Sedih atau ribut jiwa yang berlarutan dan berpanjangan lebih daripada setahun, bukanlah sesuatu yang perlu diambil ringan. Ia adalah panggilan jiwa yang perlukan perhatian — bukan untuk diabaikan, tapi untuk dipeluk dengan hikmah dan diurus dengan kasih sayang. Sedih itu penting dan perlu ada dalam hidup, cuma sedih berpanjangan itu sangat tidak baik kerana ia mengganggu proses kehidupan dan kesihatan diri sendiri. HAMKA sendiri menyatakan dalam mutiara kata terkenalnya tentang situasi ini, “Hidup terbina atas pahit dan manis. Jikalau selalu sahaja pahit, hati akan menjadi rawan dan kalau senantiasa sahaja manis, hati akan menjadi bosan.”
Berikut ialah beberapa pendekatan spiritual, psikologi dan praktikal yang kami harap boleh membantu anda keluar secara perlahan daripada kesedihan yang berpanjangan. Ini adalah antara hasil kajian yang dilakukan oleh beberapa pakar, universiti dan dari pengalaman kami sendiri:
1. Akui Kesedihan Itu Wujud — Jangan Nafikan
Ramai cuba melupakan atau menyembunyikan sedih. Tapi jiwa yang tertekan kerana dipaksa “baik” akan lebih tertekan. Hadapi sahaja kesedihan itu dengan menangis, muram, kecewa. Ini kerana sedih itu sifatnya ada dalam diri manusia. Nabi s.a.w sendiri turut berasa sedih yang amat apabila berhadapan dengan kematian pakciknya Abu Talib, isterinya, Saidatina Khadijah juga anak lelakinya (meninggal pada usia kecil). Cuma panduan kita apabila berhadapan dalam situasi ini, jadikanlah perilaku Nabi s.a.w sebagai contoh ikutan. Ini penting agar kesedihan itu tidak tersasar jauh sehingga menyalahkan takdir atau menjadikan kita tidak waras.
Akui: “Ya Allah, aku masih sedih. Tapi aku sedang cuba sembuh.”
2. Tulis Semua — Biar Jiwa ‘Muntahkan’ Apa Yang Dipendam
Tulis tanpa tapis. Luah dalam jurnal atau kertas rasa sedih dan ribut jiwa. Kita mahu kurangkan rasa beban dalam jiwa yang terbuku sehingga menyesakkan diri. Cara penulisan ini membantu kita mengenalpasti corak (pattern) kita bila menghadapi kesedihan dan waktu bila sering rasa sedih itu berlaku/ganggu. Tulis:
-
Apa yang kau rasa?
-
Apa yang kau takut?
-
Apa yang kau rindu?
- Apa yang buat kau rasa sedih sangat?
Tulis seperti berbual dengan Allah. Ia memberi ruang pada emosi untuk “keluar”. Cara ini membuatkan kita terasa seperti apa yang diluahkan itu didengari sepenuhnya oleh Dia. Dia yang tidak akan menghakimi kita tapi terus mendengar dan membantu kita pada waktu yang tepat.
3. Dekati Solat Seperti Menenangkan Jiwa, Bukan Sekadar Rutin
Solat bukan sekadar kewajipan, ia adalah tempat rehat untuk jiwa. Di waktu anda sujud pada-Nya, doa atau mintalah pada Dia agar diberikan kekuatan, ketenangan, kemaafan, petunjuk dan panduan dalam meneruskan hidup. Anda boleh luahkan dalam sujud terakhir setiap kali solat fardhu atau anda boleh buat solat sunat dalam meminta kekuatan dan petunjuk-Nya. Kita tahu yang Allah Maha Mendengar.
Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda; “Tidak ada suatu yang lebih mulia di sisi Allah melainkan doa.” (Hadis riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah)
4. Bangun Malam — Walau Sekali Seminggu
Tahajud di waktu sunyi sangat kuat kesannya untuk jiwa. Tidak perlu panjang. Satu jam sebelum solat subuh, anda bangun dan cuba lakukan solat tahajud. Solat ini hanya:
-
2 rakaat ringkas
-
Doa dalam bahasa sendiri ketika sujud terakhir
-
Minta Allah berikan kekuatan dalam menempuhi hidup yang mencabar ini
Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda; “Berfirmanlah Allah Azzawajalla: ‘Aku berkuasa untuk melakukan apa yang hamba-Ku sangkakan terhadap-Ku. Dan Aku berserta dengannya ketika ia menyebut-Ku (berzikir kepada-Ku)’.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
5. Cari ‘Safe Space’ – Kawan, Kaunselor atau Support Group
Berbual dengan seseorang yang mendengar tanpa menghakimi boleh ubah segalanya. Jika mampu, dapatkan sesi terapi Islamik atau kaunselor bertauliah. Kadang-kadang kita hanya mahu meluah dan minta orang ‘pinjamkan’ telinga mereka sebentar untuk mendengar. Tidak perlupun untuk memberikan penyelesaian bagai.
Kadang, kita bukan “lemah”, tapi cuma terlalu lama kuat seorang diri.
6. Pilih Zikir Kecil Yang Konsisten
“Bukankah dengan zikrullah itu hati manusia akan menjadi tenang?” Allah menyatakan dalam surah ar-Rad bahawa berzikir, mengingati Allah hati manusia akan jadi lebih tenang dan terkawal. Bukan itu sahaja, fikirkan dan tindakan kita seolah terpandu dengan apa yang dizikirkan. Antara contoh zikir mudah yang boleh diamalkan:
-
Hasbunallahu wa ni’mal wakeel (saat rasa tak tahu nak buat apa)
-
Ya Hayyu Ya Qayyum birahmatika astaghith (untuk kekuatan dalam jiwa)
- Subhanallah Walhamdulillah Walailahaillawlah Allahu Akbar (memuji kebesaran Allah dan mengingatkan diri bahawa Allah Maha Hebat)
- Astaghfirullah (minta diampunkan dosa)
- Subhanallah hiwabihamdihi Subhanallah hil’azim (minta diampunkan dosa dan diberikan banyak kebaikan dan limpahan rezeki)
Amalkan perlahan tapi berterusan. Ada banyak zikir lain yang mudah anda boleh praktikkan. Dapatkan buku-buku doa ringkas, doa daripada hadis dan al-quran dan juga doa para ulama dalam mendekatkan diri kepada Allah.
7. Beri Diri Masa – Bukan Tarikh Tamat
Kesedihan tidak ikut jam atau jadual. Ia perlukan ruang, belas kasihan diri dan kesabaran. Anda boleh aje bersedih, menangis cuma sentiasa ingatkan diri agar tidak berlama-lamaan dalam perasaan ini. Ditakuti akan membuatkan hati mendengar bisikan syaitan yang tidak baik dan menjauhkan kita kepada Allah.
“Dan apabila aku sakit maka Dialah (Allah) yang menyembuhkan.” (Surah al-Syu’ara: 80)
Sedih akibat kehilangan, rasa lemah bila tidak berjaya mencapai sesuatu, sakit akibat menyalahkan takdir terlalu lama, penat dengan keadaan sekeliling, semuanya mampu menyumbang kepada kesedihan, prasangka negatif dan kecewa dalam jangkamasa yang lama. Untuk keluar dari kumpulan rasa tersebut anda perlu punya hasrat dan niat untuk kembali positif dan bersemangat. Meski nampak kecil percikan rasa tersebut, tapi itulah sebenarnya asas kepada kita untuk kembali pulih. Kembali bersemangat meneruskan hidup.
Jiwa kita perlu bangkit untuk melawan. Lakukannya untuk diri sendiri bukan untuk orang lain. Jika untuk orang lain sekalipun, pastikan ia tetap memberi kegembiraan buat diri kita. Ingat! Apa pun masalah, ujian dan cabaran, Allah telah tetapkan itu semua berlaku dan ia menjadi salah satu cara proses ‘penumbuhan’ kita. Tetapkan dalam diri bahawa rasa sedih dan ribut jiwa ini hanyalah sementara. InsyaAllah, pasti ada jalan yang Allah akan berikan buat kita dalam menghadapinya.
Jika anda ingin membina menyingkirkan rasa cemburu, prasangka negatif pada Allah, belajar bersangka baik dan menhargai, anda boleh dapatkan jurnal kesyukuran Pelengkap Kegembiraan di Ekspresi Syukur. Dalam masa 90 hari, perlahan-lahan tapi pasti, anda mampu mengubat tabiat negatif dalam diri kepada lebih menghargai, berterima kasih dan bersyukur dengan segala nikmat kurniaan Allah setiap hari ini.