kajian melibatkan 1000 orang menunjukkan bahawa mereka yang konsisten mengucapkan syukur, bersyukur, menulis jurnal dan menghargai perkara-perkara kecil dan sederhana dalam hidup, memiliki kesihatan sehari-hari yang begini:

Fizikal

  • Sistem imunisasi diri lebih kuat
  • Kurang mengalami masalah kesakitan
  • Tiada masalah tekanan darah tinggi
  • Tidur nyenyak dan dapat bangun pagi dalam keadaan segar

PSIKOLOGI

  • Mempunyai tahap emosi yang positif
  • Lebih bersemangat dan ingin memaknakan hidup
  • Lebih ceria dan belajar menerima apa yang terjadi dengan lebih terkawal
  • Lebih optimis
  • Mula merancang hidup untuk lakukan kebaikan

SOSIAL

  • Suka membantu orang yang dalam kesusahanan dan bersikap penyayang
  • Belajar melepaskan dan memaafkan orang
  • Suka dan hargai bila dapat keluar berjumpa dengan orang dan alam sekeliling
  • Sibukkan diri melakukan perkara yang disukai. Kurang menyendiri

Melihat kepada senarai kelebihan yang dialami dan didapati oleh responden kajian, saya akui, ada yang saya rasainya juga secara berperingkat. Dengan menumpukan perhatian kepada perkara-perkara positif dan kebaikan yang diterima dalam hidup, kita dapat mengurangkan kesan emosi negatif seperti kebimbangan dan kemurungan. Malah, amalan bersyukur ini juga menggalakkan minda  saya untuk lebih fokus dan hati yang lebih tenang, sekaligus meningkatkan kualiti hidup secara keseluruhan (still phase by phase). Apapun, senantiasalah kita berusaha untuk bersyukur demi kepentingan kesihatan diri sehari-hari dan bukannya orang lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *