12 alasan utama kenapa orang mula perlahan atau berhenti separuh jalan bila menjurnal (journaling)

Ada terbaca beberapa post lately di threads tentang individu yang pada awalnya bersemangat menjurnal, Beli macam-macam aksesori, simpan macam-macam kertas dan plastik serta beli jurnal kulit yang mahal. End up katanya, dia jurnal tak selawa orang di IG atau TT, dia takde masa dan rasa jiwanya tak ngam dengan genre jurnal tu. Saya faham situasi tu. Ada sesetengah orang menjurnal sebab dia rasa FOMO (Fear of Missing Out). Dia menjurnal sebab orang keliling bercerita dan ikut trend. Dia pun cuba. Tak salah mencuba cuma tolong jangan bazirkan wang banyak sangat. Menjurnal ni asalnya cukuplah hanya buku dan pen 2-3 batang. Kita tulis apa kita nak, kita lukis apa kita suka, kita catat apa yang gembirakan hati kita. Selebihnya bergantung kepada kreativiti untuk menghias atau mencantikkan jurnal.

Bila saya lihat mereka yang teruja untuk menjurnal dan minta pendapat orang yang dah menjurnal di medsos, saya berharap mereka ini dapat konsisten menjurnal genre yang mereka suka. Itu sebab ada ketika, bila saya komen, saya akan kongsikan link artikel Jenis-jenis jurnal yang anda boleh tulis yang sesuai dengan jiwa agar mereka ada guideline jurnal yang bagaimana mereka mahu cipta.

Dan bila saya perhatikan dan amati, saya dapat rangkumkan beberapa alasan kenapa orang mula perlahan atau berhenti separuh jalan bila menjurnal. Bukan mereka benci atau tak suka tetapi ini antara penyebab minat mereka setakat itu sahaja atau perlu ditukar kepada genre jurnal yang lain.

12 Alasan utama kenapa orang mula perlahan atau berhenti separuh jalan bila menjurnal (journaling).

  1. Terlalu bersemangat pada awal – Ramai bermula dengan sasaran yang terlalu tinggi seperti menulis setiap hari selama 20 minit, junk journal mesti lawa macam kat dalam video di IG atau TT, kena beli aksesori yang up-to-date dan nak ikut trend. Apabila rutin atau cara itu rasa sukar dikekalkan dan ambil masa serta wang yang banyak, perlahan-lahan mereka mula rasa down dan berhenti.
  2. Sibuk dengan komitmen harian – Kita disibukkan dengan kerja, anak, pasangan, ibu bapa, jalan sesak, kucing sakit, dan urusan rumahtangga yang lain. Dan ayat yang sering keluar bila tak sempat menjurnal adalah ‘Saya sibuk’, ‘Saya takde masa’, ‘Tak sempat nak menulis’ dan ‘nantilah saya tulis semuanya hujung minggu nanti’. Ini membuatkan journaling sentiasa tertangguh.
  3. Mahu hasil yang cantik – Bila kita lihat video atau gambar jurnal orang lain di medsos, kita teruja nak buat jurnal kita macam mereka. Kita berusaha cari aksesori atau barangan yang hampir sama seperti mereka. Akhirnya, bila sampai satu tahap kita mengejar kesempurnaan yang nampak cantik di mata, kita jadi lelah. Kita rasa down sebab jurnal kita tak lawa. Selalunya perkara ni terjadi untuk mereka yang buat junk journal, travel journal atau bullet journal.
  4. Menunggu mood datang – Mereka percaya suasana tenang, sunyi, gembira mampu bangkitkan mood untuk menulis atau beri inspirasi. Hakikatnya, mood tidak datang setiap hari. Bila menulis jurnal syukur, waktu sedih pun kita boleh tulis sebab kita berusaha mencari nikmat Allah dalam kesedihan yang Dia berikan. Orang yang konsisten biasanya menulis walaupun sekadar dua atau tiga ayat.
  5. Rasa tiada apa hendak ditulis hari itu – Ramai menyangka setiap hari kena menulis benda yang berbeza. Jawapan saya tidak. Kita boleh aje tulis setiap awal pagi, ‘Alhamdulillah aku masih hidup dan badan boleh bergerak’ atau ‘rezeki harini bila suami belikan sarapan nasi lemak’. Benda -benda ini nampak simple tapi bayangkan jika nikmat tu dah tiada. Kita akan sangat-sangat menghargainya.
  6. Tidak nampak perubahan yang diharapkan dengan cepat – Menulis jurnal mesti ada sebab atau target. Sebagai contoh, target utama saya bila menulis jurnal syukur adalah untuk lari dari rasa cemburu bila lihat kelebihan atau kebahagiaan orang lain yang saya tiada. Saya belajar bersyukur akan nikmat yang Allah kurniakan. Pada masa yang sama, Allah ajar saya untuk berlapang dada dan bersangka baik kepada Dia. Dan target ini Alhamdulillah saya capai dalam 80% bila konsisten menulis dalam masa 6 tahun ini.
  7. Takut orang lain membaca – Sesetengah orang menulis perkara yang sangat peribadi.
    Mereka risau pasangan atau ibu bapa membacanya, risau anak-anak terbaca atau ada ahki keluarga lain melihat isinya lalu memperlekehkan inisiatif atau minatnya (saya pernah kena dulu bab perlecehan ni). Maka, jalan terakhir, mereka memilih untuk tidak meneruskan aktiviti merekod dan menulis.
  8. Terlalu banyak peraturan yang dicipta sendiri – Contoh paling ketara bila menjurnal adalah meletakkan had masa atau barangan yang perlu ada ketika menulis. Bila kita tak dapat beri komitmen, kita stres. Maka, bila tak nak stres, kita tak nak tulis dah.
  9. Sibuk mengumpul alatan atau aksesori – Bab ni rasanya ramai orang terjerumus. Bila tengok jurnal orang happening, kita pun nak jadi macam tu juga. Kita sibuk memberi washi tape, beratus-ratus sticker, berpuluh pen, punch, gam, glitters dan pelbagai lagi aksesori kraf yang lain. Bila dah beli dan kumpul, kita pun tak tahu nak mula bagaimana. Fenomena ini biasa dipanggil “collecting instead of creating.”
  10. Kehilangan tujuan asal – Selalu pada awalnya orang menulis jurnal mesti ada tujuan atau target tertentu. Sebagai contoh mungkin untuk kenang-kenangan, urus emosi, lawan ketakutan, belajar bersyukur dan jauhi cemburu, merekod perjalanan kesihatan diri, namun, selepas beberapa minggu, sebab utama dilupakan. Jadinya, tanpa tujuan yang jelas dan semanagt yang kuat, motivasi mudah pudar.
  11. Hidup menjadi terlalu emosional – Ironinya, ketika seseorang paling memerlukan journaling, ketika itulah mereka paling sukar untuk menulis. Antara alasannya ialah terlalu sedih, takde mood, terlalu letih, tengah marah, terlalu fikir bukan-bukan dan fikiran bercelaru. Waktu-waktu kita rasa memang tak mampu nak tulis atau journaling, hentikan sehari dua. Bagi emosi sedikit stabil, kita sambung balik menjurnal lepas tu.
  12. Menganggap terlepas satu hari menulis atau menjurnal, ia bermaksud gagal – Ini antara sebab paling besar selepas tidak menulis 3 hari, seminggu, dua minggu atau sebulan. Mereka akan kata pada diri, “Dah tertinggal banyak. Tak payahlah sambung.”
    Journaling sebenarnya bukanlah pertandingan. Kita boleh aje terus menulis bila-bila masa tanpa perlu mengejar hari yang tertinggal.

Cuba untuk konsisten. Tulis sebaris ayat pun takpe. As long kita rakam kenangan hari itu sedikit.

Sebenarnya, kebanyakan orang bukan tidak pandai menulis atau mendekorasi jurnal, tetapi mereka cuba menjadi sempurna seperti yang diimpikan. 

Journaling yang memberi manfaat bukanlah jurnal yang penuh dengan hiasan atau ditulis setiap hari tanpa gagal. Sebaliknya, jurnal yang benar-benar membantu ialah jurnal yang terus dibuka walaupun hanya lima minit, walaupun hanya beberapa baris ayat ditulis, dan walaupun kehidupan sedang sibuk dan sedikit menekan.

Konsisten yang kecil jauh lebih bernilai. Sedikit demi sedikit, amalan menjurnal ini dapat menjadi ruang untuk mengenali diri, mengurus emosi, membuang sifat negatif dalaman, menghargai kehidupan, dan membina ketenangan. Dan untuk anda yang semestinya mengejar masa dan malas hendak men’decorate’ jurnal tapi masih mahu merekod kebahagiaan hidup dan mensyukuri nikmatNya, boleh dapatkan jurnal syukur Pelengkap Kegembiraan. Jurnal ini sudah siap ruangnya, warnanya, kata-kata semangatnya juga cara untuk kekal fokus agar matlamat untuk perbaiki diri dan menjadi lebih baik tercapai.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *