7 kelebihan menukar cara berfikir ‘Kenapa ini berlaku kepada aku?’ kepada ‘Apa yang Allah mahu ajari aku?’.

Dalam kesukaran hidup, seringkali kita diuji dengan ayat ‘Kenapa ini berlaku kepada aku?’ berbanding dengan kita cuba menukar kepada ayat menguatkan hati seperti ‘Apa yang Allah mahu ajari aku?’ Kita semua berdepan dengan cabaran, kesusahan, kesedihan dan situasi yang tak terjangka, namun, cara kita melihat dan mentafsirkan pengalaman tersebut boleh menentukan bagaimana kita mengharungi kehidupan ini. Perubahan dari mentaliti mangsa kepada mentaliti pembelajaran merupakan titik perubahan yang besar – satu game changer dalam kehidupan peribadi dan emosi kita. Kita sendiri sedang memilih sama ada ingin bersangka baik dahulu atau terus berfikiran negatif.

Berikut adalah 7 kelebihan mengapa perubahan menukar cara berfikir ini sangat penting pada setiap individu.

1. Membina Kawalan Diri dan Kuasa Dalaman

Apabila kita berhenti bertanya, “Kenapa ini berlaku kepada aku?” dan mula bertanya “Apa yang cuba Allah ajari aku?”, kita mengambil semula kuasa ke atas hidup kita. Kita tidak lagi meletakkan diri sebagai mangsa keadaan, tetapi sebagai individu yang berkuasa untuk bertindak balas dengan bijak. Kita menentukan hala tuju fikiran kita untuk melawan prasangka negatif yang menerjah dahulu.

Nabi Muhammad s.a.w berpesan kepada umatnya, “Janganlah seseorang daripada kamu meninggal dunia kecuali dalam keadaan berbaik sangka kepada Allah.” (Hadis riwayat Muslim daripada Jabir r.a.)

2. Meningkatkan Kesedaran Diri

Soalan “Apa yang situasi ini cuba ajarkan?” membuka ruang untuk refleksi diri. Kita mula menyedari corak tingkah laku, reaksi emosi dan pelajaran hidup yang mungkin sebelum ini kita abaikan. Kesedaran ini membawa kepada pertumbuhan peribadi. Secara tidak langsung, apa yang berlaku mematangkan cara berfikiran kita.

Dunia Shuaib berpesan, “Bila kita isikan minda kita dengan fikiran positif, kehidupan kita akan turut berubah.”

3. Mengurangkan Tekanan Emosi

Mentaliti mangsa sering kali membawa kepada tekanan, kecewa, sakit hati dan rasa putus asa. Tetapi apabila kita melihat cabaran sebagai guru dan panduan hidup untuk mengajar kita ilmu baru, tekanan itu berubah menjadi ruang untuk berkembang. Kita mula menerima bahawa tidak semua perkara berlaku kepada kita adalah masalah – ada yang berlaku untuk kita menjadi matang.

4. Meningkatkan Rasa Syukur

Bila kita mula mencari makna di sebalik setiap ujian, kita akan lebih mudah menghargai kehidupan – walaupun dalam kesulitan. Kita melihat hikmah dalam musibah dan rasa syukur akan mula tumbuh daripada kesedaran tersebut. Syukur itu bukan setakat ucapan tetapi ia berlaku bila kita merasainya sendiri melalui perlakuan dan tindakan.

Berfikiran positif bukanlah mangabaikan masalah kehidupan, ia adalah bagaimana Allah membantu kita jika ikhlas mencuba untuk mencari jalan keluar.” (Omar Suleiman)

5. Memperbaiki Hubungan Dengan Diri Sendiri dan Orang Lain

Dengan perspektif baru, kita tidak lagi menyalahkan diri sendiri atau orang lain secara automatik. Kita mula bertanya: “Apa peranan saya dalam situasi ini?” atau “Apa yang saya boleh perbaiki?” Ini menjadikan kita lebih matang dalam hubungan. Bukan itu sahaja, menukar perspektif baru ini juga membantu menukar sudut pandang kita kepada hidup. Kita tahu bahawa, Allah tidak menjadikan kita atau masalah kita itu sebagai beban berpanjangan. Dia tahu kita mampu mengharunginya.

…. Ini adalah daripada kurniaan Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku kufur dengan nikmat pemberian-Nya. Sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah bagi dirinya sendiri…” (Surah an-Naml 27: 40)

6. Membina Ketahanan Jiwa (Resilience)

Orang yang mampu melihat pelajaran dalam cabaran adalah orang yang lebih kuat dari dalam. Mereka tidak mudah rapuh kerana mereka tahu – setiap kesakitan membawa kebijaksanaan. Ini menjadikan mereka lebih bersedia menghadapi masa depan. Dan untuk membina kekuatan dalaman ini, sudah semestinya banyak air mata dan keringat tumpah dalam mengharungi cabaran ujian yang disediakan oleh Allah.

7. Membuka Jalan Kepada Kehidupan yang Lebih Bermakna

Apabila kita hidup dengan kesedaran bahawa setiap perkara membawa makna, hidup menjadi lebih mendalam dan penuh arah tuju. Kita mula menyedari bahawa semua yang berlaku adalah sebahagian daripada perjalanan jiwa kita yang telah ditetapkan oleh Allah sejak dari azali lagi. Cuma, apa yang kita perlu lakukan adalah terus dan terus bersangka baik kepada Dia dan lawan emosi jahat atau rasa negatif yang sentiasa mengganggu jiwa.

Daripada Abu Humaid al-Saidi r.a., Nabi s.a.w bersabda, “Perelokkanlah cara kamu dalam menuntut perkara dunia. Sesungguhnya, setiap orang adalah dipermudahkan berdasarkan untuk ketentuan yang telah ditetapkan kepadanya.” (Hadis riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)

Mengubah soalan yang kita tanya kepada diri sendiri mungkin nampak seperti langkah kecil, tetapi kesannya sangat besar. Jadi, apabila cabaran seterusnya datang, cuba berhenti sejenak dan tanyakan kepada diri:
“Apa yang situasi ini cuba ajarkan kepada aku?” “Apa kebaikan yang Allah sedang tunjukkan?”

Persoalan seperti ini merupakan titik permulaan kepada kehidupan yang lebih tenang, bijaksana, matang dan penuh erti. Hidup ini indah, jangan sia-siakanya dengan berfikiran negatif sepanjang masa. Jauhi soalan ‘Kenapa ini berlaku kepada aku?’

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *