Perancangan Allah itu indah? Usia 35 tahun dan masih bujang mungkin terasa seperti satu “status” yang berat untuk sesetengah wanita. Apatah lagi apabila orang sekeliling mulai bertanya, masyarakat memandang serong dan hati sendiri tertanya-tanya, “Kenapa aku belum lagi bertemu jodoh?”
Tekanan sama turut dirasai oleh wanita yang bergelar isteri tapi masih belum dikurniakan cahayamata. Bertahun-tahun mencuba, berikhtiar, mencari jalan sama ada moden mahupun tradisional tapi belum juga dikurniakan Allah dengan permata hati yang diingini. Hati kecil wanita akan mula terdetik, ‘Aku ini memang tak boleh mengandung ke? Aku ada masalah dalam badan yang aku tak tahu ke? Kami berdua normal tetapi kenapa sehingga kini tiada tanda aku mengandung?’ Soalan demi persoalan akan mula timbul mengganggu ketenteraman hidup.
Anda boleh risau. Anda boleh berusaha dan berikhtiar. Anda juga perlu berdoa pada Allah untuk minta diberikan panduan, ketenangan dan kegembiraan tersendiri pada diri dan keluarga. Anda boleh rasa apa sahaja. cuma jangan terlalu menanamkan pada diri kata-kata negatif yang menjatuhkan diri sendiri. Kata-kata negatif, prasangka tidak baik, menyalahkan pasangan mahupun Allah dan lebih teruk lagi menyalahkan diri sendiri akan kelemahan yang kita tidak pasti kebenarannya sangatlah tidak dianjur. Belajarlah untuk melihat segalanya dari sudut positif dan kelebihan di masa hadapan yang bakal dikurniakan Allah.
Anda, wanita bujang dan tidak memiliki zuriat lagi, ketahuilah, dalam diam dan sunyi itu, ada satu hal yang mungkin selama ini kita terlepas pandang — Perancangan Allah itu bukan tertangguh, tapi tersusun rapi.
1. Allah Tidak Pernah Lupa Akan Kamu
Setiap doa yang kamu bisikkan, setiap air mata dalam sujud malam dan solat, semuanya didengar dan dikira. Allah tidak pernah lupa. Allah sentiasa mendengar. Kadang-kadang kita rasa sepi itu satu hukuman, padahal ia mungkin satu ruang eksklusif yang Allah beri kepada hamba-Nya untuk lebih dekat dengan-Nya. Allah mahu dengar kita meluah segala dalam hati kepada-Nya. Allah mahu kita bersandar harapan padanya. Allah mahu kita bersangka baik banyak-banyak pada-Nya dan juga takdir yang diberikan. Ada satu hadis Nabi s.a.w yang kita boleh sandarkan kasih sayang Allah ini terhadap hamba-Nya.
Daripada Umar r.a, pernah suatu ketika Rasulullah s.a.w bersama pada sahabat, “Pernah sekumpulan tawanan dihadapkan kepada Rasulullah s.a.w. Ketika itu, ada seorang tawanan wanita berjalan dengan pantas, tiba-tiba dia menemui seorang bayi kecil (anaknya yang hilang) dalam kumpulan tawanan itu. Lalu, dia mendukung, memeluk dan menyusukannya. Maka, Rasulullah s.a.w bersabda, ‘Pada pandangan kalian, adakah wanita ini akan mencampakkan anaknya ke dalam api?’ Kami menjawab, ‘Tidak, demi Allah’. Baginda bersabda, ‘Allah lebih kasih terhadap para hamba-Nya melebihi wanita tersebut terhadap anaknya’.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
2. Waktu yang Diberi Ini Bukan Sia-sia
Wanita berusia lebih 35 tahun membawa bersamanya pengalaman, kematangan dan kekuatan yang luar biasa. Ini adalah fasa untuk benar-benar mengenali diri, menyembuh luka lama, menguatkan diri, belajar perkara baru dan menumbuhkan rasa kasih sayang terhadap diri sendiri dan bukannya menyalahkan takdir.
Mungkin anda belum dihadirkan pasangan hidup mahupun zuriat penyeri hidup, tapi Allah sudah hadirkan banyak cinta dalam bentuk lain — keluarga, sahabat, kerjaya, kesihatan, rezeki, ilmu dan peluang untuk memberi. Bukankah itu semua layak disyukuri? Terlalu banyak pemberian-Nya yang tak mampu kita tulis, ucapkan dan berterima kasih.
“Oleh itu, ingatilah Aku (berzikirlah kepada-Ku dengan mematuhi hukum dan undang-undang-Ku), nescaya Aku akan mengingati kalian dan bersyukurlah kepada-Ku serta janganlah kalian kufur terhadap-Ku (nikmat-Ku).” (Surah al-Baqarah 2: 152)
3. Belajar Bersyukur, Sekalipun Dalam Kekurangan
Syukur bukan bermaksud menafikan kesedihan, tetapi mengiktiraf kehadiran nikmat walaupun di celah-celah ujian. Ujian yang didatangkan kepada kita, wanita yang belum berkahwin mahupun punya zuriat jika dilihat bukanlah kecil kerana ianya melibatkan keadaan di masa hadapan, tapi sebagai hamba-Nya kita disuruh oleh agama untuk bersabar dan husnuzon (sangka baik) pada segala perancangan Allah meski tidak bersetuju. Latihan bersyukur boleh kita mulakan dengan hal-hal kecil dan sederhana yang memudahkan urusan seharian kita dan menggembirakan hati. Sebagai contoh:
-
“Ya Allah, terima kasih kerana Engkau masih memberiku kesihatan.”
-
“Aku bersyukur kerana punya tempat berteduh dan makanan di meja.”
-
“Alhamdulillah, walaupun sendiri, aku masih punya masa untuk jaga diri dan kejar impian.”
- “Meski belum dikurniakan zuriat lagi, Kau tetap kurniakan aku suami yang berusaha menjaga makan, pakai dan agamaku.”
Setiap kali hati berbisik tentang kekurangan, ajarkan ia untuk melihat apa yang masih ada dan miliki.
“Give every day the chance to become the most beautiful day of your life.” (Mark Twain)
4. Jangan Bandingkan, Tapi Raikan Diri
Usah bandingkan hidupmu dengan orang lain. Setiap orang melalui jalan hidup yang berbeza, dengan ujian dan rezeki yang Allah aturkan khas buat dirinya. Kita tidak lambat, kita juga tidak tertinggal. Cuma kita sedang melalui jalan yang Allah tahu paling sesuai untuk diri berkembang menjadi hamba-Nya yang diredhai.
Raikan setiap langkah yang diambil dan dilalui meskipun perlahan, sedih dan sukar. Raikan dirimu yang masih memilih untuk percaya, berharap dan bersyukur, walaupun dalam hati tertanya-tanya.
“Kebahagiaan itu dicapai dengan tiga perkara; bersabar ketika mendapat ujian, bersyukur ketika mendapat kenikmatan dan bertaubat ketika melakukan kesalahan.” (Ibnu Qayyim al-Jauziyyah)
Wahai wanita hebat yang membaca ini, ketahuilah kamu bukan “kurang”. Kamu sedang menjalani takdir yang cantik, meskipun pada luarannya belum nampak sempurna. Teruskan belajar untuk bersyukur — bukan kerana hidupmu sudah lengkap, tetapi kerana kamu percaya Allah sedang melengkapkannya, satu demi satu, dengan cara-Nya yang penuh hikmah dan tersendiri.
Dan siapa tahu, barangkali dengan bersyukur itulah pintu kepada segala yang kamu doakan selama ini. Dia beri apa yang kita perlu dan bukan apa yang kita mahu. Perancangan Allah itu indah cuma kita hanya mengetahuinya bila tiba saatnya.
Ingatlah! Kamu sudah cukup berharga — hari ini, sekarang dan selama-lamanya.