Musibah terasa manis

Kisah musibah terasa manis ini saya perolehi di dalam buku Rasul Mulia, Umat Mulia, Akhlak Mulia. Ia berkaitan tentang sikap redha dan syukur para ulama dan ilmuan Islam terdahulu. Ada dua kisah yang menarik yang saya rasa kita sebagai orang awam pada abad ini tidak ada yang mampu mengikutinya. Tapi cara penerimaan mereka pada masalah patut kita contohi.

Kisah pertama:
Seorang ‘abidah bernama Rabi’ah al-‘Adawiah pernah ditanya, “Bilakah seseorang telah mencapai maqam redha?” Dia menjawab, “Apabila bergembira dengan musibah yang menimpanya sepertimana mana dia bergembira dengan nikmat yang diterimanya.”

Ucapan Rabi’ah ini agak mustahil dilakukan oleh orang-orang seperti kita. Namun, hal ini tidak sukar bagi hamba-hamba Allah yang menanam keimanan sempurna dalam hati seperti kisah ‘Urwah al-Zubair yang sanggup kehilangan kaki sebelahnya akibat infeksi tanpa membius anggota badan ketika operasi memotong dijalankan. Dia ingin berada dalam keadaan sedar agar dapat mengingati Allah meskipun sakit. Baginya musibah terasa manis bila sentiasa meletakkan Allah pada tangga pertama.

Kisah kedua:
Imam al-Ghazali dalam kitab ‘Ihya Ulumuddin menceritakan bahawa seseorang melihat luka yang terdapat di kaki Imam Wasi’ bin Hibban. Lalu dia berkata, “Setiap kali aku melihat luka ini, aku sangat kasihan kepadamu.”

Wasi’ bin Hibban yang telah mencapai maqam redha menjawab, “Sejak luka ini keluar di kakiku, aku selalu bersyukur. Ini kerana Allah tidak menjadikan luka ini di dalam mataku.”

Pendek kata, orang yang memiliki sifat redha di hati akan sentiasa merasakan kebahagiaan yang tidak terkira. Segala sesuatu yang  ditemuinya di dunia ini akan dilihat begitu indah dan terasa begitu manis.

Nabi s.a.w bersabda, “Akan merasakan bahawa manisnya iman; seseorang yang redha Allah sebagai Tuhannya, Islam sebagai agamanya dan Muhammad s.a.w sebagai rasulnya.” (HR Muslim daripada ‘Abbas bin Abdul Mutalib).

Tidak mustahil bahawa dengan sikap redha dan syukur ini, ia akan merasakan bahawa setiap musibah terasa manis.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *