
“Tak sempat. Saya sibuk.”
Itulah jawapan yang sering saya dengar dan diberi oleh kebanyakan wanita apabila mencadangkan aktiviti journaling kepada mereka. Antara menguruskan keluarga, kerjaya, ibu bapa yang semakin berusia, urusan rumah tangga dan pelbagai tanggungjawab lain, menulis jurnal sering dianggap sebagai satu aktiviti tambahan yang sukar dilakukan. Seolah seperti menambah komitmen yang tak perlu.
Namun persoalannya, adakah journaling benar-benar mustahil untuk wanita yang sibuk? Atau sebenarnya kita mempunyai tanggapan yang salah tentang apa itu journaling?
Mitos: Journaling Perlu Ambil Masa Lama
Ramai membayangkan journaling sebagai aktiviti menulis berhelai-helai muka surat setiap hari. Hakikatnya, journaling tidak semestinya begitu. Yang tulis berhelai-helai tu adalah kertas kerja bukan journaling.
Kajian dalam bidang psikologi mendapati bahawa menulis secara ringkas tentang pengalaman, emosi atau perkara yang disyukuri dapat memberi kesan positif kepada kesejahteraan mental. Malah, hanya beberapa minit sehari sudah memadai untuk membantu seseorang lebih sedar tentang keadaan dirinya. Dalam pada sedang menulis, dia pasti teringatkan banyak perkara baik yang berlaku pada diri berbanding hanya mengingat tanpa mencatat.
Journaling bukan pertandingan menulis. Ia adalah ruang peribadi untuk mengenali diri sendiri.
Wanita Sibuk Sebenarnya Lebih Memerlukannya
Ironinya, golongan yang paling merasakan mereka “tidak mempunyai masa” sering kali merupakan golongan yang paling memerlukan ruang refleksi. Wanita berusia 35 tahun ke atas biasanya memikul pelbagai peranan dalam satu masa. Mereka mungkin seorang isteri, ibu, pekerja, anak kepada ibu bapa yang semakin tua dan individu yang masih mempunyai impian sendiri. Apabila terlalu sibuk memenuhi keperluan orang lain, seseorang boleh terlupa untuk mendengar suara hatinya sendiri.
Journaling sebenarnya membantu menyediakan ruang kecil buat diri untuk bertanya:
- Apa yang saya rasa hari ini?
- Apa yang saya pelajari hari ini?
- Apa perkara baik yang berlaku hari ini?
- Apa yang buat saya tersenyum?
- Apa yang boleh saya syukuri?
Soalan-soalan mudah ini membantu diri kita untuk berhenti seketika daripada kesibukan harian dan memberi perhatian kepada diri sendiri. Khusus untuk diri sendiri dan bukan orang lain. Dan itulah yang saya rasa sepanjang menulis jurnal syukur. Saya memakai ‘banyak topi’ bila bangun dari tidur. Sayalah suri rumah, sayalah penjaga kucing, sayalah owner syarikat, sayalah penulis artikel, saya juga chef di dapur dan saya juga caregiver untuk ibubapa di rumah. Pendek kata, urusan tu sentiasa penuh jadualnya.
Jadi, bila tiba waktu menulis jurnal, saya memang akan luangkan masa 5-10 minit untuk fokus. Saya berusaha ingatkan kembali perkara baik Allah beri dalam 18 jam berjaga, momen indah buat saya senyum atau ketawa atau pelajaran baru yang diterima hari ini. Mengingati benda baik ini akan buat kita abaikan benda negatif yang ganggu sebelumnya.
Tidak Perlu Menulis Sempurna
Satu lagi sebab ramai wanita mengelakkan journaling ialah mereka merasakan tulisan mereka perlu cantik atau ayat mereka perlu sempurna dan tersusun. Tidak. Sebenarnya jurnal bukan untuk dinilai oleh orang lain. Tiada markah diberikan untuk tulisan paling kemas. Tiada siapa yang akan menilai tatabahasa atau ejaan kita. Kita sendiri yang buat tanda aras yang salah jika merasakan menjurnal perlu sempurna.
Untuk anda yang nak mula menulis jurnal, anda boleh mulakan dengan menulis dalam bentuk:
- Senarai ringkas
- Catatan pendek
- Perkataan tunggal
- Lukisan kecil
- Doodle atau karikatur
- Senarai kesyukuran
Yang penting ialah proses meluahkan dan merekodkan pemikiran dan kenangan, bukan menghasilkan karya yang hebat. Saya sendiri tidak mempunya tulisan yang cantik tapi as long saya faham apa yang ditulis, itu sudah cukup.

Lihat sahaja hasil jurnal saya dengan tulisan yang kadang-kadang elok, kadang-kadang laju semacam.
5 Minit Pun Sudah Memadai
Ramai wanita gagal memulakan journaling kerana menetapkan sasaran waktu yang terlalu besar. Mereka berusaha untuk menulis 30 minit setiap hari. Apabila berasa tidak mampu untuk beri komitmen, mereka terus berhenti. Cara ini tidak berapa betul.
Pendekatan yang lebih realistik ialah bermula dengan 5 ke 10 minit sehari. Tak perlu panjang. Kita ada banyak perkara lain yang perlu juga diberikan perhatian. Jadinya, tulis seringkas boleh momen best yang berlaku haritu (jika tulis diari, mungkin masanya boleh panjangkan sikit ke 15 minit). Jika anda ingin menulis, sebelum tidur, anda boleh tulis:
- Tiga perkara yang disyukuri hari ini.
- Satu perkara yang dipelajari hari ini.
- Satu perkara yang ingin diperbaiki esok.
Catatan sebegini hanya mengambil masa beberapa minit tetapi boleh membantu menyusun emosi dan fikiran sebelum tidur. Dan jika ada yang selesa untuk menulis pada waktu pagi, silakan. As long anda menulis, itu sudah cukup.
Manfaat Kecil yang Bertambah Besar
Kesan journaling mungkin tidak dirasai dalam sehari dua atau seminggu. Namun apabila dilakukan secara konsisten dan seeloknya 66 hari, anda akan dapati beberapa kebaikan dan vibes positif muncul dalam diri. Antara kebaikan yang boleh dirasai bila konsisten menjurnal:
- Lebih tenang menghadapi tekanan.
- Lebih mudah mengenal pasti emosi sendiri.
- Kurang memendam perasaan.
- Lebih menghargai perkara kecil dalam hidup.
- Lebih bersangka baik pada Tuhan
- Dapat elakkan rasa cemburu atau sakit hati melampau
- Lebih jelas tentang matlamat dan keutamaan diri.
Catatan yang ditulis selalunya menjadi rekod perjalanan hidup. Apabila dibaca semula beberapa bulan atau tahun kemudian, kita dapat melihat sejauh mana kita telah berkembang dan memperbaiki kelemahan diri.
Realistik Jika Kita Mengubah Cara Berfikir
Mungkin masalah sebenar bukan kekurangan masa. Mungkin kita terlalu lama mempercayai bahawa penjagaan diri perlu mengambil masa yang banyak dan mana mungkin menulis hanya 5 minit dan boleh buat diri kita tenang.
Hakikatnya, lima minit yang digunakan untuk menulis boleh menjadi hadiah kecil kepada diri sendiri selepas seharian memenuhi keperluan orang lain. Kita dapat merasai ada banyak nikmat Allah berikan kepada diri sendiri dalam pada kita memudahkan urusan kerja seharian.
Journaling untuk wanita sibuk bukanlah sesuatu yang mustahil. Ia menjadi mustahil hanya apabila kita menunggu masa yang sempurna untuk bermula. Ia menjadi realistik apabila kita menerima bahawa beberapa baris tulisan dan ayat setiap hari sudah cukup memberi ruang kepada hati, fikiran dan emosi untuk bernafas. Tidak perlu menunggu kehidupan menjadi kurang sibuk. Untuk anda yang ingin cuba menulis ringkas setiap hari perkara baik yang berlaku dalam hidup, anda boleh cuba dapatkan Jurnal Pelengkap Kegembiraan. Di dalam jurnal ini telah disediakan ruang untuk menulis perkara baik, pelajaran yang diterima dan harapan yang ingin dibina pada masa hadapan. Bukan itu sahaja, ada beberapa aktiviti menarik turut disediakan untuk penjurnal seperti doa ringkas, aktiviti bila stres, buku yang sesuai dibaca untuk motivasikan diri juga mutiara kata untuk peringatan diri. Layari web EkspresiSyukur dan dapatkan juga free giftnya.
Mulakan dengan satu muka surat, tiga baris ayat dan nyatakan apa yang disyukuri dan dihargai hari ini.

