Hidup tanpa tangan bukan sesuatu yang mudah. Hilang sahaja anggota penting ini, kita pasti akan menghadapi tekanan yang amat sangat. Seoalh menganggap Allah sengaja menduga sesuatu yang tak mungkin kita boleh hadapi. Tapi… bila saya terbaca 1 kisah ini dalam buku “Bila Allah Menduga Kita”, saya akui pasti ada hikmah disebaliknya yang membuatkan Allah menduga manusia sebegitu rupa. Apa yang penting, sabar, berdoa moga Dia beri kekuatan & ilham kepada kita untuk terus hidup & berjuang demi mendapat redhaNya…
Saya kenal wanita hebat pada gambar di atas sebentar tadi (bila di google, keluar terus wajah dia). Dia dilahirkan tanpa kedua belah tangan. Namun, berjaya menjadi juruterbang wanita pertama menerbangkan pesawat tanpa tangan. Ya betul, hidup tanpa tangan dan boleh terbangkan kapal terbang. Kau rasa bagaimana… Kita yang dilahirkan sempurna ini rasanya belum punya keberanian seperti dia. Itupun asyik dok gayat-gayat aje bila di tempat tinggi. Betul tak?
Sewakti kecil, dia pernah iri hati pada rakan-rakan yang memiliki tangan. Dia rasa ada kekurangan dalam dirinya. Tetapi apa yang bagusnya, dia dikurniakan ibu bapa yang selalu memberikan kata-kata semangat & mendidiknya dengan baik dan melatihnya untuk hidup berdikari. Dan, berkat kesabaran dan semangat yang dikongsi bersama keluarga, akhirnya dia berjaya melakukan segala perkara hanya dengan menggunakan kedua belah kakinya. “I may not have arms but that does not determine who I am or who I can become.” Maka, kita yang memiliki apa yang tidak dimiliki oleh Jessica Cox kenapa masih mahu mengeluh dan enggan berusaha??
Jika kita diuji dengan ujian hebat dari Allah, adakah itu alasan untuk kita terus sahaja bersedih, berduka atau menyalahkan takdir? Jika dilihat pada Jessica Cox ini, boleh aje terus dia menyalahakan takdir dan berprasangka negatif pada Tuhan tapi adakah dia terus menerus menyalahkan takdir? Mungkin pada awalnya ada tapi tidak selamanya. Dia bangkit dan berusaha untuk yakinkan diri bahawa penciptaannya oleh Tuhan pasti ada memberi manfaat pada diri dan orang sekeliling. Semangatnya yang tidak mudah menyerah kalah membuktikan bahawa hidup ini ada turun naiknya, ada keindahannya. Tinggal hanya kita yang memilih hendak selamanya bersedih atau warnakan hidup kita dengan pelangi yang indah. Hidup tanpa tangan hanya ujian sebentar pada Jessica dan bukan selamanya.