
Menjadi orang yang berlapang dada adalah impian majoriti manusia. Hidup dalam keadaan tenang, tiada rasa sakit hati, cemburu dapat dikawal, berusaha tidak mahu berdendam dengan sesiapa dan sentiasa berprasangka baik pada Allah adalah sifat orang yang berlapang dada. Orang yang berlapang dada ini tidurnya lena, mudah tersenyum, bercakap perkara yang baik-baik, berusaha buat perkara yang baik-baik dan belajar memaafkan masa lampau yang menyakitkan.
Ada satu kisah daripada hadis saya jumpa dalam buku Jangan Bersedih! Kebahagiaan pasti bersamamu. Kisah ini rasanya ada antara kita pernah mendengar/membacanya. Ia tentang kisah seorang lelaki yang masuk ke dalam masjid dan Rasulullah s.a.w menyatakan dia adalah ahli syurga. Kenyataan ini membuatkan ada para sahabat ingin tahu apa yang dilakukannya. Ini kisahnya, seorang yang berlapang dada.

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a, dia berkata, “Ketika kami duduk bersama Rasulullah s.a.w, baginda bersanda, “Ada seseorang lelaki penghuni syurga yang akan muncul di tengah-tengah kamu tidak lama lagi. Kemudian, datanglah seorang lelaki Ansar yang air wuduknya menitis dari janggutnya. Kedua seliparnya dibawa dengan tangan yang sebelah kiri. Pada keesokan harinya, Nabi s.a.w bersabda seperti itu. Lelaki itupun muncul semual seperti yang berlaku pada hari pertama. Pada hari ketiga, Nabi s.a.w bersabda lagi seperti sabdanya pada hari pertama lalu lelaki itu muncul seperti yang berlaku pada hari pertama. Ketika Nabi s.a.w berdiri, Abdullah bin Amr’ bin al-‘Ash mengekori lelaki itu dan berkata, “Sesungguhnya aku berselisih faham dengan ayahku hingga aku bersumpah untuk tidak akan masuk ke rumahnya selama tiga hari. Jadi, bolehkah aku menginap di rumahmu selama beberapa hari?” Lelaki itu menjawab, “Silakan.”
Anas berkata, “Abdullah menceritakan bahawa dia menginap selamat tiga malam di rumah lelaki itu namun, dia sama sekali tidak melihatnya mengerjakan solat malam selain apabila dia menanggalkan pakaiannya dan pergi ke tempat tiidur, dia menyebut nama Allah dan membaca takbir sehinggalah tiba waktu mengerjakan solat Subuh. Abdullah berkata, “Aku hanya mendengar lelaki itu mengucapkan kata-kata yang baik.”
Ketika tiga malam sudah berlalu dan aku hampir menganggap remeh terhadap amalan yang dilakukannya, aku berkata padanya, “Wahai hamba Allah! Sesungguhnya aku tidak bergaduh dengan ayahku dan tidak pula meninggalkannya tapi aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w menceritakan mengenai kelebihanmu sampai tiga kali hingga aku ingin menginap di rumahmu dan menelusuri apakah amalanmu supaya aku dapat mengikuti amalanmu, namun, aku tidak menjumpaimu mengerjakan banyak amalan. Jadi, apakah yang membuatkan Rasulullah s.a.w menceritakan tentang keistimewaanmu?” “Hamba Allah itu menjawab, “Begitulah amalanku seperti mana yang kamu lihat.” Abdullah berkata, ketika aku hendak berpaling meninggalkannya, dia memanggilku lalu berkata, “Amalanku itu tidak pernah berbuat curang kepada sesiapa pun di kalangan kaum muslimin, dan aku tidak pernah bersifat dengki kepada sesiapapun di atas kurnia yang diberi keistimewaan oleh Allah ke atas orang itu”.” Abdullah berkata, “Ternyata ini adalah keistimewaanmu sedangkan sifat ini tidak mampu kami lakukan.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Buku: Madar al-Wathan. Jangan Bersedih, Kebahagiaan pasti bersamamu!. 2013. Al-Hidayah Publications. Kuala Lumpur.

