Kenali 15 tanda wanita mengalami kesedihan, fasa kesedihan dan bagaimana hendak mengawalnya agar tidak berpanjangan

Setiap orang pasti akan merasai perasaan sedih. Sedih sama ada akibat kematian ahli keluarga, sedih akibat tahap kesihatan tak memuaskan, sedih akibat masalah kewangan, sedih akibat perangai orang keliling yang tidak memahami dan banyak lagi sebab yang menjurus kepada emosi sedih ini. Saya sendiri dalam empat bulan kebelakangan ini terpaksa menghadapi kesedihan akibat kehilangan ayah mertua yang baik. Setiap benda dalam rumah sampai lihat kordial air sirap pun terasa sedih. Terbayang-bayang kenangan lama dia berjalan ambil makanan, dia duduk di sudut kerusi, dia minta bukakan tv untuk tonton filem P. Ramlee dan dia solat berjemaah bersama ibu mertua di ruang tamu. Kelibat dia seolah-olah ada di mana-mana. Hampir dua bulan juga saya betul-betul dapat kuatkan diri.

Bila melihat kepada kesedihan yang terpaksa dihadapi dan dirasai oleh ibu mertua saya pula, saya tahu dia cuba bertahan. Ada waktu dia menangis, ada waktu dia diam, ada ketika dia marah-marah dan ada satu masa, dia bercakap tak henti-henti lebih kurang 15 minit. Kami, anak, menantu dan cucu, cuba sedaya upaya untuk berlagak tenang meskipun diri sendiri sedih. Ia bukan satu fasa yang mudah. Ia fasa yang membuatkan kita terpaksa belajar reda, sabar, tenang, kuatkan semangat dan banyak ingatkan Tuhan. Fikiran kita akan mula muncul perkataan ‘kalau’, ‘sepatutnya’ dan ‘mungkin’ untuk mengelirukan diri bahawa apa yang berlaku boleh dihalang atau dilambatkan jika kita melakukan sesuatu perkara. Ingat! Perkataan ini sangat suka digunakan oleh syaitan dalam membuatkan kita was-was, tak reda, keliru dan tak tenang.

Anda yang mengalami kesedihan pasti perasan, kita masih lagi mampu membuat kerja-kerja rutin atau kerja pejabat seperti biasa. Cuma ia mungkin sedikit lambat atau mengambil masa untuk menyiapkan. Ada sesetengah orang, untuk lawan sedih, mereka akan bekerja lebih kuat lagi kerana tidak mahu terlalu melayan atau mengingati rasa sedih yang ada. Di sini, berdasarkan pembacaan dan pemerhatian, dapat saya klasifikasikan terdapat tiga tanda utama orang bersedih. Dan dari tiga kategori ini, saya pecahkan setiap lima tanda kecil.

TANDA EMOSI

  1. Mudah menangis walaupun perkara kecil.
  2. Rasa hampa atau kosong walaupun hidup kelihatan ‘baik’
  3. Hilang semangat untuk melakukan perkara dahulu yang disukai
  4. Rasa tidak berharga dan meragui keupayaan diri sendiri
  5. Terasa dipenuhi rasa bersalah tanpa sebab jelas

TANDA FIZIKAL

  1. Badan cepat letih meskipun tidur cukup
  2. Tidur tidak menentu (terlalu banyak atau terlalu sedikit)
  3. Kurang selera makan atau makan berlebihan
  4. Sakit dada / sakit bahu / ketengan otot tanpa sebab yang jelas
  5. Sering pening kepala

TANDA TINGKAH LAKU

  1. Menjauhkan diri daripada orang lain
  2. Kerap termenung dan murung
  3. Hilang motivasi untuk menguruskan kerja rumah / kerjaya
  4. Kerap ‘scroll’ media sosial untuk melarikan diri
  5. Mengurung emosi kerana takut menyusahkan orang lain

FASA KESEDIHAN (Grief Cycle)

Kesedihan tidak linear — orang boleh berpindah antara fasa dan kembali ke fasa sebelumnya.
Kesedihan ini akan dihadapi semua orang yang menghidapinya. Apapun fasa, ia pilihan kita sama ada ingin terus sedih atau bangkit untuk menerimanya dengan reda dan sangka baik. Melihat kepada apa yang berlaku dalam diri, saya sendiri pernah ada dalam fasa penafian sewaktu mula-mula arwah ayah mertua pergi. Rasanya dalam 2 minggu pertama tu, mata sering berair, banyak termenung dan sering sebak bila melihat satu-satu sudut dalam rumah yang mengembalikan ingatan saya pada dia.

Fasa kemarahan, tawar-menawar dan kesedihan mendalam, ini saya pernah lihat berlaku pada ibu mertua saya. Dia cuba menafikan dan pada masa sama, dia marah-marah. Dia tahu, marah bagaimanapun tidak dapat mengembalikan suaminya kembali tapi mungkin dengan meluahkan cara begitu, dia rasa lebih lega. Itu belum lagi telinga ini mendengar dia mengadu, “Dy, aku nak jumpa doktor esok.” “Eh? Kenapa mak? mak tak sihat ke?” tanya suami. “Aku nak jumpa doktor. Aku nak minta ubat lupakan abah kau,” jawab mak.

Terkejut saya dan adik-beradik suami mendengarnya. Puas mereka memujuk. Rasanya jiwa dia terasa sesak, perasaan sedih dan melimpah sangat dalam hatinya dan belum lagi tidurnya tidak lena. Dia benar-benar mengambil masa hampir 3 bulan baru ok. Dan sekarang ini, dia sudah kembali ke rumah kami. Dia cuba belajar menerima apabila masuk ke dalam bilik mereka berdua dahulu. Dia belajar untuk kekal tenang walaupun kami suami isteri melihat banyak tisu-tisu bertaburan di sisi sofanya. Wajahnya monyok tapi masik cuba untuk kuat. Kami layankan aje bila dia bercerita tentang abah dan kisah lalu. Bila datang mood ‘angin’ dia, saya serahkan pada suami. Hanya dia tahu ‘handle‘ maknya.

Dan Alhamdulillah, sekarang mak banyak tidur di sofa. Dia tak berapa nak tidur di bilik kecuali malam. Tapi, sekurang-kurangnya, wajahnya tidak monyok seperti hari-hari awal dia pulang. Kami berharap, hari habis iddahnya nanti dan bila pergi ziarah kubur abah, dia dapat kawal kesedihannya dan sabar banyak-banyak.

Fasa Apa yang Wanita Dewasa Selalunya Rasa
1. Penafian “Tak apa… aku ok” walaupun jauh di dalam hati sedang sakit
2. Kemarahan Geram tanpa sebab, marah pada pasangan/anak/kerja/keadaan
3. Tawar-menawar “Kalau aku buat lebih baik, mungkin semuanya takkan jadi begini”
4. Kesedihan mendalam Menangis dalam diam, rasa sunyi walaupun ada orang sekeliling
5. Penerimaan Belajar terima, melepaskan, dan mula membina semula diri

Kalau ikutkan, untuk sampai ke tahap penerimaan ini, bergantung kepada kekuatan individu itu sendiri. Ada orang mengambil masa beberapa minggu, ada yang beberapa bulan dan ada yang makan tahun. Cuma kita boleh berharap, perasaan sedih dalam fasa penafian dan kemarahan ini dapat dibendung dengan cepat. Kesan lambatnya untuk berubah, ia akan memakan diri sendiri secara perlahan-lahan. Untuk pulih kembali, sangat mengambil (saya sendiri lalui fasa ini kerana ahli keluarga tidak tahu bagaimana untuk ‘uruskan’ emosi saya waktu itu).

Cara Untuk Menghilangkan atau Merawat Kesedihan
Bukan semua kaedah ini sesuai untuk semua orang. Anda boleh pilih yang mana selesa untuk merawat kesedihan yang ada dalam diri. Saya juga dapat praktikkan beberapa sahaja, dan selebihnya saya ambil pendekatan orang sekeliling saya lakukan bila mereka berusaha untuk bangkit dan melawan kesedihan.

1. Benarkan diri merasa sedih
Jangan paksa diri “cepat kuat”. Ambil masa untuk menangis dan bersedih dalam beberapa hari, Buat sesuatu yang boleh redakan sedikit kesedihan diri contohnya seperti meluahkan pada orang yang dipercayai dan lebih lagi luahkan pada Allah. Semua proses ini adalah perkara biasa bagi sesebuah penyembuhan buat wanita yang mengalami kesedihan.

2. Menulis jurnal perasaan
Kajian menunjukkan menulis perasaan yang ada dalam diri mampu menurunkan tekanan mental. Anda boleh menulis diari peribadi, diari kesihatan, jurnal bullet atau jurnal kreatif (junk journal). Di sini anda boleh tulis:

  • Apa yang menyakitkan hati

  • Apa yang kita pelajari

  • Apa yang masih kita syukuri

  • Apa yang dilakukan untuk menenangkan diri
  • Letakkan gambar atau keratan kertas atau sticker untuk mencurahkan idea dalam jurnal

Wanita dewasa sering terbeban mental — menulis atau melakukan aktiviti kreatif antara cara paling selamat untuk melepaskan tanpa rasa bersalah.

3. Berkongsi dengan seseorang yang dipercayai
Bukan untuk mencari jawapan, tetapi untuk didengari. Selalunya sokongan sosial mempercepat pemulihan emosi. Sebegai contoh, saya melihat ibu mertua saya lebih ringan mulutnya berkongsi rasa sedih dengan suami saya dan seorang lagi kakak ipar saya. Saya lihat, selepas meluahkan, dia rasa sedikit lega (pada ketika itu).

4. Menjaga diri secara fizikal (self-care)
Masa kita bersedih, selalunya kita lupa bab nak jaga kesihatan dan badan. Waktu ini, sama ada kita menjadi kurus atau kita menjadi sedikit ‘comel’. Jadi, perlahan-lahan, cuba jaga tubuh sendiri, pemakanan dan emosi kerana ianya sangat berkait. Anda boleh cuba teknik ini:

  • Tarik nafas panjang-panjang dan lepaskan . Bernafas lebih kurang dalam 1-3 minit

  • Mandi air sejuk atau suam

  • Cuba dapatkan tidur yang cukup

  • Kembali melakukan senaman ringan walaupun hanya 10 minit

  • Jika anda suka berkebun atau mengemas rumah, lakukan senaman pergerak ini

5. Aktiviti spiritual
Untuk wanita Muslim terutamanya, anda boleh cuba contoh ini untuk mendekatkan diri kepada Allah. Pada waktu kita down, sedih, kecewa, tertekan, nak marah, waktu ini syaitan akan menjalankan jarumnya untuk melemahkan kita. Banyak-banyak minta bantuan Allah.

  • Membaca Al-Quran dan terjemahannya

  • Lazimi diri berzikir dan berdoa

  • Baca buku-buku berkaitan agama. Dekatkan hubungan dengan Allah dan meminta Dia memandu hati kita saat sedih atau dalam dilema

  • Banyakkan sedekah

6. Aktiviti seni & terapi emosi
Terapi warna dan aktiviti kreatif terbukti sangat melegakan wanita berusia lebih 30 tahun. Minda dan fikiran seolah diarah memikirkan perkara lain berbanding rasa sedih. Bila mewarna atau melakukan kerja kreatif, diri seolah hanyut sebentar dari memikirkan perkara sedih. Dale Carnegie dalam bukunya, Stop Worrying and Start Living turut menunjukkan bahawa manusia boleh mengubah emosi sedihnya bila melakukan aktiviti lain yang menuntutnya untuk fokus. Antara aktiviti seni yang boleh anda cuba:

  • Mewarna

  • Melukis mandala

  • Menyulam / merajut

  • Aromaterapi / wangian menenangkan

  • Memasak
  • Buat barangan kraf
  • Bertukang atau menjahit

7. Fahami punca kesedihan
Kalau tak kenal punca, emosi sedih akan sering berulang. Ini akan membuatkan kita rasa tertekan dan sukar untuk buat kerja lain. Tanyakan pada diri:

  • Apa sebenarnya yang membuat aku sakit hati?

  • Apa keperluan diriku yang tidak dipenuhi?

  • Apa yang aku perlu untuk rasa tenang kembali?

  • Bagaimana untuk aku belajar reda dengan cepat meskipun pedih?

8. Pertolongan profesional
Jika kesedihan mengganggu kerja, keluarga atau tidur, mendapatkan psikologi, kaunselor atau ustazah bimbingan adalah tindakan yang SIHAT, bukan tanda lemah. Mungkin sesetengah orang berpandangan negatif tentang mendapatkan rawatan psikologi ini tapi sebenarnya ia perlu jika ia memberikan kebaikan pada diri individu itu sendiri. Kita sepatutnya ‘tabik’ pada mereka kerana mereka berani untuk menyihatkan diri kembali dan berusaha menjadi manusia yang baik dan bermanfaat.

Wanita dan orang yang mengalami kesedihan ini selalunya hendak nampak kuat dipandangan mata orang lain. Selagi boleh dia akan tunjukkan yang dirinya mampu untuk bangkit. Tapi kadang-kadang terlalu kuat sehingga menanggung kesedihan seorang diri juga tidak bagus secara dalamannya. Sentiasa ingatkan diri yang  kesedihan bukan kelemahan. Ia adalah sifat semulajadi menusia bila berlaku sesuatu perkara atau peristiwa yang menghambat hati. Ingat semula akan kisah Nabi s.a.w bila berhadapan dengan kematian isteri Baginda dan bapa saudaranya. Baginda s.a.w tetap bersedih namun Allah ‘mengubati’ Baginda dengan cara-Nya yang tersendiri iaitu dengan mengisrakmikrajkan Baginda ke Sidratul Muntaha.

Wanita mengalami kesedihan ini sebenarnya menunjukkan bahawa:
✨ hati kita masih hidup dan punya perasaan
✨ bukti bahawa kita pernah menyayangi dan mencintai
✨ isyarat bahawa kita memerlukan perhatian pada jiwa

Mula sembuh dengan satu langkah kecil:
Letakkan diri sendiri sebagai seseorang yang juga layak difahami, disayangi dan dibantu. Tanamkan tekad dalam diri, sesukar apapun ujian, kita ada Allah. Hanya Dia tempat memohon segalanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *