Untuk lebih bersyukur atas perkara baik yang diterima sepanjang hari, kami senaraikan 7 cara yang mudah dipraktikkan yang kadangkala kita terlepas pandang dan mungkin tak teringat untuk melakukannya. 7 perkara ini antara asas seseorang yang mengamalkan syukur dan ingin menambahbaikkan diri dan rasa terima kasih. Bersyukur banyak memberi impak positif pada kesihatan dalaman, minda dan juga luaran. Ia mampu merubah kualiti hidup kita dan ini diakui dalam banyak hasil kajian perubatan dan universiti.

7 cara lebih bersyukur atas perkara baik yang diterima.
- Tanamkan dalam diri ‘Cukup itu satu keberkatan’ – Adalah mudah untuk terlepas pandang makna “cukup” dalam budaya yang sentiasa menuntut lebih—lebih banyak harta, lebih kejayaan, lebih popular, ada rumah, banyak pengaruh dan lain-lain. Fikirkan begini, jika setiap hari anda mendengar orang berkata bahawa hidup akan menjadi lebih baik jika memiliki lebih banyak segalanya, pemahaman asas kita tentang “cukup” adalah salah. Agama mengajar kita bahawa, ‘cukup’ adalah lebih penting dari berlebihan dan pastinya ai lebih berkat.
- Beri diri keizinan untuk mendapatkan kurang dari jangkaan – Ada ketika jangkaan kita pada sesuatu agak tinggi. Dan bila kita tidak mendapatnya, kita akan berasa sedih, tertekan, malu, tak puas hati dan kecewa. Ingat! unsur negatif ini tidak baik ada lama-lama dalam diri. Jika pun tanggapan atau jangkaan anda tidak menepati sasaran atau kehendak, izinkan diri untuk bersangka baik atas apa yang berlaku. Anggap sahaja ada pelajaran baru yang Tuhan mahu kita belajar.
- Anggap kesyukuran sebagai satu disiplin – Disiplinkan diri untuk mensyukuri dari sebesar-besar nikmat kepada sekecil-kecil perkara. Kita latih diri untuk sentiasa menghargai, bersyukur, berterima kasih dan menghormati apa yang diberikan.
- Perhatikan kepada perkara-perkara kecil atau rutin – Bayangkan jika perkara rutin yang sering dilakukan tiba-tiba berlaku perubahan yang tak boleh diterima oleh diri, Sebagai contoh kaki yang boleh bergerak. Adakah kita akan marah dan tidak mahu bersyukur lagi? Nah! Hargai perkara kecil dan rutin ini selayaknya. Tanpanya, kita akan terkapai-kapai meneruskan hidup.
- Jangan lupa toleh ke belakang dan lihat kemajuan yang dicapai – Kadangkala permulaan rasa bersyukur dalam diri adalah dengan berhenti sejenak dan imbau kembali apa yang telah berlaku sebelumnya. Dengan mengingati apa yang dimiliki sekarang berbanding dahulu, ia akan membuatkan diri terasa manis akan pencapaian yang diperolehi.
- Alihkan semua gangguan – Hidup kita terlalu banyak gangguan. Daripada media sosial, kerja yang tak pernah habis, gosip, masalah ekonomi dan pelbagai lagi membuatkan diri kita terlupa untuk bersyukur. Ingat, ambil masa untuk diri sendiri. Ambil masa untuk bersyukur dan belajar menghargai. Hidup ini singkat.
- Merenung kembali manfaat rasa bersyukur – Luangkan masa untuk memahami kelebihan yang dibawa oleh konsep bersyukur dalam hidup. Bersyukur mampu merubah hidup kita yang negatif dahulu kepada memikirkan banyak perkara positif yang dimiliki, mengurangkan rasa cemburu, berprasangka baik dan bersemangat untuk berkongsi banyak kebaikan kepada orang sekeliling. Apabila kita memahami sepenuhnya bagaimana kesyukuran memberi manfaat, kita akan lebih termotivasi untuk mengamalkannya.

Bersyukur bukanlah menjadikan kita seorang yang alim. Bukan. Tapi dengan bersyukur kita tahu ada Pencipta yang selalu ada bersama memberikan yang terbaik kepada hamba-hamba-Nya. Dengan mengamalkan konsep bersyukur, ujian atau masalah yang kita rasa tidak patut ‘kena’dapat kita hadapi dengan lebih sabar, tenang dan tidak cepat marah. Jadi, jom kita amalkan 7 cara lebih bersyukur atas perkara baik yang diterima ini sebagai kekuatan untuk kita meneruskan hidup sehari-hari.

