6 tip tawakal dalam rezeki

Sebuah hadis tentang tawakal telah diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab r.a bahawa Nabi SAW bersabda:

لَوْ أَنَّكُمْ تَتَوَكَّلُونَ عَلَى اللَّهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرَزَقَكُمْ كَمَا يَرْزُقُ الطَّيْرَ تَغْدُو خِمَاصاً وَتَرُوحُ بِطَاناً

Maksudnya: “Seandainya kamu semua benar-benar bertawakkal pada Allah, sungguh Allah akan memberikan kamu rezeki sebagaimana burung mendapatkan rezeki. Burung tersebut pergi pada pagi hari dalam keadaan lapar dan kembali petang harinya dalam keadaan kenyang.” (Riwayat Ahmad, al-Tirmizi, Ibn Majah, Ibn Hibban dan al-Hakim)

Dalam menjelaskan maksud hadis ini, Imam al-Munawi berkata: Hal ini menunjukkan bahawa tawakal tidak boleh dengan meninggalkan usaha. Tawakal hendaklah dengan melakukan pelbagai usaha yang akan membawa kepada hasil yang diingini. Hal ini kerana burung pun memperoleh rezeki dengan berusaha. Mereka terbang, keluar dari sarang. Justeru, hal ini memberi petunjuk kepada kita untuk berusaha mencari rezeki dengan pelbagai cara selagimana masih dalam redha Allah.

Dalam hadis ini, Rasulullah SAW mengisyaratkan bahawa tawakal yang sebenarnya bukanlah bererti bermalas-malasan dan enggan melakukan usaha untuk mendapatkan rezeki, sebaliknya tawakal yang benar hendaklah dengan melakukan pelbagai jenis usaha dan cara yang dihalalkan untuk memperoleh rezeki. (Dinukilkan dalam Tuhfah al-Ahwazi bi Syarh Jami’ al-Tirmizi)

Tip-tip tawakal dalam rezeki.
    • Rezeki yang diperoleh datang daripada Allah dan dipinjamkan sementara kepada manusia di dunia.
    • Rezeki yang kita peroleh hanyalah nikmat dunia yang bersifat sementara. Rezeki yang dinikmati sekarang tiada apa-apa nilai di akhirat nanti.
    • Rezeki bukan sahaja merupakan nikmat, pada masa yang sama merupakan ujian.
    • Rezeki bukan sahaja berbentuk material seperti harta benda, malah juga berupa kemanisan dalam ibadah, kesihatan, anak-anak yang soleh, ketenangan dan sebagainya.
    • Allah berhak memberi rezeki kepada sesiapa sahaja dan berhak menahan rezeki daripada sesiapa jua. Oleh itu, kita langsung tiada hak untuk mempersoalkan soal rezeki.
    • Rezeki yang ada dalam tangan kita kini bukan milik kita sepenuhnya, malah ada hak orang lain iaitu melalui zakat atau sedekah. Satu keajaiban dalam Islam, semakin banyak yang diberi semakin banyak akan kita peroleh nanti, bukannya semakin susut. Ibarat berjalan berkaki ayam, tapak kaki bukan semakin haus malah makin tebal.

Petikan artikel dari Majalah Solusi Isu 9, m/s 1.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *