Ujian menghadapi kematian ini buat mudah. Selesai urusan rumahtangga pagi tadi, buka wasap dan ternampak grup sekolah panjang dah ceritanya. Rupanya mereka mengkhabarkan akan pemergian seorang kawan lama kami sewaktu sekolah menengah dulu. Terkejut amat saya. Dua bulan sudah (Februari 2025), saya baru ziarah dia di HKL. Katanya dalam akhir Ramadhan atau bulan 5 nanti akan ada check-up susulan. Isterinya pun nampak happy bila suaminya dah boleh discharge petang nanti selepas berminggu di HKL.
Saya tak sempat nak berbual panjang atau bertanya khabar mereka lepas tu sebab keesokan harinya, suami saya pula yang dimasukkan ke hospital. Memang saya pun rasa kalut (agaknya itulah rasa dia juga bila suami didiagnos sakit teruk). Saya perasan, wife kawan saya ni ada waktu dalam 2 bulan kebelakangan ni, baca wasap status saya. Ialah, mungkin masa tu waktu dia berehat atau tengah lapang. Saya pun ingat mereka ok-ok ajelah lepas dah dapat rawatan di HKL dan rawatan susulan. Mungkin dapat kekang sel kanser yang dihidapi.
Rupanya, Allah lebih sayangkan dia. Harini ni, 29 April, dia telah dijemput Ilahi. Moga Allah ampuni dosanya dan arwah ditempatkan di kalangan hamba-Nya yang dirahmati. Bila sejak umur dah mencecah 4 series ni, berita kematian orang sekeliling sudah semakin kerap didengar. Allah ‘menjemput’ mereka dengan cara yang tidak disangka-sangka dan berbeza. Cuma kita yang tinggal ini kena persiapkan diri apa yang patut agar satu hari nanti, apabila kita sendiri dijemput Ilahi, ada sesuatu yang baik ditinggalkan di dunia dan juga ada saham akhirat yang dibawa.
Di sini saya kongsikan sedikit info untuk panduan kita bersama apabila menghadapi kematian sahabat atau orang yang kita kenall. Maklumat ini saya rujuk dari laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Moga bermanfaat.
Adab Islam dalam menghadapi kematian.
Pertama: Hakikat kematian.
الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا
Maksudnya: “Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa antara kamu yang lebih baik amalnya.” (Surah al-Mulk : 2)
Al-Qurtubi dalam tafsirnya al-Jami’ li Ahkam al-Quran berkata bahawa perkataan “kematian” didahulukan daripada perkataan “kehidupan” kerana kematian itu lebih dekat.
Boleh jadi juga kerana asal manusia daripada tiada kemudian diwujudkan. Begitu juga kerana matlamat sebenar manusia bukan hanya dibataskan di dunia sehaja tetapi ia akan di soal di hadapan Allah pada hari harta benda dan anak pinak tidak boleh memberi manfaat kecuali menghadap Allah dengan hati yang sejahtera.
Kedua: Menerima kematian dengan cara dan adab Islam
- Istirja’ ( Mengucapkan إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُوْنَ) apabila menerima berita kematian. Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Baqarah ayat 155 dan 156:
وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوفْ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الأَمَوَالِ وَالأنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ . الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُواْ إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ
Maksudnya: “Demi sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar – (Iatu) orang-orang yang apabila mereka di timpa oleh sesuatu musibah (kesusahan) mereka mengucapkan: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”.
Juga boleh memuji Allah (mengucapkan Alhamdulillah) kemudian istirja’. Ini berdasarkan hadith riwayat Ahmad, At-Tirmizi, Ibnu Hibban di mana Allah bertanya kepada Malaikat (dalam riwayat Ahmad: Malaikat Maut) yang mengambil nyawa anak kesayangan hambaNya:
مَاذَا قَالَ عَبْدِي فَيَقُوْلُوْنَ حَمِدَكَ وَاسْتَرْجَعَ
Maksudnya: Apa yang disebut oleh hambaKu. Maka jawab para Malaikat: Ia memujiMu dan istirja’.
Bersabar dalam menerima berita. Ini kerana menurut dalil ayat di atas, diberi pahala yang besar kepada orang yang bersabar.
Ketiga: Solat jenazah kepada si mati dan berdoa untuknya.
Pensyariatan solat jenazah berdasarkan hadith, daripada Abu Hurairah RA:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَعَى النَّجَاشِىَّ فِى الْيَوْمِ الَّذِى مَاتَ فِيهِ، فخَرَجَ إِلَى الْمُصَلَّى فَصَفَّ بِهِمْ وَكَبَّرَ أَرْبَعًا
Maksudnya: “Rasulullah SAW bersedih atas kematian al-Najasyi, lalu Baginda keluar ke tempat solat, berbaris bersama-sama sahabat dan bersolat sebanyak empat kali.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Antara doa yang diajar:
- Doa pertama
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَاعْفُ عَنْهُ وَعَافِهِ وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ وَوَسِّعْ مُدْخَلَهُ وَاغْسِلْهُ بِمَاءٍ وَثَلْجٍ وَبَرَدٍ وَنَقِّهِ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ الأَبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ وَأَهْلاً خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ وَأَدخِلْهُ الجَنَّةَ وَقِهِ فِتْنَةَ الْقَبْرِ وَعَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW telah melakukan solat jenazah, lalu aku mendengar Baginda berdoa. Ya Allah! Ampunilah dan rahmatilah dia, lepaskanlah dia daripada apa-apa yang tidak disukainya dan maafkanlah dia, muliakanlah keadaannya dan luaskan kuburnya. Mandikanlah dia dengan air, salji dan air yang dingin. Bersihkanlah dia daripada segala kesalahan sebagaimana dibersihkan baju yang putih daripada segala kekotoran. Gantikanlah rumahnya yang lebih baiki daripada rumahnya, keluarga yang lebih baik daripada keluarganya dan pasangan yang lebih baik daripada pasangannya. Masukkanlah dia ke dalam syurga dan peliharalah dia daripada fitnah kubur dan azab neraka. Auf berkata: Aku berharap biarlah aku menjadi mayat itu kerana doa Rasulullah SAW ke atas mayat tersebut.” (Riwayat Muslim)
- Doa kedua
اللَّهُمَّ لاَ تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلاَ تَفْتِنَّا بَعْدَهُ وَاغْفِرْ لَنَا وَلَهُ
Maksudnya: “Ya Allah! Janganlah Engkau tahan pahalanya daripada kami dan janganlah timbulkan fitnah kepada kami selepas kematiannya serta ampunilah kami dan dia.” (Riwayat Abu Daud)
Keempat: Larangan meratap
Diharamkan atas keluarga si mati meratap (menangis dengan suara yang kuat/meraung, mengoyak baju, menampar pipi, memukul badan, menarik rambut). Tegahan ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW:
اثْنَتَانِ فِي النَّاسِ هُمَا بِهِمْ كُفْرٌ الطَّعْنُ فِي النَّسَبِ وَالنِّيَاحَةُ عَلَى الْمَيِّتِ
Maksudnya: “Dua perkara pada manusia yang kedua-duanya adalah dari perbuatan orang kafir: mencela keturunan (seseorang) dan meratap atas mayat.” (Riwayat Muslim)
Keterangan: Dibolehkan menangis/mengalirkan air mata tanpa mengeluarkan suara sebagai tanda sedih atas kematian orang yang disayangi. Nabi Muhammad SAW sendiri mengalirkan air mata pada hari kematian anaknya Ibrahim sebagaimana di dalam hadith riwayat Al-Bukhari, Muslim dan lain-lain.
Bahkan dalam hadith yang lain Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ المَيِّتَ لَيُعَذَّبُ بِبُكَاءِ أَهْلِهِ عَلَيْهِ
Maksudnya: “Sesungguhnya mayat diazab dengan tangisan keluarganya terhadapnya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Mengikut Imam al-Nawawi, hadith ini diberi beberapa takwilan antaranya:
- Ia ditanggung dengan maksud jika si mati mewasiatkan kepada keluarga dan yang hidup untuk meratap dan meraung atas kematiannya.
- Ia memberi maksud kaum keluarga menangis pada tahap ratapan
- Ia bermaksud ia diazab dengan sebab memperdengarkan tangisan keluarganya untuk menjadikan hati mereka mengasihani berlebihan. Inilah pendapat Ibn Jarir al-Tabari. Hal ini juga dipilih oleh al-Qadhi ‘Iyadh.
Kelima: Larangan mengandaikan kematian dengan terjadinya sesuatu perkara
Hal ini pernah berlaku pada zaman Nabi SAW apabila puteranya Ibrahim meninggal dunia dan berlaku gerhana maka Rasulullah SAW membetulkan hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW:
إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ آيَتَانِ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ وَإِنَّهُمَا لاَ يَنْكَسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلاَ لِحَيَاتِهِ فَإِذَا رَأَيْتُمْ ذَلِكَ فَصَلُّوا وَادْعُوْا حَتَّى يَنْكَشِفَ مَا بِكُم
Maksudnya: “Matahari dan bulan adalah dua daripada tanda keagungan Allah. Gerhana kedua-duanya berlaku bukan disebabkan mati atau hidup seseorang. Apabila mengetahui gerhana berlaku kamu hendaklah bersolat dan berdoa sehingga cahaya kelihatan semula.” (Riwayat Muslim)
Keenam: Adab pujian kepada si mati
Maksudnya, hendaklah berkata baik kepada si mati dan bukan mengungkitkan perkara yang tidak baik. Ini berdasarkan hadith Ummu Salamah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ الرُّوحَ إِذَا قُبِضَ تَبِعَهُ الْبَصَرُ فَضَجَّ نَاسٌ مِنْ أَهْلِهِ فَقَالَ لَا تَدْعُوا عَلَى أَنْفُسِكُمْ إِلَّا بِخَيْرٍ فَإِنَّ الْمَلَائِكَةَ يُؤَمِّنُونَ عَلَى مَا تَقُولُونَ ثُمَّ قَالَ اللهُمَّ اغْفِرْ لِأَبِي سَلَمَةَ وَارْفَعْ دَرَجَتَهُ فِي الْمَهْدِيِّينَ
Maksudnya: “Sesungguhnya roh apabila diambil nescaya penglihatan mengikutnya. Ketika itu orang ramai di kalangan ahlinya riuh rendah lantas sabda Baginda SAW: ‘Jangan kamu doa atas diri kamu kecuali yang baik. Ini kerana para malaikat mengaminkan apa yang kamu kata. Kemudian Baginda berdoa : ‘Ya Allah, ampunkan bagi Abi Salamah, angkatlah darjatnya di kalangan orang yang mendapat petunjuk…” (Riwayat Muslim)
Begitu juga menyebut kebaikan si mati dengan perkara yang kita ketahui sahaja seperti ramainya jemaah yang mengiringi si mati. Tidak sewajarnya kita menyebut berkenaan perkara ghaib seperti ramai para malaikat mengiringi si mati kerana tidak diketahui kecuali Allah SWT dan apa yang diwahyukan kepada Rasul-Nya SAW semata-mata.
Ketujuh: Cara Islam menyanjung orang yang mulia.
Betapapun tingginya kedudukan orang tersebut, baik mereka yang masih hidup ataupun yang sudah mati. Rasulullah SAW pernah bersabda:
لاَ تُطْرُونِي، كَمَا أَطْرَتْ النَّصَارَى ابْنَ مَرْيَمَ، فَإِنَّمَا أَنَا عَبْدُهُ، فَقُولُوا عَبْدُ اللَّهِ، وَرَسُولُهُ
Maksudnya: “Jangan kamu melampau dalam menghormatiku seperti orang Nasrani menghormati Isa bin Maryam, tetapi sesungguhnya aku adalah hamba-Nya dan katakanlah hamba Allah dan Rasul-Nya.” (Riwayat Bukhari)
Mereka bermaksud akan berdiri apabila melihat Nabi, sebagai suatu penghormatan kepadanya dan untuk mengagungkan kedudukannya. Cara seperti itu dilarang oleh Nabi dengan sabdanya:
لَا تَقُومُوا كَمَا تَقُومُ الْأَعَاجِمُ، يُعَظِّمُ بَعْضُهَا بَعْضًا
Maksudnya: “Jangan kamu berdiri seperti orang-orang ajam (selain Arab) yang berdiri untuk menghormat satu sama lain.” (Riwayat Abu Daud)
Kelapan: Amalan yang boleh dilakukan sebagai sumbangan orang yang masih hidup kepada si mati.
Antaranya adalah
- Doa dan istighfar. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَالَّذِينَ جَاءُوا مِن بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan Rahmat-Mu.” (Surah al-Hasyr: 10)
- Ini berdasarkan banyak riwayat dan hadith antaranya riwayat Bukhari (1388) dan Muslim (1004) daripada Aisyah bahawa Sa’d bin Ubadah pernah bertanya: Hai Rasulullah. Sesungguhnya ibuku telah mati mengejut dan tidak sempat wasiat. Apakah baginya pahala jika aku sedekah untuknya? Jawab Baginda SAW, “Ya.”
- Haji dan umrah. Berdasarkan hadith yang sahih riwayat Bukhari (1852). Antara lain kata Baginda SAW, “Ya. Hajilah untuk ibumu.”
- Daripada Aishah RA bahawa Nabi SAW bersabda
مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامٌ صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ
Maksudnya: “Siapa yang mati sedangkan ada baginya puasa qadha’ maka hendaklah walinya berpuasa bagi pihaknya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Kesembilan: Ziarah kubur
- Disunatkan memberi salam kepada ahli kubur, mendoakan mereka agar mendapatkan rahmat, ampunan dan afiyah (kekuatan). Di antara doa dianjurkan untuk dibaca adalah:
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ أَهْلَ الدِّيَارِ مِنَ الْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُسْلِمِيْنَ، وَإِنَّا إِنْ شَاءَاللهُ بِكُمْ لاَحِقُوْنَ وَيَرْحَمُ اللهُ الْمُسْتَقْدِمِيْنَ مِنَّا وَالْمُسْتَأْخِرِيْنَ أَسْأَلُ اللهَ لَنَا وَلَكُمُ الْعَافِيَةَ.
Maksudnya: “Semoga kesejahteraan untukmu, wahai penghuni kubur dari kaum mukminin dan muslimin. Sesungguhnya kami Insya Allah akan menyusul, ( semoga Allah Ta’ala memberikan rahmat kepada orang-orang yang (telah meninggal) terlebih dahulu diantara kami dan orang-orang yang akan datang.” (Riwayat Muslim)
- Membaca al-Qur’an kepada si mati. Walaupun masalah ini khilaf di kalangan ulama tetapi kami cenderung kepada pendapat yang mengharuskan berdasarkan dalil-dalil yang dikemukakan oleh ulama’. Antara yang menyokong pendapat ini seperti Ibn Qudamah al-Maqdisi dan juga ulama-ulama yang lain.
Menghadapi kematian bukan sesuatu yang mudah dan boleh diambil ringan. Moga ahli keluarga yang ditinggalkan dikurniakan Allah kekuatan fizikal, emosi dan mental. Moga Allah bantu mereka jalani hidup dengan baik dan dalam rahmat Allah. Beban emosi pasti sangat terasa berat, moga hari-hari yang mendatang dapat menyembuhkan kepedihan pada hari ini. Salam takziah buat keluarga Ahmad Noriddin dan Puan Amy.