
“Bilakah waktu terbaik untuk menulis jurnal, sebelum tidur atau waktu pagi?”
Soalan ini sering ditanya oleh mereka yang baru ingin memulakan amalan journaling. Ada yang percaya menulis sebelum tidur membantu tidur lebih lena. Ada pula yang mengatakan menulis pada waktu pagi menjadikan hati lebih tenang dan fokus sepanjang hari.
Hakikatnya, kedua-duanya mempunyai kelebihan tersendiri. Tiada jawapan yang betul atau salah kerana setiap individu mempunyai rutin hidup, emosi dan keperluan yang berbeza. Yang lebih penting ialah memilih waktu yang paling sesuai dengan diri sendiri supaya amalan menulis dapat dilakukan secara konsisten.
Journaling Sebelum Tidur: Melepaskan Beban Emosi
Selepas seharian bekerja, mengurus keluarga dan menghadapi pelbagai cabaran, fikiran kita sering dipenuhi dengan perkara yang belum selesai. Ada yang masih memikirkan masalah di tempat kerja, ada yang risau tentang kewangan, dan ada juga yang memikirkan kesihatan atau anak-anak.
Apabila semua perkara ini dibawa ke atas katil, otak menjadi sukar untuk berehat.
Menulis jurnal sebelum tidur boleh menjadi ruang untuk “mengosongkan” fikiran. Anda tidak perlu menulis panjang. Cukup luahkan apa yang bermain di fikiran, perkara yang disyukuri hari ini dan harapan untuk esok.
Kajian dalam bidang psikologi menunjukkan bahawa menulis secara reflektif membantu mengurangkan tekanan emosi serta membantu seseorang memproses pengalaman yang dilalui. Apabila emosi lebih teratur, badan juga lebih bersedia untuk berehat.
Ramai juga mendapati bahawa mereka tidur dengan lebih tenang apabila menutup hari dengan tiga perkara yang mereka syukuri. Amalan kecil ini mengalihkan perhatian daripada masalah kepada nikmat yang masih dimiliki.
Antara perkara yang boleh ditulis sebelum tidur ialah:
- Tiga perkara yang anda syukuri hari ini.
- Cabaran yang berjaya dilalui.
- Emosi yang ingin dilepaskan.
- Ilmu baru yang diperolehi hari ini.
- Doa dan harapan untuk hari esok.
Walaupun hanya mengambil masa lima minit, ia membantu menamatkan hari dengan lebih tenang dengan kelegaan.
Journaling Waktu Pagi: Memulakan Hari Dengan Hati Yang Jelas
Jika waktu malam sesuai untuk melepaskan beban, waktu pagi pula sesuai untuk membina arah tuju dan lebih fokus.
Pada waktu pagi, fikiran biasanya masih segar dan belum dibebani dengan pelbagai tugasan harian. Menulis jurnal ketika ini membantu menyusun keutamaan, menetapkan niat serta memberi ruang kepada diri sebelum dunia mula menjadi sibuk. Jika ada masa ekstra, boleh dekorasi jurnal ikut keinginan sendiri atau tajuk yang menggembirakan.
Anda boleh menulis tentang matlamat hari ini, perkara yang ingin diselesaikan atau sekadar berkongsi bagaimana perasaan anda sebaik bangun tidur. Jika anda tak sempat journaling kenangan hari semalam, boleh tulis pada awal pagi. Fikiran lebih ‘terang’.
Ramai yang mengamalkan “morning journaling” kerana ia membantu meningkatkan fokus dan kesedaran diri. Apabila hati lebih tenang sejak awal pagi, kita cenderung memberi respons yang lebih baik terhadap tekanan sepanjang hari.
Bagi mereka yang sering berasa tergesa-gesa, lima minit bersama jurnal boleh menjadi hadiah kecil kepada diri sendiri sebelum memulakan rutin. Pilihan waktu menulis terpulang pada anda.

Jadi, Mana Satu Lebih Baik?
Jawapannya bergantung kepada keperluan anda.
Jika anda sering sukar tidur kerana terlalu banyak berfikir, cuba jadikan journaling sebelum tidur sebagai rutin harian. Jika anda selalu bangun dalam keadaan keliru, tidak bermotivasi atau sukar fokus, cuba menulis pada waktu pagi.
Ada juga individu yang menggabungkan kedua-duanya. Pada waktu pagi mereka menulis niat, sasaran dan doa. Pada waktu malam pula mereka membuat refleksi, mencatat rasa syukur dan menilai perjalanan hari. Ia terpulang kepada diri dan keinginan individu pada waktu itu.
Tidak perlu menulis beberapa halaman setiap kali. Lima hingga sepuluh minit sudah memadai. Yang penting ialah keinginan kita untuk mengenang kebaikan yang diterima sepanjang hari, bukannya tulisan atau dekorasi yang cantik.
Mulakan Dengan Langkah Kecil
Ramai orang gagal mengekalkan amalan journaling kerana meletakkan sasaran yang terlalu tinggi. Mereka mahu menulis panjang setiap hari sehingga akhirnya berhenti kerana kepenatan. Sebenarnya, satu halaman pendek yang ditulis secara konsisten jauh lebih bernilai daripada sepuluh halaman yang hanya ditulis sekali-sekala.
Jika anda masih mencari waktu yang sesuai, lakukan satu eksperimen mudah. Cuba journaling sebelum tidur selama tujuh hari. Minggu berikutnya pula cuba journaling pada waktu pagi. Perhatikan perubahan pada emosi, tahap ketenangan dan rutin harian anda. Dari situ anda dapat lihat anda seorang yang selesa pada waktu apa untuk menulis.
Akhir sekali, waktu terbaik untuk menulis jurnal bukanlah pagi atau malam semata-mata. Waktu terbaik ialah waktu yang membuatkan anda mampu hadir untuk diri sendiri setiap hari. Anda ada ‘me time’ untuk diri yang lelah dengan urusan seharian.
Setiap helaian jurnal bukan sekadar catatan. Ia adalah ruang untuk mengenali diri, menghargai kehidupan, mensyukuri nikmat dan menjaga kesihatan emosi dan mental dengan lebih baik. Jadi, jika hari ini anda masih tertanya-tanya bilakah waktu terbaik untuk menulis jurnal, sama ada sebelum tidur atau waktu pagi, jawapannya mudah.
Pilihlah waktu yang membuatkan hati anda paling mudah untuk kembali kepada diri sendiri dan paling dekat untuk mengingati Allah. Kerana tujuan journaling bukan sekadar memenuhi halaman kosong, suka-suka atau hobi, tetapi menulis jurnal adalah memenuhi hati dengan syukur, menghargai nikmat yang diterima dan harapan dan ketenangan yang boleh dibawa ke mana sahaja.
Luangkan hanya 5 minit sehari untuk diri sendiri.
Pelengkap Kegembiraan: Jurnal Kesyukuran direka khas untuk membantu anda membina amalan bersyukur, membuat refleksi harian dan menikmati perjalanan 90 hari yang lebih tenang. Tidak perlu menjadi penulis. Cukup menjadi diri sendiri, satu halaman pada satu masa. Anda boleh layari web Ekspresisyukur untuk melihat dan menilai sendiri testimoni mereka yang telah menulis perkara-perkara baik dinikmati sepanjang hari setiap hari.

