
Pernahkah anda membuka media sosial lalu melihat halaman jurnal yang penuh dengan tulisan kemas, pelekat cantik, washi tape berwarna-warni dan lukisan yang begitu sempurna? Anda rasa terkagum sebentar. Kemudian anda melihat pula jurnal sendiri. Tulisan senget dan kadang-kadang tak boleh dibaca, doodle tak berapa nak jadi, ada yang dipadam, ada yang ditulis ketika menangis hingga nampak kesan air mata di tulisan, sticker pun satu sahaja malah ada halaman yang hanya mempunyai tiga baris ayat.
Lalu timbul satu soalan.
“Adakah jurnal saya tidak cukup baik banding yang ada di media sosial ni?”
Jawapannya mudah.
Jurnal yang paling berharga bukanlah jurnal yang paling cantik, tetapi jurnal yang paling jujur pada pemiliknya.
Jurnal cantik VS Jurnal jujur, apa bezanya?
Jurnal Cantik Itu Menyenangkan Mata
Tidak salah menghias jurnal. Hiaslah. Malah dengan menghias juga boleh menjadi terapi yang menenangkan kepada pemilik jurnal juga divert sebentar masalah yang dihadapi. Memilih warna kegemaran, menampal kertas yang pelbagai corak, melekatkan pelekat comel atau melukis bunga kecil mampu memberi rasa seronok untuk membuka jurnal setiap hari.
Bagi sesetengah orang, jurnal yang cantik menjadi motivasi untuk terus menulis. Ia menjadikan proses journaling lebih menyeronokkan dan lebih peribadi. Jika itu mampu membuatkan anda lebih kerap menulis, teruskan. Namun ada satu perkara yang perlu diingat.
Jangan biarkan kecantikan menjadi penghalang untuk menulis dan merekod kenangan.
Jurnal Jujur Menyembuhkan Hati
Tujuan utama journaling bukan untuk dipamerkan. Tujuannya adalah untuk memberi ruang kepada hati bercakap, meluah, menghargai dan merekod kenangan indah.
Kadang-kadang kita tidak perlukan ayat yang indah. Kita hanya perlukan keberanian untuk menulis:
“Hari ini saya penat.”
“Saya rasa sedikit stres.”
“Saya masih cuba belajar memaafkan diri.”
“Hari ini saya bersyukur kerana masih mampu bangun dan meneruskan hidup.”
Ayat-ayat yang ringkas seperti ini mungkin tidak kelihatan cantik. Terlalu pendek dan kelihatan biasa-biasa. Tetapi ianya sangat bernilai di mata dan hati mereka yang menulis. Sebenarnya, apabila kita sedang menulis dengan jujur, meluah apa yang terbuku, mensyukuri apa yang dimiliki, kita sedang membantu otak kita memproses emosi, mengenal pasti apa yang berlaku dalam diri dan mengurangkan beban yang terpendam. Kita cuba berlaku jujur pada diri sendiri.
Untuk Anda Yang Baru Bermula Hendak Menjurnal
Ramai wanita berhenti menjurnal selepas beberapa hari kerana mereka merasakan dan beranggapan setiap halaman mesti cantik. Mesti seperti dalam Instagram, Tiktok mahupun Pinterest. Mereka membeli banyak alat tulis. Mereka menunggu idea. Bukan itu sahaja, mereka cuba untuk mendapatkan tulisan yang kemas seperti yang terpamer di media sosial. Akhirnya jurnal itu hanya disimpan di rak.
Menulis jurnal sebenarnya tidaklah lama. Hanya perlu lima ke tujuh minit dan sehelai halaman bersama dengan sebatang pen. Menjurnal tidak perlu sempurna. Mulakan dengan satu soalan sahaja.
“Apakah satu perkara yang saya syukuri dan hargai hari ini?”
Jawablah dengan jujur dan itu sudah mencukupi. Dan selebihnya, mungkin anda boleh teruskan atau menambah baris kedua untuk soalan yang ditanya.

Jurnal cantik vs Jurnal jujur, mana pilihan hati?
Untuk Yang Sedang Menjurnal
Jika anda sudah mula menulis dalam masa 2 bulan, tahniah diucapkan. Kini cabarannya bukan lagi untuk bermula, tetapi untuk kekal konsisten.
Ada hari yang penuh inspirasi. Ada juga hari yang kosong atau down. Dan pada hari-hari seperti inilah jurnal jujur lebih penting daripada jurnal cantik. Ini kerana kita tidak boleh maintain emosi dan masa untuk pastikan jurnal sentiasa cantik. Kita cuma berusaha pastikan akan jurnal kita tercatat perjalanan kisah hidup kita dan apa yang berlaku.
Jika hari itu anda hanya mampu menulis satu ayat, tulislah satu ayat. Jika hanya mampu menulis dua baris, itu juga sudah bagus. Sedikit tetapi berterusan lebih memberi kesan pada diri berbanding menunggu masa yang “sempurna” tapi tidak bermula.
Untuk Yang Ingin Kekal Konsisten Menulis Jurnal
Semakin lama anda menjurnal, anda akan sedar bahawa jurnal bukan lagi sekadar buku. Ia menjadi teman yang akrab. Ia menjadi saksi kepada perjalanan hidup sepanjang tahun.
Dari sini, anda akan dapat melihat bagaimana anda berubah daripada seorang yang mudah marah kepada lebih tenang. Daripada sering mengeluh kepada lebih mudah bersyukur. Daripada sentiasa menyalahkan diri kepada lebih menerima diri sendiri.
Semua perubahan ini tidak datang kerana halaman yang cantik. Ia datang kerana anda yang menjurnal berani menulis dengan jujur setiap hari.
Cantik dan Jujur Sebenarnya Boleh Berjalan Seiring
Hakikatnya, jurnal cantik vs jurnal jujur tidak perlu dipertandingkan. Jika anda suka menghias, teruskan menghias. Jika anda suka melukis, teruskan melukis. Jika anda suka menulis sahaja, silakan.
Tetapi pastikan setiap hiasan tidak menutup suara hati anda. Biarlah pelekat menghiasi halaman. Biarlah warna mencantikkan buku. Biarlah kertas bertampal dengan cerianya. Namun biarlah kejujuran luahan hati dan rasa bersyukur memenuhi setiap mukasurat jurnal. Ini kerana suatu hari nanti, apabila anda membuka semula jurnal itu, anda mungkin tidak lagi mengingati pelekat yang digunakan. Tetapi anda akan mengingati bagaimana anda berjaya melalui hari-hari yang sukar saat menulis jurnal itu.
Dan itulah nilai sebenar sebuah jurnal.
Jangan tunggu tulisan menjadi cantik untuk mula menulis. Jangan tunggu muncul idea yang hebat untuk membuka jurnal. Jangan tunggu hidup menjadi sempurna untuk bersyukur. Mulakan dengan apa yang ada hari ini. Kerana jurnal yang paling indah bukanlah jurnal yang dipenuhi hiasan semata-mata (kecuali jurnal junk).
Jurnal yang paling indah ialah jurnal yang dipenuhi tulisan hati meluahkan kesyukuran, penghargaan, kekuatan, kejujuran, dan kisah sebenar perjalanan hati yang dilalui pada hari-hari yang dilalui.
Mungkin halaman pertama tidak sempurna. Mungkin juga halaman kedua dan ketiga tidak seberapa. Tetapi halaman yang ditulis dengan ikhlas mampu menjadi titik permulaan kepada hati yang lebih tenang, lebih kuat dan lebih bahagia dan jauh dari kebimbangan. Jurnal cantik vs jurnal jujur, pilihannya di tangan anda.

